PH boleh lakukan dengan lebih baik

Kuala Lumpur : Berdasarkan kajian Universiti Monash Malaysia, 44 peratus pemimpin korporat menyatakan mereka optimis, tetapi masih berhati-hati dengan prospek ekonomi Malaysia di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Golongan berkenaan merasakan PH masih memerlukan masa untuk meletakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia di atas landasan yang tepat, tambahan pula berdepan kekangan seperti Perang Dagang China-Amerika Syarikat dan Brexit.

Menurut Kad Laporan Ekonomi Pemimpin Korporat yang membentangkan dapatan kajian Universiti Monash Malaysia bersama platform Global Asia in the 21st Century (GA21), responden berpendapat pembuat polisi perlu memberi penjelasan lanjut berhubung Model Ekonomi Kemakmuran Bersama seperti diumumkan PH sebelum ini.

Responden juga berpandangan kerajaan perlu menggariskan strategi pelaksanaan serta tempoh yang diperlukan dalam menangani isu yang diketengahkan di dalam laporan berkenaan, sekiranya pemerintah mahu membina keyakinan lebih tinggi di kalangan masyarakat dan pelabur.

“Kami mengambil maklum bahawa usaha Kerajaan PH dalam membanteras rasuah, serta melaksanakan strategi dalam mengurangkan hutang negara adalah pada tahap memuaskan," kata Naib Presiden (R&D) Universiti Monash Malaysia, Prof Mahendhiran Nair. 

Namun, tambahnya yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Monash Malaysia R&D, pembangunan negara adalah usaha yang berterusan.

"Kami berharap, dengan laporan ini, ia boleh menjadi pemangkin kepada usaha yang lebih positif. Kebimbangan komuniti bisnes mencerminkan apa yang dirasai masyarakat awam.

"Dengan meningkatkan kesedaran, kami berharap kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian serta organisasi komuniti untuk bekerjasama menyediakan masa depan lebih cerah untuk Malaysia,” katanya.
Selain menjalankan tinjauan terhadap 390 responden terdiri daripada kalangan pemimpin korporat, kaji selidik tersebut turut melibatkan 52 sesi temu bual mendalam dengan pemimpin korporat bagi menilai pencapaian kerajaan PH sepanjang 12 bulan yang lalu.

Mahendhiran berkata, sekiranya Kerajaan PH mampu menangani isu kos sara hidup, meletakkan ekonomi di atas landasan betul, menyediakan peluang pekerjaan yang kukuh, serta menangani dengan lebih efektif isu rasuah dan jenayah, ia mungkin punyai peluang cerah untuk meletakkan 44 peratus pemimpin korporat tadi menjadi ‘lebih optimistik’.

Dalam pada itu, kajian itu turut mendedahkan 43 peratus daripada keseluruhan 390 responden berpuas hati dengan prestasi kerajaan pemerintah.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan