Oleh Hayar Hassan
Seminggu dua ini heboh juga diperkatakan tentang kisah Dato’ Seri Anwar Ibrahim(DSAI) yang sedang menjalani rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur(HBKL) dikunjungi oleh YAB Perdana Menteri dan YB Timbalan Perdana Menteri. Berbagai persepsi dilontarkan atas kunjungan itu. Begitu lah realiti dunia politik hari ini. Apa sahaja yang berlaku dan dilakukan oleh orang-orang politik, pastinya akan mendapat perhatian masyarakat, seperti mana masyarakat terus memberikan perhatian kepada individu-individu yang bergelar celebrities.
Seperti yang dimaklumi, dalam ajaran Islam memang terdapat anjuran untuk berziarah kepada orang sakit. Sebuah hadis berstatus Muttafaq ‘alaih dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “ Hak seorang Muslim atas Muslim lainnya itu ada lima perkara, iaitu, menjawab salam, meninjau orang sakit, mengikuti jenazah-jenazah yang akan dimakamkan, mengabulkan undangan dan mentasymirkan orang yang bersin.”(Hadis no.892 dalam Riyadhus Shalihin, Imam Nawawi Jilid 2, Terbitan Pustaka Nasional, Singapura,1994).
Sesungguhnya menziarahi orang sakit itu adalah Sunnah Rasulullah SAW yang amat dianjurkan dan sewajarnya lah kita yang mengaku beragama Islam beramal dengannya, apa tah lagi bagi pimpinan masyarakat. Masyarakat akan lebih terdidik dengan amalan-amalan Sunnah Rasulullah SAW seandainya pemimpin-pemimpin Negara mendahuluinya agar perbuatan mereka itu menjadi teladan kepad semua rakyat. Dalam hal ini kita amat ternanti-nanti bila kah pula Presiden Pas akan turut menziarahi DSAI di HBKL ? Bukan kah mereka pernah bersama-sama dalam ABIM dahulu. Presiden Pas tentu lebih arif tentang maksud dan pengajaran daripada hadis di atas !
Apa pun, sememangnya amat wajar YAB Perdana Menteri (PM) dan YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia mengunjungi DSAI itu. Hak untuk pelbagai pihak memberikan pelbagai tafsiran adalah perkara biasa. Itu adalah lumrah hidup kepada kita semua.
Namun demikian, adalah sesuatu yang menarik apabila membaca ulasan dan pesanan khusus pembantu PM kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Puan Nurulizzah Anwar Ibrahim berkaitan isu ini. Pembantu tersebut menyatakan bahawa layanan yang diperolehi oleh DSAI sekarang ini adalah lebih baik dari sebelumnya. Ulasan ini kalau dilihat dari sudut strategi dan sepak terajang politik, ia mungkin mempunyai unsur-unsur sindiran yang mempunyai banyak maksud yang tersirat.
Sesetengah pemerhati politik boleh beranggapan bahawa ianya adalah isyarat bahawa PM sudah tidak lagi menganggap bahawa DSAI adalah musuh utama atau pun saingan utama kepada dirinya. Musuh utama dalam politik sekarang ini bagi PM adalah Tun Dr Mahathir Mohamad. Dalam bahasa mudah, layanan yang diberikan kepada DSAI sewaktu tempoh pemenjaraannya sekarang ini adalah lebih baik daripada sebelumnya. Oleh yang demikian, DSAI dan keluarga sewajarnya lebih berhati-hati untuk terus bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohammad !
Kita usah terperanjat kalau selepas ini, DSAI akan dibenarkan untuk terus berada di HBKL daripada terus menghuni Penjara Sungai Buloh. Apatah lagi itu lah yang dipohon oleh keluarga DSAI kepada Kerajaan. Kita tidak menafikan bahawa wad HBKL adalah tempat yang lebih baik untuk DSAI segera sembuh dari kecederaannya.
Dengan kelonggaran yang diberikan untuk rawatan DSAI itu di HBKL, adakah DSAI serta keluarganya akan terasa semacam terhutang budi kepada PM. Ini lah yang sedang menjadi teka teki kepada kita semua. Ternyata sekarang bahawa dengan pemenjaraan DSAI, beliau sudah tidak selincah dan sehebat seperti sebelumnya mengatur strategi melawan UMNO/BN menjelang PRU ke 14.
Adakah dengan mempunyai sedikit rasa terhutang budi kepada PM akan mengendorkan sedikit semangat DSAI untuk mengalahkan UMNO/BN dalam PRU ke 14 nanti ? Apatah lagi DSAI juga sudah tidak dapat menjadi calon dalam PRU ke 14 nanti. Apakah seterusnya nanti peranan dan pengaruh DSAI akan sedikit demi sedikit berkurangan dalam Pakatan Harapan ?
Oleh yang demikian, tidak lah keterlaluan, kalau dianggap bahawa strategi Pecah Dan Perintah(Divide and Rule) sedang secara halus dilaksanakan oleh UMNO/BN untuk terus meretakkan Pakatan Harapan(PH) dengan target seterusnya adalah DSAI. Dalam bahasa yang mudah, kelonggaran dan sedikit keistimewaan pemenjaraan DSAI di HBKL adalah umpan untuk menjarakkan DSAI serta keluarganya dengan Tun Dr Mahathir dan seterusnya menanamkan bibit perpecahan PH lagi.
Apa yang jelas, UMNO/BN telah berjaya mengeluarkan PAS daripada Pakatan Rakyat(PR) yang seterusnya membuatkan PR terkubur. Sekarang ini PH terpaksa bekerja dengan lebih kuat lagi untuk mengalahkan UMNO/BN dan PAS dengan wujudnya pertandingan tiga penjuru.
Namun demikian, kita amat berharap DSAI serta keluarganya akan cukup berhati-hati agar tidak termasuk dalam perangkap yang sedang dipasang oleh UMNO/BN. Strategi Divide And Rule sememangnya akan terus digunakan dalam percaturan politik di mana-mana penjuru dunia. Cumanya pemain-pemain politiknya perlu lebih pintar dan arif untuk melaluinya dengan penuh bergaya.
Berbekalkan pengalaman yang luas dan kemampuan mengharungi pelbagai mihnah dalam perjalanan politiknya, kita beranggapan DSAI sekeluarga akan dapat membaca akan tindak tanduk saingan politik mereka menjelang PRU ke 14 nanti. Pimpinan serta penyokong PH tentunya mengharapkan masalah dan pergeseran antara pimpinan PH atas isu-isu kecil tidak akan muncul lagi menjelang PRU ke 14.
Sehingga kini, YB Puan Nurulizzzah Anwar Ibrahim masih belum memberikan sebarang komen terhadap sindiran dan pesanan pembantu PM itu. Ini adalah suatu tindakan yang bijak dan tepat kerana tidak wajar YB Puan Nurulizzah Anwar Ibrahim bersusah payah melayani sindiran dari seorang individu yang hanya bergelar sebagai pembantu PM. Masih banyak lagi kerja-kerja lain yang perlu diberikan perhatian oleh pemimpin PH. Jangan lah kita membuang masa atas perkara-perkara picisan sahaja.
Segala tenaga, waktu dan buah fikiran hendak lah ditumpukan kepada usaha-usaha “ Menyelamatkan Negara Malaysia Tercinta Ini Daripada Kleptokrasi “.
0 comments:
Catat Ulasan