Oleh
MOHD HAIKAL ISA (BERNAMA)
Lynas
Corp yang mengendalikan kilang pemprosesan bahan nadir bumi penuh
kontroversi di Gebeng, dekat Kuantan, berpotensi muncul sebagai
‘pemenang’ dalam perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang terus
berlanjutan.
Satu kenyataan oleh kalangan pengeluar nadir bumi China baru-baru ini
mengenai kesediaan memanfaatkan dominasi mereka dalam pertikaian
dagangan dengan Washington, akan hanya memaksa pelanggan mereka di AS
mencari sumber lain bagi mendapatkan mineral berharga itu.
Oleh itu, sebagai pengeluar nadir bumi terbesar di luar China,
Lynas Corp dan kilang pemprosesan bernilai US$800 juta (RM3.35 bilion)
di Malaysia dilihat dapat meraih pelbagai manfaat sekiranya Beijing
memutuskan untuk menjadikan eksport nadir buminya ke AS sebagai satu
senjata dagangan.
Malah, syarikat yang disenaraikan di Australia itu juga
berkemungkinan besar menyaksikan lonjakan permintaan terhadap produknya
jika pengeluar nadir bumi China memutuskan untuk akur kepada sebarang
tarif dikenakan Washington kepada pembeli di negara tersebut.
Langkah sedemikian akan meningkatkan harga mineral nadir bumi itu
serta produk berkaitannya di AS dan menyebabkan pelanggan terbabit
mencari sumber lebih murah selain China.
Justeru, sebarang tindakan ‘menghukum’ atau menghentikan sepenuhnya
eksport nadir bumi China ke AS seperti yang dijangkakan ramai pihak
apabila pertikaian perdagangan itu terus meruncing, akan turut memaksa
para pelanggan AS beralih ke pengeluar lain termasuk Lynas Corp.
“Walaupun perkara ini masih belum jelas, langkah diambil oleh
pengeluar (nadir bumi) di China akan menguntungkan Lynas. Mereka
(pelanggan nadir bumi China) akan mula mencari pembekal lain,” kata
Ketua Pakar Ekonomi ASEAN RHB Research Institute Peck Boon Soon ketika
dihubungi Bernama.
Kenyataan oleh Persatuan Industri Nadir Bumi China yang mewakili
beratus-ratus pelombong, pemproses dan pengeluar bahan itu 5 Ogos lepas,
dikeluarkan selepas susulan paparan nada keras akhbar People’s Daily
iaitu lidah rasmi Parti Komunis yang memerintah mengenai kemampuan
negara itu melancarkan ‘serangan balas’ dalam perang dagangan itu.
“Apakah nadir bumi akan menjadi senjata perang China untuk membalas
tekanan demi tekanan diberikan AS yang dibuat tanpa sebarang alasan?
Jawapannya bukanlah satu misteri. Dalam dunia hari ini yang menyaksikan
buruh pelbagai industri berbeza terbahagi secara global, tiada sebarang
pembangunan dan kemajuan dapat dicapai tanpa kerjasama.”
China adalah pengeluar nadir bumi terbesar dunia dan menyumbang lebih
80 peratus daripada pengeluaran bahan berkenaan di peringkat global.
Sebahagian besar atau kira-kira 80 peratus daripada import bahan
nadir bumi di AS adalah bersumberkan China dengan laporan menyatakan
antara pelanggan itu termasuk kontraktor utama pertahanan negara
tersebut.
Nadir bumi merupakan kumpulan 17 mineral berharga yang digunakan
dalam pelbagai produk berteknologi tinggi masa kini termasuk telefon
pintar, magnet kuat digunakan dalam turbin angin dan kereta hibrid
selain kanta teleskop, satelit serta sistem panduan arah senjata.
Elemen nadir bumi itu turut digunakan dalam pembangunan jet pejuang
serba canggih jenis F-35 Lightning dan F-22 Raptor serta dron Predator
dan peluru berpandu Tomahawk.
Antara 17 elemen nadir bumi itu adalah cerium, neodymium, thulium dan lanthanum.
Sementara itu, seorang lagi ahli ekonomi Dr Yeah Kim Leng berkata
pengguna nadir bumi itu mungkin terpaksa mempelbagaikan sumber
masing-masing jika perang dagangan AS-China itu berlanjutan dan
menyaksikan negara terbabit meraih manfaatnya.
“Malaysia misalnya akan meraih manfaat daripada sebarang peningkatan
eksport nadir bumi apabila penggantungan terhadap Lynas menjadi terus
ketara,” katanya yang dipetik oleh satu portal berita dalam talian.
Menurut laman sesawang Lynas, sumber bahan itu diperolehi daripada
Gunung Weld di Australia Barat yang dikenali antara lombong gred
tertinggi nadir bumi di dunia.
Oksida nadir bumi Lynas dilombong dan melalui pemprosesan awal di kilang syarikat itu di Gunung Weld berkenaan.
Bahan itu kemudiannya dihantar ke pelabuhan industri di Kuantan dan
seterusnya ke kilang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng
yang mana syarikat itu melakukan pelbagai siri pemprosesan penapisan dan
operasi berkaitan bagi menghasilkan mineral nadir bumi berkualiti
tinggi.
Namun Lynas dlingkari pelbagai kontroversi sejak mengendalikan
kilangnya di Kuantan pada 2012 berikutan penghasilan sisa penulenan air
larut lesap (WLP) yang mempunyai paras radioaktif yang rendah.
Lesennya bagi pengoperasian LAMP pula akan tamat pada 2 Sept ini.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan
Iklim Yeo Bee Yin dipetik berkata bahawa kerajaan akan turut mengumumkan
keputusan berhubung pembaharuan lesen Lynas Malaysia menjelang 15 Ogos
ini.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata Lynas
mungkin dibenarkan untuk mengekalkan usaha pemprosesan sisa nadir bumi
di kilangnya di Gebeng dengan syarat ia dapat
membangun serta menyelenggara kemudahan bagi mengendalikan pelupusan
sisa terbabit.
Beliau juga dilaporkan berkata eksport bahan sisa WLP itu tidak akan
dijadikan syarat bagi memperbaharui lesen operasi Lynas Malaysia.-
BERNAMA
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan