Oleh Fadiah Nadwa Fikri
Sejarah bukan masa lampau. Ia adalah masa sekarang. Kita membawa
sejarah bersama-sama kita. Kita adalah sejarah. Jika kita berpura
sebaliknya, sesungguhnya kita adalah penjenayah” — James Baldwin
Merenung kata-kata James Baldwin tentang sejarah, membawa saya kembali
ke pertengahan tahun 90-an. Saya teringat semasa di kelas, melihat buku
sejarah saya yang berwarna coklat, mendengar guru sejarah sambil kipas
yang di siling berputar berterusan. Ketika itu tengah hari terik, cerah
dengan pancaran cahaya matahari.
Perhatian saya tertarik kepada cerita Tok Janggut — bagaimana dia
dibunuh kejam kerana melawan pemerintahan penjajah British. Saya
mengingati perasaan dengan jelas, betapa ngerinya apabila mengetahui
peristiwa berdarah ini. Sebagai seorang gadis muda, saya memahami bahawa
dunia sekitar ini penuh keganasan dan kekejaman.
Saya kemudian dibawa ke bab berikut dalam buku sejarah. Bab yang
menceritakan bagaimana kumpulan elit yang dikenali sebagai United Malay
National Organisation (Umno) berjaya berunding dengan British untuk
mendapatkan kemerdekaan. Buku sejarah ini menggambarkan Umno sebagai
wira; wira tunggal yang memperjuangkan kemerdekaan negara yang kita
gelar kini Malaysia. Pencapaian Umno diagung-agungkan tanpa hentinya.
Kepahlawanan Umno berdengung di segenap tempat.
Saya bergumam dalam diri, ada sesuatu tidak kena. “Bagaimana dengan Tok
Janggut?” “Mengapa orang seperti Tok Janggut tidak diserta bersama
dalam naratif ini?” “Tidakkah dia berjuang untuk kemerdekaan kita?” Saya
bertanya kepada diri. Ini persoalan yang saya tanyakan pada diri.
Adanya suatu rasa yang mengganggu sanubari.
Saya berasa buku sejarah telah melangkau satu episod penting dalam
sejarah negara. Saya dapat rasakan ada sesuatu yang tertinggal dalam
rantaian kejadian sejarah tetapi saya tidak dapat menentukan apakah ia
sebenarnya. Pertanyaan ini saya tinggalkan begitu sahaja.
Sepuluh tahun kemudian, saya tidak punya pilihan melainkan merenung
kembali pertanyaan itu selepas menonton “Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka”
oleh Fahmi Reza — sebuah dokumentari berkenaan sejarah yang berlaku
sepuluh tahun sebelum kemerdekaan. Segala persoalan yang mendiami diri
saya selama sepuluh tahun mendesak disemak semula.
Kesedaran ini menggesa saya untuk membaca tentang gerakan kiri
anti-penjajahan yang didorong kaum muda dan digerakkan dengan semangat
untuk menegakkan pembebasan, keadilan dan kemanusiaan yang tidak
berbelah-bagi.
Saya belajar tentang Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan
Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS), PUTERA-AMCJA,
prinsip yang mereka perjuangkan dan impian yang mereka ingin bina untuk
negara kita.
Saya berasa suatu ketenangan apabila mempelajari bahawa konsep “Melayu”
yang diperjuangkan gerakan kiri anti-penjajahan sangat berbeza dengan
konsep “Melayu” yang dipaksakan oleh Umno dengan sokongan penuh British.
Konsep “Melayu” yang diperjuangkan golongan kiri bersifat anjal,
menerima dan akomodatif, ternyata berbeza sekali dengan konsep “Melayu”
Umno yang memecah-belah dan meminggirkan.
Sifat merangkumi konsep “Melayu” jalur kiri dizahirkan dalam
Perlembagaan Rakyat 1947. Perlembagaan Rakyat 1947 diusulkan oleh
gabungan yang dikenali sebagai PUTERA-AMCJA meliputi PKMM, API, AWAS,
organisasi kecil akar umbi, Malayan Democratic Union (MDU), Malayan
Indian Congress (MIC), Pan-Malayan Federation of Trade Unions (PMFTU),
12-State Women’s Federation in Malaya, Malayan New Democratic Youth
League (MNDYL), dan Malayan People’s Anti-Japanese Ex-Service Comrades’
Association.
Gerakan bersejarah PUTERA-AMCJA merupakan aksi politik pertama yang
menyatukan semua bangsa di Malaya. Straits Times menggambarkan gerakan
itu sebagai “satu usaha politik pertama untuk meletakkan parti politik
Malaya melangkaui kepentingan bangsa, dan juga usaha pertama untuk
mendirikan sebuah jambatan politik antara komuniti bukan berbangsa
Melayu dan yang berbangsa Melayu yang tinggal di Malaya.”
Tidaklah mengejutkan apabila Umno dan British bertindak menggagalkan
usaha penyatuan kerana mereka melihat usaha itu sebagai ancaman kepada
kuasa dan kepentingan mereka. Dasar pecah perintah British terus
diamalkan oleh Umno selepas kemerdekaan dan masih diteruskan sekarang.
Setelah merungkai sebahagian sejarah ini, saya tidak dapat menerima,
melainkan berasa dikhianati.
Pengkhianatan ini kerana saya sukar
menerima politik elitis dan pecah belah Umno yang bertentangan dengan
identiti Melayu dan pegangan politik saya. Pengkhianatan mendorong saya
untuk belajar lebih mendalam tentang sejarah kiri yang radikal dan
merangkumi, sejarah yang dipadam dan hilang daripada ingatan kolektif
kita.
Ada seperti suatu rasa pembebasan yang mendalam apabila kita mengetahui
kebenaran sejarah. Ia membantu kita memahami di mana dan apakah kita
suatu ketika dahulu dan di mana dan apakah kita ketika ini. Ia membantu
kita memahami apa yang sedang berlaku dan mengapa kita, rakyat negara
ini terus memerangi sesama sendiri.
Ia juga membolehkan kita untuk memahami bagaimana golongan elit politik
daripada kedua-dua pihak bermain dalam struktur kuasa yang sedia wujud —
struktur yang diwarisi daripada British dan dibina untuk meminggirkan
dan membungkam suara progresif.
Satu analisis jelas tentang susunan bertingkat dan perbezaan kuasa
membolehkan kita memahami bagaimana kekuasaan bergerak dan mengapa
peminggiran suara progresif diteruskan.
Membina kefahaman yang menyeluruh tentang sejarah membolehkan kita
menelusuri jauh ke dalam kesedaran — suatu proses penting untuk
membebaskan minda dari segala struktur dan sistem yang menjadi
penghalang untuk kita melakukan perubahan sebenar, bermakna dan
berkekalan.
Mempelajari sejarah membolehkan kita membina naratif politik progresif
yang mempengaruhi hala tuju politik dan melakukan perubahan radikal yang
sangat kita perlukan untuk menghadapi ketidakadilan yang tidak
terbayangkan masyarakat hari ini.
Ini hanya boleh terjadi apabila kaum muda bersedia untuk membebaskan
diri daripada politik tua, merampas kembali suara-suara mereka daripada
kaum tua dan menghancurkan naratif politik dan struktur penghalang yang
membantutkan keupayaan imaginasi mereka melangkaui “keperluan untuk
memilih antara yang kurang jahat antara dua kejahatan”.
Perlu diingat, erti kata politik lebih luas dan ia sangat tidak adil
jika erti kata itu disempitkan mengikut apa yang terbiasa. Tetapi apa
yang kita sudah terbiasa ini, hanya dan masih terus gagal. Kebiasaan
yang terus-terusan menggagalkan.
Dalam kebuntuan politik yang menekan ini, Malaysia Muda — gerakan yang
ingin menggarap semangat kaum muda dalam suatu keberlangsungan penting
sejarah negara kita mengambil keputusan untuk berarak di jalan raya
Kuala Lumpur pada 23 Disember 2017 untuk memperingati kongres API yang
pertama pada tahun 1946.
Kami berhasrat untuk memperibadikan semangat membara API dan
menterjemahkannya menerusi aksi politik radikal. Yang kami perlukan
hanyalah ruang untuk mengimpikan, berimaginasi, dan beraksi.
* Fadiah Nadwa Fikri adalah seorang penggerak Malaysia Muda.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan