Berusahalah untuk dihormati dan bermaruah

Oleh

SUDAH lelah dan tidak produktif lagi rasanya untuk mengulang-ulang cerita ini. Bahawa Malaysia milik orang Melayu, bahawa ada yang mencabar maruah Melayu dan mengambil kesempatan daripada baik budi mereka.

Ini hanya berlaku apabila politi Melayu jadi tunggang terbalik. Ia terjadi di Pulau Pinang dan Selangor selepas Barisan Nasional (BN) tersingkir di dua negeri itu dalam pilihan raya umum 2008.

 Ia berlaku pula sekarang selepas BN hilang kerajaan persekutuan pada 2018.

Apabila disebut BN, bacanya Umno.

Mari kita betulkan beberapa salah tanggap. Malaya merdeka daripada penjajah British pada Ogos 1957 selepas setuju bahawa lebih kurang sejuta penduduk Cina dan India pada masa itu diberikan kerakyatan. Kalau tiada kerakyatan untuk mereka, tidak Merdeka.

Tiada budi baik di situ, sebaliknya yang ada hanyalah percaturan politik.

Lajak ke depan pada 1963, Malaysia dibentuk oleh empat wilayah – Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak. Dua wilayah di Borneo itu mempunyai jumlah pribumi yang ramai yang diistilahkan sebagai Bumiputera. Singapura disingkirkan pada 1965.

Ertinya, Malaysia bukan Melayu. Untuk Melayu yang membentuk majoriti di negara ini, yang menikmati dasar yang memihak kepada mereka serta nikmat daripada kerajaan BN, berkata mereka kini terancam adalah satu pembohongan besar.

Sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) kepada Dasar Pembangunan Nasional (DPN) membawa kepada Wawasan 2020 dan seterusnya Dasar Transformasi Ekonomi gagasan Najib Razak, sejumlah agensi dan peruntukan dikhaskan untuk Bumiputera.

Malah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan semalam juga ada dasar untuk Bumiputera.

Bagaimanakah semua ini menjejaskan maruah Melayu?

Kenapa ahli akademik Melayu terheret jadi juara kaum bersama Umno dan PAS yang terus mengelirukan orang Melayu untuk percaya bahawa orang lain cemburu akan kejayaan dan kedudukan mereka di Malaysia?

Kenapa ahli akademik ini sekarang menegaskan bahawa maruah Melayu, malah Raja-Raja Melayu juga sedang terancam?

Adakah mereka ini bersuara ketika agensi kerajaan dirompak sementara tabung negara diseleweng?

Adakah mereka ini bersuara apabila ahli politik seperti Anwar Ibrahim, Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal sama ada dimomok dan dipecat oleh ahli politik Melayu yang lain sepanjang beberapa tahun lalu?

Adakah maruah Melayu tercalar sekiranya kerajaan persekutuan berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia?

Adakah maruah Melayu terpelihara dengan tajaan pergi naik haji daripada sebuah syarikat kerajaan yang tidak untung tetapi boleh pula membayar pegawai eksekutifnya gaja RM100,000 sebulan dan memberikan juga bonus kepadanya untuk 18 bulan?

Malaysia kini tercekik kerana kerajaan dulu yang boros. Kerajaan baharu dihadapkan dengan tugas – mengurangkan jurang kelas, kaum dan wilayah.

Ia menuntut semua rakyat Malaysia berganding bahu menyelesaikan masalah ini, dan bukannya orang yang sama yang mencanangkan cerita lama menuntut kehormatan dan bahagian lebih besar dalam bingka ekonomi yang semakin kecil untuk semua orang.

Kalau mahu kehormatan dan maruah, berusahalah untuk meraihnya.

Kerana Malaysia adalah milik bersama semua rakyat Malaysia – dari Perlis sampai ke Johor, merentas sampai ke Sabah dan Sarawak. Kita sama, sejak 16 September 1963. Tiada mana-mana rakyat Malaysia yang terhutang kepada orang lain untuk jadi warga Malaysia.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan