PRK Parlimen Tanjung Piai: BN belum capai kata sepakat

KUALA LUMPUR: Parti komponen Barisan Nasional (BN) belum mencapai kata sepakat mengenai isu calon bakal dipertaruhkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor.
BN juga belum menetapkan tarikh mesyuarat untuk membincangkan perkara berkenaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata walaupun belum ada sebarang keputusan, BN pasti akan meletakkan calon pada PRK itu.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berharap semua pihak menghormati keputusan parti nanti.

“Kita belum bermesyuarat, justeru belum ada sebarang keputusan. Yang pasti, BN akan meletakkan calon.

“Saya berharap semua mesti menghormati keputusan parti nanti. Jadi, tidak perlu ada (unsur) ugut-mengugut. BN mesti bersatu menghadapi PRK ini bagi memastikan kemenangan,” katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan enggan mengulas sama ada parti itu akan mengekalkan tradisi meletakkan calon untuk bertanding pada PRK Tanjung Piai.

Beliau dipetik sebagai berkata, segala keputusan berhubung calon akan diumumkan secara kolektif pada peringkat BN pusat.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dilaporkan berkata parti itu sedia turun berkempen tanpa mengira siapa calon diletakkan BN nanti, termasuk daripada MCA.

Abdul Hadi berkata, PAS sudah menyerahkan kepada UMNO dan rakan dalam BN untuk menentukan calon berikutan Parlimen Tanjung Piai adalah kawasan tradisi BN.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan PRK Tanjung Piai, Selasa ini, susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 43.

Dr Md Farid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia di Hospital Pontian, Johor, kira-kira jam 6 pagi 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

Kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan 53,528 pengundi berdaftar pada PRU-14, memiliki komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan