KUALA LUMPUR - Pakar ekonomi terkemuka Profesor Dr. Jomo Kwame Sundaram hari ini
menggesa kerajaan untuk mengutamakan pemberian subsidi pengangkutan
awam berbanding subsidi bahan api atau petrol.
Malah, kata beliau, ini penting bagi membantu
golongan bawahan yang lebih banyak bergantung kepada kaedah pengangkutan
awam tersebut.
“Siapa
yang lebih banyak menggunakan bahan api? (Sudah pastinya adalah
kalangan) pemilik kereta. Mereka yang berpendapatan 20 peratus terendah
sebaliknya tidak memiliki kereta mahu pun motosikal dan hanya bergantung
kepada pengangkutan awam.
“Oleh itu,
kerajaan perlu meneliti untuk memberi subsidi pengangkutan awam yang
digunakan oleh 70 peratus rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita
selepas mempengerusikan panel perbincangan bertajuk ‘Growth and
Development’ (Pertumbuhan dan Pembangunan) pada Forum Megatrend Khazanah
2019.
Jomo berkata, demikian sebagai
mengulas langkah kerajaan memansuhkan mekanisme subsidi petrol sedia ada
dan secara berperingkat mengapungkan semula harga runcit petrol RON95
di Semenanjung Malaysia mulai 1 Jan, 2020.
Mengulas
selanjutnya, Jomo berkata : “Kerajaan Malaysia telah cuba mengurangkan
subsidi (bahan api) ini. Subsidi bahan api di mana-mana negara hanya
menguntungkan kelas pertengahan berbanding bawahan.”
Menurutnya, Malaysia juga adalah antara negara yang mencatat pemilikan kereta tertinggi di dunia.
Beliau
yang juga Penasihat Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Khazanah
berkata kerajaan juga perlu menimbang peluang pertumbuhan atau
pembangunan lainnya termasuk beralih kepada penggunaan biodiesel.
Ditanya
mengenai cadangan kerajaan meliberalisasikan sektor tenaga, beliau
berkata ini sejajar komitmen ke arah menggalakkan penggunaan tenaga
boleh diperbaharui yang sepatutnya diutamakan.
“Apabila projek penjana tenaga bebas (IPP) diberi kepada syarikat, kebanyakannya menjana tenaga menggunakan diesel.
“Namun
kini mereka menggunakan arang batu iaitu satu langkah ke belakang
kerana terdapat banyak bahan sufida dan sulfit yang terlepas ke ruang
udara dan menjejaskan kesihatan orang ramai,” katanya.- BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan