Dalam buku Ayah karangan anakanda kelima Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka), Pak Irfan Hamka memuatkan kisah-kisah teladan menarik dalam perjalanan hidup ulama besar dari Sumatera itu.
Bermula daripada kisah perjalanan dari kecil, meningkat remaja, cabaran menuntut ilmu, mendirikan Muhammadiyah, berjuang mendapatkan kemerdekaan, perjalanan dakwah, ia berlanjutan sehingga ke saat Buya Hamka menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Irfan bercerita berdasarkan apa yang disampaikan bapanya.
Walaupun bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan, Buya Hamka tetap pernah disumbat merengkok di penjara selepas negaranya - Republik Indonesia - merdeka.
Namun di sebalik serangan dan tahanan pemerintah di negara yang dimerdekakannya, ada sisi halus kehidupan Buya Hamka yang menyebabkan kita akan berasa amat malu lagi kerdil dengan kebesaran jiwa beliau.
Selama 28 bulan (1964-1966) Buya Hamka mendekam dipenjara.
Antaranya tuduhan yang dikenakan padanya ialah melanggar undang-undang antisubversif berkait dengan dakwaan merancang membunuh Presiden Sukarno.
Tetap kenang jasa presiden
Namun pada 16 Jun 1970, Buya Hamka menerima pesanan daripada Suharto yang menyampaikan hajat Sukarno: "Apabila aku mati kelak, minta Hamka sudi untuk menjadi imam solat jenazahku".
Pesanan berkenaan disampaikan kerana ketika itu Sukarno memang sudah tidak bernyawa.
Bahkan ada antara mereka menyifatkan Sukarno itu seorang munafik.
Apakah jawab Buya Hamka? Menurut Pak Irfan, ayahnya menjawab dengan lembut: "Hanya Allah yang mengetahui seseorang itu munafik atau tidak. Yang jelas, ketika sampai ajalnya dia tetap seorang Muslim. Kita wajib menyelenggarakan jenazahnya dengan baik. Saya tidak berdendam kepada orang yang pernah menyakiti saya. Dendam itu termasuk perbuatan dosa."
Tidak sekadar itu, Buya Hamka juga masih teringat jasa-jasa Sukarno terhadap Islam, seperti membina Masjid Baitul Rahim dan Masjid Istiqlal.
Antara kisah yang menarik yang dimuatkan dalam Ayah juga adalah kisah Buya Hamka dengan Mohammad Yamin dan Pramoedya Ananta Toer (Pram).
Selain dikenali sebagai sasterawan, kedua-dua mereka juga terlibat aktif dalam politik.
Pram sering menyerang Buya Hamka dengan menuduh pendakwah terbabit melakukan plagiat dalam tulisannya. Pun begitu Buya Hamka tetap melayan Pram dengan baik.
Suatu ketika apabila anak perempuan Pram, Astuti, ingin mengahwini seorang lelaki Cina bukan beragama Islam, dikenali sebagai Daniel.
Untuk mempelajari Islam, Pram mengarahkan Daniel - dengan diiringi Astuti - bertemu Buya Hamka. Akhirnya Daniel mengucap dua kalimah syahadah.
Buya Hamka seorang tokoh besar tetapi hatinya membumi, malah terhadap pembesar yang pernah membuat dia menderita.
Hari ini kita merindui jiwa besar Hamka.
AHMAD FIRDAUS KADIR ialah pemerhati isu-isu semasa dan kemasyarakatan.
0 comments:
Catat Ulasan