Oleh Azrina Sobian
Nama Greta Thunberg begitu dikenali dan semakin popular walaupun hanya beberapa tahun menjadi aktivis alam sekitar.
Puncanya, remaja itu lantang menegur sikap sambil lewa dan lesu
pemimpin dunia ketika Sidang Kemuncak Tindakan Iklim Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menangani isu perubahan iklim dunia.
Thunberg membuktikan generasi muda boleh memainkan peranan besar dalam
isu pemuliharaan alam sekitar. Yang jelas beliau tidak bersendirian.
Ramai sebenarnya anak muda lain yang ‘bersama’ dengannya dalam
memperjuangkan isu berkaitan alam sekitar. Antaranya Louise Mobulo dari
Filipina; Adjany Costa (Angola); Anna Luisa Beserra (Brazil); Marianna
Muntianu (Russia); Molly Burhans (Amerika Syarikat); Omar Itani (Lubnan)
dan Sonikar Manandhar (Nepal).
Mereka antara pemenang Young
Champions of the Earth 2019, anugerah Program Alam Sekitar PBB untuk
menghargai usaha anak muda menangani permasalahan alam sekitar semasa.
Pengiktirafan diberi susulan usaha gigih masing-masing menangani
pelbagai isu berkaitan alam sekitar. Antaranya penggondolan hutan,
perlindungan haiwan liar, penuaian air hujan untuk kegunaan manusia,
penanaman semula hutan, pemberdayaan komuniti agama, pengurangan sisa
fabrik di tapak pelupusan dan tenaga hijau.
Hakikatnya, Malaysia
sendiri tidak ketinggalan. Nama seperti Masbudi Malek daripada Inspirasi
KAWA; Liyana Yamin (Malaysian Youth Delegation); Ili Nadiah Dzulfakar
dan Nurul Fitrah Ahmad Marican (KAMY); Hafizudin Nasarudin (KUASA); Tin
Fong Yun (pejuang sisa sifar); Dr Louisa Shobhini Ponnampalam (MareCet)
serta Dr Renard Siew Yung Jhien (pejuang isu perubahan iklim) wajar
menjadi sebutan.
Pembabitan dan kesungguhan mereka memperjuangkan
pemuliharaan alam sekitar membuktikan usia muda bukan penghalang
melakukan perubahan.
Mereka ini memanfaatkan usia untuk
memperjuangkan apa yang mereka percayai dan ini selaras ajaran Islam
yang menuntut kita menggunakan usia muda dengan melakukan perkara baik.
Malah, mereka yang menggunakan usia untuk beribadah kepada Allah SWT
antara tujuh golongan dilindungi-Nya.
Ibadah bukan semata-mata
dalam bentuk ibadah wajib, tetapi merangkumi pelbagai pekerjaan yang
memberi faedah kepada masyarakat. Antaranya memperjuangkan kesejahteraan
alam untuk kelangsungan manusia.
Peranan generasi muda diiktiraf
dalam menjayakan Matlamat Pembangunan Lestari 2030. Mereka berkebolehan
membentuk kesedaran terhadap pelbagai isu alam sekitar, memulakan dan
mengetuai usaha menangani isu persekitaran setempat mahupun global.
Mereka berkongsi idea serta kebolehan memulihara alam serta melobi
pemimpin negara dan pihak berkepentingan untuk bersama-sama menjaga
persekitaran dan membantu pembentukan dasar negara yang berkaitan.
Kelebihan utama generasi muda ialah kemampuan menggunakan media baharu
dan memikirkan idea kreatif serta inovatif dalam usaha menjaga
persekitaran. Kecekapan menggunakan pelbagai bentuk teknologi penyebaran
maklumat menyebabkan segala maklumat dapat disampaikan ke serata dunia
dengan lebih cepat dan luas.
Idea kreatif dan inovatif mereka
menghasilkan jalan penyelesaian masalah alam sekitar semasa yang mudah,
murah dan berkesan. Malah, anugerah ‘tenaga muda’ mereka memungkinkan
usaha dan pelbagai perancangan boleh dilaksanakan dengan cepat.
Namun, pada usia muda itu, mereka tidak memiliki segala-galanya.
Kekurangan dana, sokongan dan panduan antara punca yang boleh menyekat
kebolehan untuk meninggalkan impak berkesan dalam pemuliharaan alam
sekitar. Dengan itu, golongan berkenaan masih memerlukan bantuan sama
ada wang ringgit, nasihat dan panduan agar dapat melaksanakan misi
dengan jayanya.
Jelas, generasi muda atau belia berperanan besar
dalam usaha pemuliharaan alam sekitar. Daripada usaha itu, apa yang
boleh diteliti adalah mereka bermula tanpa apa-apa bantuan, tetapi masih
mampu meninggalkan kesan besar dalam isu diperjuangkan.
Bayangkan jika mereka memperoleh bantuan dan sokongan dalam gerakan
pemuliharaan alam sekitar itu, pasti usaha mereka memberikan kesan lebih
besar.
Perkara lain dapat dikenal pasti, mereka terdedah kepada
isu alam sekitar pada awal usia, sama ada melalui pendidikan formal
mahupun tidak formal. Mereka kerap kali bertanyakan soalan berkaitan isu
alam sekitar di sekeliling. Persoalan yang timbul menjadi pemangkin
memulakan usaha pemuliharaan mereka.
Ini menunjukkan pendedahan
awal kepada isu alam sekitar adalah penting. Ia dapat mendekatkan diri
mereka terhadap apa berlaku di persekitaran dan boleh menimbulkan rasa
tanggungjawab mengatasi isu berkenaan.
Peribahasa Melayu ada
menyebut ‘kecil-kecil anak harimau’ khusus menunjukkan walaupun berusia
muda seseorang boleh menjadi berani dan kuat. Ini bermakna, usia muda
bukan penghalang melakukan sesuatu bermanfaat kepada dunia.
Mereka kini perlu diberikan kepercayaan, dorongan, bantuan dan nasihat agar dapat mengembangkan potensi ke arah kebaikan.
Penulis adalah Felo Institut Kfahaman Islam Malaysia (IKIM)
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan