Oleh ABRAR SADIQ BIN AZIZI
Menjengah angka lima tahun penubuhannya, AMANAH terus bernafas di tanah air tercinta atas dasar kesederhanaan yang diamalkan.
AMANAH juga menjalin kerjasama politik yang erat bersama-sama rakan komponen Pakatan Harapan (PH).
Tidak keterlaluan dikatakan, AMANAH sebuah parti politik berteraskan
Islam moderat yang sudah matang dan stabil dalam berhadapan suhu suasana
politik Malaysia yang kian panas sekarang.
Ia mahu dinamakan dengan nilai tertinggi sesebuah perjuangan dan
memilih nilai amanah sebagai nama yang diberi kepada parti yang digelar
“parti nyamuk” ini.
Kejayaan AMANAH menjadi tunjang kepada kerajaan PH yang memerintah
hari ini apabila telah membuktikan kewibawaan dan kekuatannya mampu
berada seiring parti yang bernuansakan Islam iaitu Pas dan parti yang
menjadi kerajaan buat sekian lama iaitu Umno.
Jelas, peranan AMANAH yang dipimpin Tuan Haji Mohamad Sabu amat besar
sekali dalam menjayakan agenda Pakatan Harapan untuk mengambil tampuk
pemerintahan dari penguasa zalim Barisan Nasional (BN).
Perjalanan parti ini sudah pasti berhadapan pelbagai onak duri sementelah memegang tampuk kuasa yang sudah dikecapi.
Hanya suara lantang dan desakan aktivis parti senantiasa menjadi
semak imbang untuk sebahagian pimpinan AMANAH yang mungkin sudah dibuai
mimpi indah. Maka, bahtera AMANAH ini terus diharap agar dikemudi pada
laluan yang tepat walaupun dibadai ombak dan taufan.
Mesej yang jelas juga ditunjukkan oleh ahli AMANAH ketika pemilihan,
bahawa pimpinan yang hanya lantang di media sosial dan tidak pandai
berpolitik telah dinyahkan secara harmonis sekali.
Terserlah kecerdikan ahli AMANAH yang berfikir panjang demi masa
depan parti apabila memilih pimpinan yang berkemahiran tinggi dan
mempunyai wawasan jelas.
Suara akar umbi AMANAH juga mahukan pimpinan yang mampu menyantuni
segenap lapisan masyarakat. Itulah syarat utama dalam membimbing sebuah
parti muda yang sarat dengan idea-idea segar dan baru ini.
Malah, keberdayaan AMANAH untuk menarik perhatian rakyat Malaysia
adalah amat membanggakan. Konvensyen yang lalu jadi buktinya apabila
berlangsung serentak dengan mesyuarat tahunan dua parti lain yang lebih
ramai ahli iaitu Mesyuarat Agung Umno dan Kongres PKR.
Kebolehan AMANAH untuk menarik perhatian rakyat menunjukkan parti ini
telah berjaya menempatkan diri dalam posisi penting di arena politik
negara.
Amalan politik sederhana dan bersifat rahmah antara satu sama lain
telah berjaya menempatkan AMANAH sebagai parti yang berupaya untuk
menjalin kerjasama politik dengan sesiapa sahaja yang mampu membawa
nilai-nilai moderat dan berkebajikan dalam suasana politik hari ini.
Dengan meyakini Rahmatan Lil Alamin sebagai gagasan besarnya, AMANAH
yakin dengan keperluan kesepakatan Pakatan Harapan dan menggalas amanah
besar mengisi tampuk pemerintahan Malaysia dengan citra Malaysia Baru.
Nilai yang dibawa dalam alam realiti kenegaraan parti tercinta ialah
progresif, peduli dan inklusif selaras dengan keberanian ahli
menampilkan pimpinan muda yang progresif.
AMANAH juga menonjolkan kepedulian kepada rakyat malah kebebasan ahli
AMANAH untuk mengkritik pimpinan secara terbuka jelas menepati ciri
inklusif yang dibawa dalam menganuti nilai parti bernuansakan Islam ini.
Akhir kalam, diharap AMANAH terus menyebarkan risalah kesederhanan
dalam politik ketika suasana yang penuh ekstrem berkumandang di bumi
Malaysia.
Gerak kerja yang progresif dalam menonjolkan sifat kepedulian AMANAH
wajar dipergiat di seluruh kawasan agar idea-idea segar kita dapat
menerobos tembok pemikiran orang Melayu Islam.
AMANAH merupakan parti yang mempunyai masa depan cerah untuk bertapak
kukuh di negara ini. Wajar disemat dalam minda kita, AMANAH lahir
daripada kesedaran islah dan tajdid bagi memastikan agenda politik
dakwah dalam atmosfera demokrasi negara terus diposisikan di tempat
sewajarnya.
AMANAH bukan tamakkan kuasa dan taksub pada pemimpin. Sebaliknya,
jika tersasar, AMANAH mampu berkecai begitu sahaja dek kerana
bermatlamatkan kuasa dan harta yang hanya melalaikan kita semua.
*Penulis merupakan Jawatankuasa Mahasiswa AMANAH
Nasional. Kini menuntut di Semester 2 Fakulti Komunikasi Pengajian
Media, UiTM Shah Alam.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan