PKPB boleh rencatkan momentum pemulihan ekonom


PERINTAH kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasa di wilayah ekonomi negara Lembah Klang dan kawasan sekitarnya akan merencatkan momentum pemulihan ekonomi negara, kata pemain korporat dan pakar ekonomi.

Walaupun mengakui tindakan itu perlu bagi mencegah penularan wabak Covid-19, mereka juga mendesak Putrajaya mencari titik penyelesaian manfaat bersama bagi melindungi nyawa dan kehidupan rakyat.

Profesor Ekonomi Sekolah Perniagaan Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata PKPB yang kini dikuatkuasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya boleh melewatkan proses pemulihan ekonomi negara kepada tahun hadapan.

“Momentum pemulihan akan direncatkan oleh PKPB kerana kesannya di wilayah paling padat penduduk negara,” kata Yeah kepada The Malaysian Insight.

“Ekonomi keseluruhannya akan mengambil tempoh lebih lama untuk kembali normal, sehingga ke 2021 dan 2022.”

Katanya lagi, kejayaan mengekang penularan wabak terus menjadi faktor utama prestasi ekonomi, dan Putrajaya perlu mencari cara mengurangkan kesan gelombang ketiga wabak.

Yeah berkata kerajaan perlu menggubal prosedur operasi standard (SOP) yang lebih baik bagi membolehkan perjalanan perniagaan untuk pengurusan utama syarikat Malaysia, syarikat antarabangsa dan pelabur asing dilakukan.

Katanya, ini adalah keperluan mendesak bagi mengurangkan kesan pandemik ke atas aktiviti perniagaan dalam dan luar negara.

Selain itu, Putrajaya juga perlu bekerjasama rapat dengan sektor niaga dan agensi perdagangan bagi mengatasi masalah membebankan operasi perniagaan seperti kelewatan pengeluaran permit dan kelulusan disebabkan PKPB.

“Jika PKPB diperluas ke lebih banyak kawasan atau dilanjutkan sehingga akhir tahun ini, pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk tahun ini dijangka berada pada kadar terendah penguncupan 4%-6% yang diramal,” katanya.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan pula memberitahu The Malaysian Insight yang PKPB boleh melenyapkan semua pemulihan positif persekitaran ekonomi yang baharu tumbuh kembali beberapa bulan lepas.

“Ini akan bergantung kepada selama mana (sebelum) PKPB sekarang ditamatkan. Sama ada ia akan berakhir hujung bulan ini atau akan dilanjutkan lagi,” katanya.

Shamsuddin berkata wujud kemungkinan PKPB akan dilanjutkan memandangkan jumlah kes baharu Covid-19 masih mencecah ratusan kes setiap hari.

Katanya lagi, pelabur asing juga kini mengambil sikap tunggu dan lihat daripada melakukan keputusan pelaburan utama, berdasarkan data dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan