Tidak harus amal monopoli, peniaga Muslim patut bersaing hasilkan produk terbaik

Tiada salahnya kempen beli produk Muslim, bahkan baik tetapi kempen itu telah dikotori terlebih dahulu dengan kempen boikot produk non Muslim, kata Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ustaz Ali Muda.

Menurutnya, Nabi Muhammad S.A.W. mengajarkan kepada orang Islam agar menyokong produk dan pasar orang Islam untuk menyeimbangi monopoli perniagaan di pasar orang Yahudi di Madinah ketika itu.

“Muamalat dengan rakyat Madinah, Muslim dan non Muslim, berlaku seperti biasa, cuma monopoli dilarang,” dipetik dari Facebook beliau.

Jelasnya, hadis bermaksud, “Sesiapa yang mengamalkan monopoli dia berdosa” itu bersifat umum tanpa mengira sama ada Yahudi atau orang Islam.

“Daripada hadis itu, kita boleh faham bahawa jika orang bukan Islam membuat monopoli untuk menaikkan harga barang dikecam atau dibantah, maka orang Islam pun tidak harus mengamalkan monopoli.

“Sepatutnya peniaga Muslim bersaing dengan memastikan produk yang dikeluarkan itu terbaik tanpa keraguan.

“Sudah ada pun banyak produk Muslim yang sangat kompetitif di pasaran. Mereka tidak perlu kempen beli produk Muslim pun, tidak perlu berdebat kami bayar zakat pun,” ujarnya.

Ustaz Ali turut berpendapat penganut Islam wajar menukar kereta yang dibeli daripada pengeluar dan pengedar non Muslim dan membeli semula kereta keluaran dan edaran peniaga Muslim sahaja.

“Jadi bagi saya, kalau hujah peniaga Muslim bayar zakat itu merupakan hujah terbaik untuk kempen beli produk Muslim sahaja, maka eloklah kita semua tukar semua kereta yang dibeli daripada pengeluar dan pengedar non Muslim dan beli semula kereta keluaran dan edaran peniaga Muslim sahaja.

“Itu baru contoh produk kereta, banyak lagi produk lain yang kita beli daripada peniaga non Muslim.
“Apa macam? Sanggupkah kita tukar semua itu? Kalau macam itu, baru orang kata cakap serupa bikin, kan,” sinisnya lagi.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan