SPR mesyuarat 1 Okt bincang PRK Parlimen Tanjung Piai

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Kecil (PRK)Parlimen Tanjung Piai, Johor pada 1 Oktober ini.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, SPR sudah menerima makluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, hari ini berhubung kekosongan luar jangka kerusi itu susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, Sabtu lalu.

“Mengikut peruntukan undang-undang, SPR perlu mengadakan satu PRK bagi kerusi Parlimen itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada 1 Oktober ini jam 10 pagi bertempat di Ibu Pejabat SPR, Menara SPR, di sini.

“Mesyuarat akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, untuk membincangkan tarikh penting PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu dan persiapan diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan.

“Sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Md Farid, 42, yang memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meninggal dunia di Hospital Pontian, Johor, kira-kira jam 6 pagi Sabtu lalu akibat komplikasi jantung.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Wakaf Haji Ahmad Chokoh, Pontian, Johor.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi

Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA), dengan majoriti 524 undi.

Allahyarham juga adalah doktor dan pakar bius di sebuah klinik swasta di Melaka sebelum menyertai politik.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan