Oleh ZOLKHARNAIN ABIDIN
Dengan
tidak semena-mena, mufti sebuah negeri di utara berbicara tentang
AMANAH secara khusus melalui tiga klip video. Video gelap kerana tak
cukup cahaya itu menampilkan mufti terbabit bersama seorang individu
lain sebagai pengacara. Kalimah paling kerap yang mereka berdua sebut
dalam semua klip video itu ialah kalimah AMANAH. Bukan amanah sifat
rasul itu, tapi parti AMANAH
Sebelum terlupa, izinkan saya untuk berterima kasih dalam lima
perkara kepada mufti terbabit.
Pertama, kerana sudi berbicara tentang
AMANAH secara ekslusif. Kedua, kerana sudi menyebut AMANAH dengan
akronim yang betul. Ketiga, kerana tidak menyamakan AMANAH dengan “janda
tak boleh pakai” seperti akhbar parti itu. Keempat, kerana sudi meluang
masa berharga mufti untuk menyinggung peranan AMANAH. Kelima, kerana
sudi memberi perhatian secara langsung kepada gagasan Rahmatan Lil
Alamin yang dipelopori oleh AMANAH.
Lima terima kasih itu sempena lima rukun Islam, lantaran saya begitu
teruja dengan isi kandungan wawancara berkenaan. Sejujurnya, klip video
wawancara itu begitu menghiburkan hati kami orang-orang AMANAH
Berpeluang juga untuk kami berbisik, “Oh, parti kami yang tidak setara
mana ini, berusia setahun jagung, tidak dibarisi oleh tokoh-tokoh gah
dan hebat diberi perhatian oleh mufti paling hebat di negara ini. Hah…!”
Terima kasih mufti. Selepas kehadiran mufti ke Kongres Maruah Melayu
yang mufti turut menjulang tangan bersama beberapa orang pemimpin Melayu
lain, dan mufti memberi komen, ucapan PM tak cukup perisa, saya fikir
mufti tentu akan berbicara tentang parti penganjur kongres itu. Atau
berbicara naratif Melayu terancam, tapi sangkaan saya meleset apabila
mufti berbicara tentang AMANAH
Disela-sela hiruk-pikuk maruah Melayu terancam, dan lebih berperisa
lagi jika disebut Islam terancam, AMANAH juga yang mufti ingat. Bukan
sekadar kalimah AMANAH berlegar-legar dalam ruang fikir mufti, bahkan
mufti sudi bervideo khusus tentang AMANAH. Padahal, mufti boleh
menyinggung parti lain yang lebih hebat dan senior, tetapi AMANAH yang
mufti sebut dengan fasih berulang-ulang kali. Hal ini tentulah layak
saya kalungkan terima kasih sekali lagi untuk mufti.
Mufti pun tahu, isu Zakir Naik sudah ada keputusan kerajaan.
Pendirian AMANAH sama dengan pendirian kerajaan yang diumum oleh PM.
Tidak lebih dan tidak kurang kerana AMANAH sebahagian daripada kerajaan.
Namun mufti masih mahu AMANAH bersuara juga walaupun kerajaan sudah
bersuara. Nampak…! besarnya kedudukan AMANAH pada penilaian mufti.
Berharganya suara AMANAH kepada mufti. Jika saya tidak berterima kasih
kepada mufti dalam hal ini, saya memang seorang yang tidak tahu menilai
jasa mufti.
Demikian dengan isu komik yang diedar di sekolah di Pulau Pinang.
Menteri Pendidikan sudah mengeluarkan pekeliling mengenainya kerana itu
memang bidang kuasa menteri terbabit. Menteri AMANAH tidak ada seorang
pun yang terlibat secara langsung dalam hal itu. Tak manislah kalau
menteri AMANAH campurtangan dan membuat kenyataan merentas kementerian.
Namun begitu, mufti tetap mahu AMANAH bersuara juga. Padahal secara
kolektif, suara Menteri Pendidikan adalah suara kerajaan. Itulah juga
suara AMANAH yang menjadi sebahagian daripada kerajaan. Tak perlu lagi
tahsil al-hasil, yakni buat kerja yang sudah dibuat oleh orang lain.
Tapi mufti tanya, mana suara AMANAH? Suara AMANAH juga yang mufti mahu
dengar. Betapa kembangnya hati saya orang AMANAH apabila mufti begitu
menghargai AMANAH. Saya balas penghargaan itu dengan ucapan terima kasih
sekali lagi.
Akhirnya, kenyataan mufti tentang hal ini paling saya kagumi, iaitu
apabila mufti kata, AMANAH paling setia dengan DAP. Menurut mufti AMANAH
tIdak pernah membantah DAP dalam semua hal. Kenyataan ini begitu
melegakan saya kerana selama ini kami dilabel barua DAP dan banyak lagi
label negatif lain. Tapi, apabila mufti guna kalimah setia, dan mufti
kagum dengan kesetiaan AMANAH, mufti telah membersihkan AMANAH daripada
label barua.
Setia dalam bahasa Arab ialah al-wafa’. Orang Islam diperintah setia
dengan janji dan sebarang kontrak. Lawan al-wafa’ ialah al-khianah.
Syukur, kami diberi bintang setia oleh mufti yang sehebat mufti itu.
Belum ada mana-mana mufti yang memberi kami bintang itu. Ketika kami
berlegar-legar mencari istilah yang sesuai untuk menggambarkan hubungan
baik kami dengan DAP, mufti tampil dengan istilah setia. Hilang semua
kegusaran kami dengan bantuan mufti.
Tentulah jika saya tidak berterima kasih kepada mufti kerana telah
menyelamatkan AMANAH dalam hal ini, zalimlah saya. Terima kasih mufti
kerana mengiktiraf AMANAH memiliki satu akhlak terpuji iaitu setia.
Semenjak awal AMANAH setia dengan semua pihak, bukan saja dengan DAP.
AMANAH setia dengan PKR dan tidak pernah mengkritik PKR secara terbuka,
setia dengan Bersatu dan sentiasa mendokong perjuangan Bersatu. AMANAH
juga setia dengan Tun selaku PM, dengan Kak Wan selaku TPM dan dengan
DSAI selaku Presiden PKR selaku bakal PM. Itulah AMANAH semenjak awal
penubuhannya. Kami berpakat dalam PH untuk saling setia, bukan untuk
saling jadi barua.
Terima kasih mufti kerana memperkenalkan istilah setia dalam
kolaborasi politik dalam PH. Kalau parti-parti lain berkolaborasi
politik dengan pelbagai istilah Arab, kami berkolaborasi dengan bahasa
kami sendiri. Dalam hal ini tentu kami tidak sesuai dilabel golongan
yang mengancam Melayu.
Terima kasih, terima kasih, terima kasih mufti kerana mengingati
AMANAH, menyinggung AMANAH, mengkritik AMANAH yang semuanya itu
membayangkan AMANAH begitu akrab dengan hati dan pemikiran mufti. Dan,
kalau mufti berminat untuk berenang dalam lautan politik yang bergelora
ini, AMANAH berterima kasih kalau mufti memilih AMANAH sebagai wadah.
*Penulis adalah Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANA
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan