Selepas titah Agong, puak pro Anwar dalam PKR ancam tolak belanjawan


Peringatan daripada Agong kepada ahli-ahli Parlimen hujung minggu lalu tentang kepentingan belanjawan bulan depan gagal untuk menghentikan satu puak dalam PKR untuk menyusun kekuatan untuk menolak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, satu langkah yang boleh menyebabkan pilihan raya mengejut diadakan pada musim pandemik.

Terdapat kebimbangan daripada dalam PKR bahawa sokongan Agong terhadap cara pentadbiran Muhyiddin menguruskan krisis Covid-19, termasuk penolakan jelas Umno dan PAS untuk mengadakan sebarang kerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, akan mengukuhkan lagi kedudukan perdana menteri.

Pemimpin peringkat bawah PKR diarahkan untuk meneruskan tekanan terhadap kerajaan, ketika kemarahan dalam kalangan 39 ahli Parlimen mereka selepas Anwar gagal untuk membuktikan beliau mempunyai majoriti untuk menumbangkan kerajaan Muhyiddin.

Walaupun Agong sudah memberi peringatan, ahli Parlimen Subang, Wong Chen, yang merupakan pengikut setia Anwar, menggesa pembangkang tidak berputus asa menjelang pengundian belanjawan bulan hadapan.

“Pengundian belanjawan merupakan satu-satu cara pembangkang untuk menguji legitimasi kerajaan. Disebabkan itu, kita tidak boleh memberikannya secara percuma kepada perdana menteri,” katanya dalam tulisan di media sosial.

“Sebaliknya, kita perlu mempertimbangkan untuk menggunakannya sebagai tawar menawar bagi reformasi diperlukan untuk menyelamatkan demokrasi.”

Beliau memberikan senarai panjang reformasi yang perlu dilakukan kepada kerajaan berusia sembilan bulan – ditubuhkan selepas Pakatan Harapan tumbang ketika Covid-19 baru bermula di Malaysia Februari tahun ini, sebagai pertukaran sokongan belanjawan.

Kenyataan ahli Parlimen Subang itu menimbulkan persoalan sama ada mereka mendengar titah Agong agar menghentikan percubaan untuk menganggu kestabilan kerajaan ketika peningkatan jangkitan Covid-19 melanda.

Tetapi ia juga menunjukkan, ahli politik yang menentang Muhyiddin bersedia untuk mengenepikan perbezaan bagi berdepan dengan musuh bersama, terutamanya selepas bekas perdana menteri Najib Razak menggesa ahli Parlimen Umno menyokong Anwar menjadi perdana menteri.

Seorang bekas pembantu rapat Anwar memberitahu MalaysiaNow, terdapat kebimbangan dalam kalangan golongan anti Muhyiddin baik dalam PKR mahupun Umno bahawa keputusan Majlis Tertinggi Umno minggu ini untuk meneruskan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional mengukuhkan lagi kedudukan perdana menteri.

“Dan selepas kedudukan dikukuhkan, ia adalah waktu terbaik untuk kerajaan menawarkan perdamaian dalam perang melawan Covid-19. Ini adalah sesuatu yang puak anti Muhyiddin sedar dan akan gagalkannya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Wong Chen sedar akan perkara ini.

“Menggunakan perkataan seperti ‘perdamaian’,’melibatkan’,’tidak berpolitik’, tidak memberikan apa-apa makna jika kerajaan tidak ikhlas untuk mereformasikan demokrasi,” kata ahli Parlimen PKR itu.

Pada Ahad, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberikan amaran kepada ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala “politicking” yang boleh menggangu kestabilan kerajaan yang sedang melawan Covid-19.

Agong juga menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat pada masa ini kerana yakin dengan kemampuan kerajaan melawan pandemik itu.

Agong turut menegaskan Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Sesungguhnya, Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini,” tambah kenyataan itu.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan