Politik gaya PAS bahaya untuk Malaysia

Oleh Sim Chee Keong 

 MERUJUK kepada laporan media tentang fitnah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man (5 November 2019) terhadap ucapan Lim Guan Eng di Johor

Hakikatnya, ucapan Lim adalah berdasarkan rekod parti pembangkang tersebut bersama sekutu mereka yang seringkali menggunakan isu-isu perkauman sebagai modal politik.

Tuan Ibrahim sendiri telah berulang kali menggesa polis menyiasat ucapan saya kepada orang Kristian di dalam gereja yang bertujuan menyeru orang Kristian menjadi warganegara yang baik berasaskan nilai-nilai dalam Bible. Malah beliau telah menuntut agar DAP diharamkan kerana perkara tersebut.

Ini jelas membuktikan bahawa PAS tidak mempunyai toleransi terhadap agama lain dan berhasrat mengongkong kebebasan agama bukan Islam di negara ini yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pernah menyatakan bahawa Perlembagaan dan undang-undang Malaysia ialah “perlembagaan penjajah”, “undang-undang kafir”, dan “peraturan jahiliyah”.

Justeru Rakyat Malaysia tidak ada keyakinan bahawa PAS menghormati asas pembentukan negara Malaysia dan hak asasi Rakyat Malaysia yang telah dipersetujui oleh semua pihak di negara ini.

Malah PAS mempunyai pandangan yang amat rendah terhadap rakyat bukan Islam di negara ini dan pernah berkali-kali menidakkan orang bukan Islam menjadi pemimpin negara waima orang tersebut mampu menjadi seorang pemimpin yang baik.

Tanpa menilai baik buruk seseorang calon, semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, PAS mengeluarkan kenyataan bahawa jika calon Islam dan calon bukan Islam bertanding, pengundi Islam perlu mengundi calon Islam.

Kini tidak sampai setahun, pendirian PAS berubah pula di PRK Tanjung Piai, dengan alasan prinsip itu tidak mutlak. Ini semata-mata kerana calon yang disokong oleh PAS dari MCA melawan calon beragama Islam dari Pakatan Harapan.

Jelas di sini, PAS sanggup menggunakan retorik agama demi kepentingan politik. Kita bimbang cara berpolitik begini akhirnya akan menyebabkan masyarakat kita menjadi keliru, berpecah dan saling bermusuhan.

Politik PAS yang memainkan sentimen agama dan kaum, ditambah pula dengan skandal rasuah yang melanda PAS, ditambah lagi kerjasama parti tersebut dengan Umno yang begitu terpalit dengan rasuah, menjadikan politik PAS bahaya kepada Malaysia.

Cukuplah PAS berselindung di sebalik kenyataan-kenyataan fitnah; saya dengan ini menjemput Tuan Ibrahim, untuk berdebat dengan saya di hadapan Rakyat Malaysia dan saya akan mengemukakan bukti-bukti bahawa politik PAS merupakan bahaya kepada Malaysia
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Komen