Saya tak mahu berbalah istilah royalti, wang ihsan - Lim

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata beliau tidak mahu berbalah dengan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob mengenai istilah yang digunakan mereka dalam isu pemberian wang royalti minyak oleh kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, Lim menegaskan isu pembayaran tersebut telah diselesaikan.
"Saya tak mahu berbalah tentang istilah yang digunakan.

"Apa yang dibayar sebelum ini dan telah pun dibayar dengan lebih cepat dan awal oleh pihak Kerajaan Persekutuan. Apa yang saya nyatakan di Dewan Rakyat memang benar dan diakui oleh MB Kelantan," katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob hari ini menegaskan kenyataan yang dikeluarkan Lim berhubung pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan sebagai tidak benar.

Menurut Ahmad Yaakob, kerajaan persekutuan bukan membayar wang royalti sebaliknya hanya wang ihsan.

Malah katanya, wang ihsan dan pembayaran royalti adalah dua perkara berbeza dan apa yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri adalah pembayaran royalti petroleum.

Mengulas lanjut, Lim berkata adalah lebih baik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan mengadakan satu perbincangan mengenainya dengan lebih lanjut.

"Saya harap perkara ini marilah kita bincang secara waras, kalau nak berpolemik pun janganlah tanpa asas dan bukti yang kukuh," katanya lagi.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan pembayaran royalti kepada kerajaan negeri Kelantan sudah dibuat bulan lalu.

Katanya, beliau menandatangani pembayaran atas arahan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan