Putrajaya pelawa rakyat sumbang cadangan Belanjawan 2020

ORANG ramai dipelawa untuk menyumbang cadangan masing-masing bagi penyediaan input Belanjawan 2020 secara dalam talian di laman web khusus - belanjawan2020.treasury.gov.my mulai 9 Ogos sehingga 11 September, 2019.

Belanjawan 2020 tersebut akan dibentangkan pada 11 Oktober depan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata ini bagi membolehkan semua lapisan masyarakat turut sama terbabit mengemukakan pandangan selaras dengan usaha kerajaan membina negara dan menyejahterakan rakyat.

“Justeru, rakyat boleh menggunakan pelbagai saluran untuk berkongsi input atau cadangan di laman web khas belanjawan2020.treasury.gov.my dan menggunakan tanda pagar #belanjawan2020 di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejajar usaha itu, Lim berkata kerajaan telah menganjurkan Majlis Konsultasi Bajet iaitu forum utama untuk pelbagai pihak mewakili sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi menyumbang idea dan cadangan konstruktif untuk dipertimbang sebagai input dalam merangka strategi dan langkah-langkah berkaitan belanjawan.

“Di samping itu, beberapa siri konsultasi kumpulan fokus akan turut diadakan bersama kerajaan negeri seperti Johor, Kedah, Perak dan Sabah serta kementerian bermula esok (9 Ogos),” katanya. – Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan