Toleransi jangan sampai langgar perintah agama, kata Agong

PUTRAJAYA: Penghijrahan negara ke tahap yang lebih tinggi boleh dicapai melalui pembentukan semangat toleransi dan kerjasama rakyat berbilang kaum yang menjadi asas kukuh kepada perpaduan negara.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, bagaimanapun berkata konsep ini tidak boleh diterjermahkan secara umum hingga melanggar perintah agama.

Baginda berkata perkara dan perbuatan yang bercanggah dengan ajaran yang dituntut Islam jika ditoleransi boleh meruntuhkan benteng agama.

“Justeru dalam kita berusaha melakukan hijrah kepada hidup bermasyarakat yang lebih toleransi serta disemai dengan bunga kasih sayang, janganlah pula kita mengabaikan tuntutan agama dan hukum Allah,” katanya.
Sultan Abdullah berkata demikian pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1441 Hijrah/2019 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof.

Baginda berkata peristiwa hijrah Rasulullah adalah lambang pengorbanan dan kejayaan yang wajar diteladani.

Baginda turut mengajak seluruh rakyat berhijrah membentuk negara yang maju dengan asas perpaduan dan keharmonian yang utuh.

“Kita telah jauh mengorak langkah membentuk sebuah negara merdeka yang berdaulat.
“Kemerdekaan negara merupakan satu nikmat dan rahmat kurniaan Allah.

“Sama-samalah kita memelihara nikmat dan rahmat ini buat bekalan kepada generasi yang akan datang,” katanya.

Baginda turut berkata, Malaysia melalui pelbagai peristiwa penghijrahan yang amat menabjubkan di mana negara melalui pembangunan fizikal yang pesat, peningkatan ekonomi dan kematangan landskap politik.

“Masih terdapat banyak ruang lagi untuk kita melakukan hijrah bersama-sama, pengukuhan etika dan nilai-nilai murni dalam pentadbiran dan pengurusan adalah satu aspek yang wajar dilaksanakan, ini kerana pembentukan sebuah negara maju tanpa budaya integriti yang tinggi merupakan penghijrahan yang tempang.”
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan