Oleh KANUN
Kongres
Maruah Melayu 2019 yang diadakan di Shah Alam baru-baru telah
menghasilkan respons yang bercampur-campur. Kongres Maruah Melayu itu
pada asal naratifnya adalah untuk menunjukkan kepada orang ramai betapa
maruah Melayu telah diinjak-injak oleh bangsa lain selepas jatuhnya
kerajaan BN dan kemenangan PRU-14 oleh PH.
Mereka juga ingin menunjukkan bahawa kedudukan Melayu makin terancam
apabila DAP menganggotai kabinet. Mereka mengharapkan kongres itu akan
menjadi batu api yang akan melonjakkan pengaruh politik pembangkang
khususnya pasca ‘taawun’ antara PAS dan UMNO.
Politik perkauman yang
dibawa oleh PAS dan UMNO ini akan menjadi lebih marak jika ada ucapan
yang mengeji dan memburukkan bangsa lain.
Namun, naratif itu telah gagal gara-gara ucapan Tun Mahathir yang
dianggap anti-klimaks. Tun Mahathir menyatakan bahawa kegagalan bangsa
Melayu di Malaysia ini adalah akibat daripada sikap mereka sendiri yang
berpecah-belah dan sekiranya terus bersikap sedemikian maka bangsa lain
akan mengambil peluang itu. Tun Mahathir juga mengingatkan supaya bangsa
Melayu mengubah sikap khususnya menceburkan diri dalam perniagaan dan
keusahawanan.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan puluhan tahun dahulu juga
tidak mencapai objektif yang ditetapkan kerana orang Melayu lebih
cenderung untuk kerja makan gaji dan mengharapkan pencen di hari tua.
Menurutnya lagi, acara seperti ini tidak sepatutnya dijadikan tempat
untuk meminta sesuatu sebaliknya orang Melayu perlu memuhasabah diri
mereka kerana maruah Melayu hanya akan pulih jika orang Melayu itu
sendiri berubah.
Respon beberapa pemimpin politik dalam isu Kongres ini adalah
bercampur-campur. Dato’ Seri Khalid Nordin, Naib Presiden UMNO
mengatakan bahawa Kongres ini adalah ‘wayang politik’ Tun Mahathir yang
berjaya menghimpunkan semua pemimpin dari segenap institusi politik
negara bagi tujuan untuk menyokong Tun Mahathir. Beliau menyifatkan
Kongres ini sebagai satu tindakan terdesak untuk menyekat kemaraan
Muafakat Nasional UMNO-PAS.
Presiden NGO Gerakan Pembela Ummah pula menyifatkan ucapan Tun
Mahathir itu sebagai mengecewakan dan menghina bangsa Melayu. Beliau
selanjutnya menyatakan ucapan Tun Mahathir itu sebagai seolah-olah tidak
menghormati barisan pemimpin politik Melayu yang datang melihat
kebersamaan dalam jati diri dan perpaduan Melayu Islam demi bangsa
Melayu, sebaliknya hanya merendahkan bangsa Melayu dengan menyatakan
orang Melayu tidak mahu kerja keras, enggan kerja susah dan sebagainya.
Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS pula kelihatan gembira
dapat hadir Kongres tersebut. Seusai program itu, beliau kelihatan
bergegas naik ke pentas untuk bersama-sama dengan Tun Mahathir dan
gambar beliau mengangkat tangan bersama Tun Mahathir telah tular di
seluruh media sosial.
Dalam isu ini sewajarnya semua pihak insaf bahawa apa yang dikatakan
oleh Tun Mahathir itu adalah satu kenyataan pahit yang harus diterima
oleh bangsa Melayu. Bangsa Melayu adalah bangsa majoriti di Malaysia
tetapi bagaimanakah bangsa yang majoriti ini boleh terpinggir berbanding
dengan bangsa-bangsa lain. Apakah ianya kesilapan undang-undang dan
perlembagaan atau kesilapan itu berada di tangan pelaksana polisi?
Dalam kata lain, pelaksana polisi itu atau pentadbir itu sendiri
gagal untuk melaksanakan tugas mereka dengan baik. Atau, apakah
kesilapan itu terletak di bahu bangsa Melayu itu sendiri yang gagal
untuk mengambil kesempatan dan peluang yang diberikan oleh pelaksana
polisi?
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan secara jelas telah meletakkan dasar
berkaitan keistimewaan bumiputra. Perkara 153(1) meletakkan
tanggungjawab itu kepada YDPA untuk melindungi kedudukan istimewa orang
Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.
Perkara 153 meletakkan tiga perkara yang menjamin kedudukan istimewa
bumiputra ini iaitu kuota jawatan dalam perkhidmatan awam, danasiswa dan
biasiswa, dan lesen serta permit.Oleh itu, kajian sepatutnya dibuat
dalam ketiga-tiga aspek ini yang manakah menjadi isu atau wujudnya
jurang sehingga menyebabkan orang Melayu terpinggir.
Dahulunya Dasar Ekonomi Baru telah dilancarkan pada tahun 1970
melalui Rancangan Malaysia Kedua. Matlamat utamanya ialah perpaduan
negara selain bertujuan untuk menyusun semula ketidakseimbangan
sosio-ekonomi yang wujud di Malaysia. Kajian pada masa itu mendapati
bahawa ketegangan antara golongan yang kaya dan miskin adalah berpunca
daripada isu kemiskinan. Pada masa itu, didapati bahawa orang Melayu
lebih banyak menghadapi isu kemiskinan berbanding kaum lain dan tidak
mampu bersaing dengan mereka.
Justeru, sebenarnya kerangka masa depan maruah Melayu menurut
Perlembagaan adalah bergantung kepada YDPA yang sepatutnya membawa
gagasan tentang bagaimanakah hala tuju orang Melayu. Untuk tujuan itu,
YDPA boleh menitahkan kepada kerajaan untuk memberikan laporan secara
tetap dan jika perlu ditubuhkan satu suruhanjaya khusus untuk menangani
isu ini. Tidak ada gunanya untuk memperkenalkan dasar baharu jika
perlaksanaannya tidak cekap.
Dalam kata lain, YDPA adalah adi atau wira dan pahlawan yang dapat
menyelamatkan maruah dan masa depan Melayu. Justeru, kebimbangan
sesetengah orang bahawa kedudukan Melayu tergugat dengan kewujudan DAP
dalam kabinet adalah satu mitos yang patut dihapuskan.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan