Penduduk Kampung Baru beri dua pilihan

KUALA LUMPUR - Majoriti penduduk di Kampung Baru di sini akan menerima tawaran baharu yang bakal diumumkan kerajaan pada Khamis ini sekiranya harga pembelian itu dinaikkan antara RM1,200 hingga RM1,500 bagi satu kaki persegi.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Pindah, Zainal Fredrick Zakaria berkata, beliau yakin rata-rata penduduk di situ akan menerima tawaran berkenaan jika kerajaan menetapkan harga yang signifikan bagi pembelian tersebut.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya serius dalam membuat tawaran berhubung pembelian tanah berkenaan bagi membolehkan isu itu dapat diselesaikan segera.

"Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sebelum ini menyatakan harta orang Kampung Baru terbenam di dalam tanah. Kalau betul terbenam, bagilah tawaran yang betul supaya harta itu dapat timbul," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, pihaknya mempunyai dua opsyen yang boleh digunakan oleh kerajaan dalam menentukan tawaran bagi pembelian tanah di Kampung Baru.

Menerusi opsyen pertama, Zainal berkata, sekiranya kerajaan bertegas untuk mengekalkan tawaran pembelian dengan nilai RM850 berdasarkan syarat pemilikan tanah di bawah Malay Agricultural Settlement (MAS), maka ia seharusnya dibuat secara pajakan selama 99 tahun dan bukannya melalui pegangan bebas.

"Ini kerana di masa hadapan kerajaan berhak dan boleh menukar status ini. Jadi ia tidak adil di mana tawaran pembelian yang diberikan kepada penduduk sebelum ini hanyalah dinilai berdasarkan harga sekatan tanah rizab Melayu.

"Jadi tawaran ini hanya adil sekiranya dibeli secara pajakan 99 tahun ditambah dengan bayaran keuntungan sebanyak 30 peratus dan bayaran nilai harta rumah kepada penduduk. Jadi jumlah keseluruhan adalah RM1,205 bagi satu kaki persegi.

"Seperti semua tahu, projek ini akan melibatkan banyak pihak seperti pemaju, arkitek, konsultan, pembekal dan pihak-pihak lain yang akan mendapat keuntungan. Disebabkan itulah penduduk juga mahukan bayaran keuntungan sebanyak 30 peratus ini," katanya.

Selain itu, Zainal berkata, kerajaan juga mengambil tanah di situ melalui pegangan bebas dengan tawaran pembelian tanah bernilai RM3,000 bagi satu kaki persegi mengikut saiz dan lokasi.

"Kemudian penduduk akan memberi potongan harga sebanyak 50 peratus kepada kerajaan dan nilai pembelian itu akan menjadi sekitar RM1,500.

"Dan mungkin kerajaan juga boleh tambah sikit bagi bayaran nilai harta rumah kepada penduduk," katanya.

Pada 21 September lepas, Khalid mengumumkan kerajaan akan menawarkan RM850 bagi setiap kaki persegi dalam pengambilan tanah untuk pembangunan semula Kampung Baru.

Bagaimanapun, sebahagian besar penduduk berpendapat tawaran harga itu tidak setimpal memandangkan lokasi strategik penempatan itu dan meminta kerajaan mengkajinya semula.

Pada 6 Oktober lepas, Dr Mahathir memberitahu sidang media bahawa tanah Kampung Baru akan dijual kepada agensi kerajaan untuk dibangunkan, bukan pihak lain.

Beliau berkata, agensi kerajaan itu pula akan membantu para pemilik tanah berkenaan membangunkan Kampung Baru tanpa mengabaikan ciri-ciri asal lokasi berkenaan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan