Oleh LIM HONG SIANG
Agak
sukar untuk sesebuah masyarakat mengerti bahawa paksaan sebenarnya
tidak membawa hasil sebagaimana yang dihasratkan, khususnya dalam bidang
budaya dan bahasa.
Pernahkah soalan ini terlintas dalam otak anda – Mengapa “tarian
singa” Malaysia mampu menjuarai pertandingan di peringkat antarabangsa
untuk sekian lama?
Apa hebatnya Cina Malaysia dalam acara “tarian singa”, berbanding
Cina di China, Taiwan dan Hong Kong –yang mana majoriti masyarakat
mereka terdiri daripada etnik Cina?
Pelik, bukan? Ia perlu diimbas kembali sehingga tahun 1979, di mana
Menteri Dalam Negeri ketika itu, Muhammad Ghazali bin Shafie cuba
mengenakan sekatan terhadap “tarian singa”, malah mencadangkan agar
singa digantikan dengan “harimau”, supaya disesuaikan dengan unsur
tempatan.
Cadangan Ghazali mencungkil kebimbangan komuniti Cina Malaysia bahawa warisan budaya ini akan pupus pada masa depan.
Tanpa diduga, kenyataan Ghazali menjana momentum yang “luar biasa”
dalam kalangan Cina Malaysia untuk memperkembangkan “tarian singa”,
sebagai reaksi tentangan terhadapnya.
Sebaliknya, “tarian singa” yang tidak berdepan dengan sebarang
halangan di China, diamalkan seperti biasa, tanpa “semangat
berkobar-kobar” untuk mempertahankan seni budaya ini. Ia menjelaskan
kesudahan yang kita saksikan pada hari ini.
Jikapun tidak dibalas dengan “tentangan” seperti kes di atas,
pendekatan paksaan jarang-jarang mendatangkan kesan yang mujarab. Kalau
kita perhatikan dalam konteks Malaysia, hakikatnya tidak kurang calon
berketurunan Cina yang mampu mencapai prestasi unggul dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu, tetapi penguasaan bahasanya semakin terhakis
setelah mereka tamat pengajian.
Mereka mampu skor A dalam SPM, tetapi beberapa tahun kemudian mereka
tergagap-gagap apabila bertutur dalam bahasa Melayu dengan makcik yang
menjual sarapan.
Pendirian saya agak jelas, bahawa rakyat Malaysia perlu menguasai
bahasa Melayu, dan saya menganggap diri saya membuktikan keikhlasan
dalam hal ini – sungguhpun untuk saya, penguasaan bahasa Melayu bukan
satu-satunya kayu ukur semangat patriotisme.
Apapun, daripada saling menuding jari, apa yang lebih penting adalah
cara penyelesaian bagaimana penguasaan bahasa Melayu dalam masyarakat
kita boleh dipertingkatkan. Cadangan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee
Malik untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah tepat.
Bahasa dikuasai dengan tujuan yang berbeza. Seseorang muslim belajar
bahasa Arab supaya lebih memahami teks kitab al-Quran; seseorang peminat
K-Pop sanggup belajar bahasa Korea agar dirinya lebih menghayati produk
budaya hasilan idola pujaannya.
Cabarannya, apakah faktor tarikan untuk bahasa Melayu dikuasai? Saya
cukup terkesan dalam hal ini kerana ilmu pengetahuan biasanya ditimba
melalui pembacaan. Saya tertanya-tanya, apakah ilmu yang mampu saya
kuasai, melalui pembacaan dalam bahasa Melayu?
Pernah saya melawat Pesta Buku Antarabangsa, yang bertempat di PWTC
setiap tahun. Dari pengamatan mata kasar, lebih 85% bukunya adalah buku
agama, dengan yang selebihnya terdiri daripada sastera, fiksi, sedikit
buku budaya dan politik.
Keadaan sedemikian mencungkil persoalan dalam hati, seandainya saya
hanya menguasai bahasa Melayu, ilmu apa yang boleh saya timba, selain
agama?
Keadaan sungguh berbeza apabila saya bertandang ke pesta buku yang berlainan bahasa.
Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi jenisnya cukup pelbagai di pesta
buku bahasa Cina, sungguhpun ada rungutan beberapa tahun kebelakangan
bahawa kualiti buku yang dipamerkan semakin merudum.
Pembaca akan menemui buku yang meramalkan senario antarabangsa pada
tahun seterusnya, dilengkapkan dengan peta dunia dan carta. Beberapa
tema utama dipilih, perubahan iklim, pertembungan agama, isu pelarian,
kebuluran, pergolakan geo-politik, perang perdagangan, pola jatuh naik
nilai mata wang, rekod hak asasi, hubungan diplomatik, gelombang
demokrasi dan sebagainya – dijelaskan dengan pengenalan sejarahnya,
rajah statistik, perkembangan terbaru dan sebagainya – ringkas dan
padat!
Kemudian kita akan menjumpai buku-buku yang membincangkan perancangan
bandar, pengangkutan awam, pengurusan sisa sampah, penggunaan sumber
alam dan lain-lain; buku-buku yang mengupas politik dari segi sejarah,
falsafah, budaya, atau dalam bentuk memoir dan sebagainya.
Ada juga buku tentang teknologi maklumat, menjangkakan trend
perkembangan masa depan, merungkaikan pertikaian antara kerahsiaan
peribadi individu dengan campur tangan kuasa jentera negara dan ekonomi.
Pendek kata, saya memiliki saluran untuk menimba ilmu yang terbentang
luas dengan penguasaan bahasa Cina, melalui buku yang dicetak atau
diterjemah dalam bahasa Cina.
Tapi apakah ia cukup? Semestinya tidak. Akan ada “titik buta” dalam
dunia bahasa Cina, mungkin kerana kejahilan, mahupun prejudis dalam isu
tertentu oleh mereka yang berbahasa Cina.
Justeru itu, ia akan dilengkapi jikalau kita membaca buku dari bahasa
yang lain, yang mungkin menawarkan perspektif yang berbeza. Inilah
nilai bahasa, sebagai saluran untuk kita menerokai dunia ilmu.
Ilmu adalah faktor tarikan yang cukup berkesan, untuk mendorong
seseorang agar menguasai sesuatu bahasa – setelah jemu dan tepu dengan
berita palsu yang dikongsi melalui media sosial dalam telefon yang lebih
pintar daripada pemiliknya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan