Dr M nafi k'jaan PH lupakan negeri PAS dalam Belanjawan 2020

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan melupakan negeri di bawah pentadbiran PAS khususnya Kelantan dalam Belanjawan 2020 seperti dakwaan Ketua Pembangkang Ismail Sabri.

Dr Mahathir berkata malahan sebaliknya peruntukan kepada negeri itu sering kali dilupakan pentadbiran BN dulu.

“Tak lupa, kita beri juga peruntukan kepada Kelantan. Di zaman dia (BN), Kelantan punya duit daripada petroleum royalti pun dia tak bagi, kita bagi.

"Kita (kerajaan) hutang orang kita bagi, dia (BN) hutang orang dia tak bagi, kita kena bayar,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan ‘International Medical Device Conference 2019’ (IMDC 2019) dan ‘Malaysia Medical Device Expo 2019’ di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan naib presiden Umno itu semalam, bahawa Belanjawan 2020 mengabaikan negeri PAS iaitu Kelantan dan Terengganu.

Ismail yang menyifatkannya sebagai ‘belanjawan kapitalis’ berkata tiada agihan peruntukan yang besar bagi kedua-dua negeri tersebut berbanding Sabah, Sarawak, Kedah dan Perlis.
Pada 10 Oktober, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengharapkan supaya royalti petroleum kepada Kelantan direalisasikan melalui Belanjawan 2020.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam berkata, royalti minyak sudah dibayar kepada Kelantan pada bulan lalu.

Lim berkata demikian menjawab dakwaan anggota parlimen pembangkang yang mengatakan Kelantan belum menerima bayaran royalti minyak.

Bagaimanapun, pada sidang DUN Kelantan pagi tadi Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob menegaskan menteri kewangan telah mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan.

Katanya, kerajaan persekutuan bukan membayar wang royalti sebaliknya hanya wang ehsan.

"Apa yang disebut beliau telah mendahului tahun ini pada 7 September adalah mungkin di situ maksud menteri kewangan telah mendahului (bayaran) adalah wang ehsan, bukan royalti minyak.

"Beza terlampau jauh. Wang ehsan nak beri tak apa, tak nak beri pun tak apa. Royalti hak kita.
"Kewajipan hendaklah dibayar kepada kerajaan Kelantan," jelasnya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan