PRU14 dalam tempoh 180 hari lagi, kata Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zaidi Hamidi mengumumkan Pilihan Raya Umum ke-14  bakal diadakan dalam tempoh 180 hari lagi.

“Pilihan raya akan datang akan berlangsung tidak lebih 180 hari dari sekarang.

“Kalau ada katakan lebih 180 hari saya fikir orang itu harus berada di luar kepompong realiti,” kata beliau ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional ke-46 Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Cheras hari ini.

Mandat PRU sebelum ini akan berakhir pada Ogos akan datang.

Jangka waktu yang diberikan Zahid itu sebenarnya tidaklah mengejutkan dan menepati jangkaan kebanyakan pihak yang PRU14 bakal berlangsung antara Februari hingga Mei tahun depan.

Zahid dalam pada itu turut berseloroh yang Setiausaha Agung BN Tengku Adnan Tengku Mansor "lebih mengetahui" soal tarikh itu tetapi hanya Perdana Menteri dan Pengerusi BN Najib Razak akan membuat keputusan selepas semua jentera parti komponen gabungan mereka bersedia.

"Tengku Adnan lebih mengetahui pasal bila pilihan raya ini tetapi beliau tidak boleh buat keputusan. Beritahu saya pun, saya tak buat keputusan.

"Yang boleh buat keputusan ialah pengerusi kita, Datuk Seri Najib. Dia (Najib) akan umum bila semua dah sedia," kata beliau.

Zahid turut berseloroh sebagai menteri dalam negeri mengetahui mengenai semua pihak yang cuba melobi untuk menjadi calon PRU akan datang.

Beliau turut membayangkan senarai calon BN akan ditapis olehnya sebagai timbalan pengerusi BN yang secara tradisinya bertindak sebagai pengarah strategi pilihan raya gabungan 13 parti politik itu.
"Siapa kerja kuat, siapa malas saya tahu. Siapa yang hanya turun bila menteri datang, lepas itu bila menteri balik, dia balik tidur rumah saya tahu.

"Yang nak melobi jadi calon saya tahu. Dulu yang rajin sekarang sudah tak rajin saya tahu. Yang dulu tak rajin sekarang baru rajin juga saya tahu," kata beliau disambut sorakan dan tepukan daripada hampir 2,000 delegasi, tetamu, wakil parti politik dan NGO yang hadir pada perasmian persidangan itu sejak pagi tadi.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan