Dihantui misteri Altantuya

Oleh Tok Perak

*TIGA belas tahun setelah dibunuh dan mayatnya diletupkan dengan bahan peledak di dalam hutan, cerita Altantuya tiba-tiba meledak semula.

Azilah Hadri yang didapati bersalah dan sedang menunggu giliran untuk menjalani hukuman gantung membuat akuan bersumpah yang menggemparkan.

Dalam akuan bersumpahnya, bekas pegawai komando itu menyebut Datuk Seri Najib Razak yang memberi arahan supaya dia (Azilah) membunuh model warga Mongolia itu.

Dengan akuan bersumpah itu, kes skandal dan pembunuhan kejam yang sepatutnya ditutup itu nampaknya akan dibuka semula.

Maka banyak lagi misteri akan terbongkar dan tidak sahaja Najib, ramai lagi akan muncul ke pengadilan. Setelah lebih tiga dekad, kisah Altantuya kembali bangkit dan terus mengacau.

*PERIHAL akuan bersumpah, Muhammed Yusoff Rawther telah menjalani ujian mesin poligraf berikutan dakwaan cabul terhadap dirinya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seperti yang disiarkan media, bekas pegawai Anwar itu tenang dan tersenyum setelah beberapa jam menjalani ujian yang dapat menentukan sama ada dia berbohong atau sebaliknya.

Ada yang mencadangkan, untuk berlaku adil, yang kena tuduh patut juga menjalani ujian sama.

Terdahulu polis memberitahu pihaknya juga akan memanggil Anwar dan beberapa individu lagi, tetapi tidak dinyatakan adakah Anwar juga akan dikenakan ujian poligraf.

Atau, adakah selepas ini akan ada lagi siri-siri sumpah laknat dalam masjid?

*DARI Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa umat Islam antarabangsa bersatu dengan membeli produk yang dihasilkan kalangan mereka bagi mengurangkan kebergantungan dengan negara barat.

Beliau menegaskan gesaan itu bukan seruan untuk memboikot perkhidmatan orang lain tetapi menasihati umat Islam melihat keadaan ummah. “Kita tidak suruh boikot perkhidmatan orang lain...”

Gesaan Dr Asri itu patut diambil perhatian dan dilakukan segera oleh semua umat Islam. Di tempat kita kempen utamakan barangan Islam (BMF) terbukti berkesan. Kempen itu molek diteruskan di peringkat global.

*IKLAN itu memaparkan kata-kata: “Di sinilah bertemu yang cantik dan yang berjaya” serta “Hai sayang, ubahlah gaya percintaan anda.”

Itulah iklan sugar daddy, Sugarbook yang dipasang di dua lokasi strategik di ibu negara, pada 3 Disember. Iklan ala-ala miang @ gatal itu bagaimanapun telah ditarik balik.

Ramai menganggap iklan tersebut tidak sesuai dengan nilai murni orang kita.

Tetapi ada yang kata iklan seperti itu bukan perkara baru. Ia sama sahaja dengan iklan dan ruangan mencari jodoh atau bertemu pasangan yang satu ketika dulu banyak disiarkan di majalah dan akhbar.

Bezanya iklan-iklan dulu tidak ada perkataan ‘sugar daddy’, jadi tidak berapa nampak kemiangan dan kegatalannya. ‘Sugar daddy’ bukan budaya kita. Maka iklan seperti itu diharamkan.

*DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berkata mereka tidak pernah meluluskan iklan ‘Sugar Daddy’ yang membangkitkan kontroversi itu

YWP - yang bertanggungjawab terhadap dua papan iklan yang terlibat - juga berkata telah memanggil dan memberi surat tunjuk sebab kepada operator iklan.

Sekiranya tidak ada kelulusan daripada pihak berkuasa, siapa pula yang memandai-mandai dan berani memasang iklan seperti itu?

Tetapi benda macam ini biasalah. Kalau tidak ada orang tegur, semua pihak akan kata OK. Bila ada yang tegur barulah pihak berkuasa kata dia tidak tahu dan tidak luluskan.

Samalah macam model separuh bogel yang dipamerkan dalam pameran tatu di KL beberapa minggu lalu. Bila orang bising barulah pihak berkuasa berkata mereka tidak tahu dan tidak beri kelulusan.

*AKHIR kalam, sekarang musim akuan bersumpah. Sana-sini ada sahaja individu muncul membuat akuan bersumpah dengan berbagai-bagai dakwaan.

Biasanya selepas musim akuan bersumpah akan diikuti pula oleh musim sumpah laknat di masjid. Kemudian ada juga musim ujian poligraf.

Demikianlah banyaknya musim di negara kita, mengalahkan negara-negara empat musim yang hanya ada musim winter, summer, autumn dan spring.

Kita ada lebih 10 musim, termasuk musim hujan, musim panas, musim kahwin, musim durian...
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan