Apa khabar Wawasan 2020?

Oleh Arif Atan

Kita semua sudah selamat menjejakkan kaki ke tahun 2020. Bagi yang menempuh zaman sekolah awal 1990-an, lagu Wawasan 2020 menguasai atmosfera berkumandang dari televisyen, radio dan dinyanyikan dengan bersemangat dalam perhimpunan di sekolah.

Selain Wawasan 2020, lagu ‘Fikirkan Boleh’, ‘Sejahtera Malaysia’ dan ‘Setia’ juga menjadi halwa telinga zaman itu. Kumpulan penyanyi adik-beradik, KRU zaman itu pun ada buat lagu berjudul ‘Wawasan 2020’. Boleh dengar kembali di YouTube. Siap liriknya sebut ‘bersatu’ dan ‘harapan’ – dua istilah yang ranum dituai pada PRU-14 lalu.

Lagu Wawasan 2020 dahulu berkumandang ketika kanak-kanak waktu itu banyak meluangkan masa bermain di luar rumah. Sekarang? Ruang bebas kanak-kanak untuk bermain di luar rumah semakin terhad dan kurang selamat. Akhirnya, gajet jadi kawan baik membesarkan kanak-kanak hari ini.
Wawasan 2020 ialah hasrat kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri keempat (1981-2003).

Wawasan 2020 ialah rangka kerja tindakan untuk negara dan rakyat bercita-cita mahu melihat Malaysia muncul maju sebagai kuasa perindustrian. 
Apalagi Dr Mahathir menghuraikan sembilan cabaran utama Wawasan 2020 dalam kertas kerjanya bertajuk ‘Malaysia: Melangkah ke Hadapan’ di khalayak taikun dan niagawan pada 28 Februari 1991.

Kebetulan aktivis kontroversi Siti Kasim ada memetik intipati Wawasan 2020 dalam kongres membantah pengajaran Jawi di sekolah vernakular ketika dua hari tahun 2019 melabuhkan tirainya.
Dakwa Siti Kasim, sistem pendidikan nasional telah gagal melahirkan rakyat seperti gambaran dalam Wawasan 2020 yang mahu melihat Malaysia sebagai “liberal, rasional, inklusif, saintifik dan progresif”.

Sebanyak dua kali Siti menyebutkan ciri-ciri yang termaktub dalam cabaran utama Wawasan 2020 itu. Hadirin yang majoritinya bukan Melayu di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya bertepuk tangan dan bersorak tanda setuju.

Padahal sembilan matlamat utama Wawasan 2020 antara lain menyebut:

– “mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun”

– “mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.”

– “mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.”

– “Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.”

Jadi, menolak pengenalan tulisan Jawi hanya tiga muka surat itulah lambang masyarakat yang tidak liberal, tidak matang, tidak bertolak ansur dan mementingkan kaum sendiri tanpa ada budaya menyayangi identiti tanah air yang didiami.

Jurang pendapatan

‘Bukan impian malah kenyataan’, kata lirik lagu Wawasan 2020. Memang hari ini tahun 2020 sudah jadi kenyataan. Penyanyi Roy yang hampir 30 tahun lalu menyanyikan lagu Wawasan 2020 dan pelbagai lagu patriotik lain, tahun lalu telah jadi peserta Gegar Vaganza 6 (GV6).

Yang tidak menjadi kenyataan – kereta terbang – impian liar berupa imaginasi budak 1990-an iaitu era golongan kanak-kanak belum menjadi hamba gajet lagi.

Yang menjadi kenyataan ialah Dr Mahathir yang dulu Perdana Menteri keempat kini menjadi Perdana Menteri ketujuh sekali gus mencipta rekod sebagai pemimpin tertua di dunia.

Makan untuk hidup bukan hidup untuk makan serta mengelak makanan yang banyak lemak, gula dan karbohidra satu disiplin Dr Mahathir yang mungkin sukar diteladani majoriti rakyat Malaysia.

Apalagi disiplinnya membaca akhbar setiap hari bagi memelihara minda agar sentiasa aktif.

Lagu Wawasan 2020 juga menyebut tentang ‘kemewahan rata dirasai’. Hakikatnya, jurang pendapatan penengah bulanan antara kumpulan isi rumah T20 dan B40 semakin melebar dan terus melebar.

Jurang pendapatan antara kaum pula mencecah sehingga empat kali lebih tinggi sejak Wawasan 2020 diucapkan dengan pendapatan isi rumah Melayu paling rendah berbanding Cina dan India.

Pada 14 September 2019, Dr Mahathir melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.

Fokusnya merapatkan jurang pendapatan antara negeri, golongan yang kaya dengan miskin serta bandar dan luar.

Moga pembangunan tidak hanya dinilai berjaya hanya melalui angka dan sejauhmana tertegaknya hutan konkrit memusnahkan hutan hijau serta hidupan liar.

Pembangunan dan kekayaan yang kita mahukan ketika sumber alam semakin terhad ini sepatutnya harus diagih lebih adil supaya segenap lapisan rakyat dapat merasainya.

Tahun 2020 ini, kita bangkit bekerja kuat, sentiasa berfikir positif dan doakan yang baik-baik buat diri, keluarga dan tanah air tercinta ini. Semoga Yang Maha Esa sentiasa melindungi kita semua. Amin Ya Rabbal Alamin.

Wawasan 2020
Bendera berkibar di angkasa
Lambang negara gagah
Rakyat sepakat sehati sejiwa
Tekad berbakti dengan megah.
Hadapi cabaran masa muka
Penuh tenaga murni
Bakti dicurah searah sehala
Dengan wawasan yang suci
Wawasan meningkat kemajuan
Tiada lagi kepincangan
Kemewahan rata dirasai
Bersama kita nikmati
Wawasan 2020
Satu pandangan jauh
Bukan impian malah kenyataan
Bersama kita jayakan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan