Langkah tepat diambil Kementerian Pendidikan apabila memberi kuasa
kepada pengetua dan guru besar untuk menutup sekolah masing-masing, jika
wabak Influenza A semakin serius. Kita percaya penurunan kuasa ini
sepatutnya sudah lama diberikan kepada mereka.
Sebagai pentadbir,
kita yakin mereka mempunyai cukup pengalaman dan kemampuan untuk
membuat pertimbangan wajar, ketika keadaan memerlukan. Jadi kenapa perlu
dibebankan mereka dengan prosedur serta kerenah dokumentasi yang
menyulitkan.
Agak tidak kena ketika wabak melanda, guru besar
atau pengetua masih sibuk menyiapkan laporan untuk diserahkan kepada
jabatan dan kementerian, sedangkan yang lebih utama memastikan pelajar
dan guru tidak terdedah bahaya. Dalam hal ini semakin lama ia ditunggu,
semakin tinggi risiko ditanggung.
Bagi pengetua atau guru besar,
jangan pula ‘kuasa’ diberi itu disalah guna atau ada yang sengaja
mengambil kesempatan atas kes berlaku untuk mengisytiharkan cuti atau
tutup sekolah sesuka hati.
Yang pasti, di sebalik kelonggaran diberikan,
masih ada prosedur arahan tetap (SOP) perlu dipatuhi.
Cari jalan besarkan ‘kek ekonomi desa’
Apabila
pola migrasi penduduk bandar ke desa meningkat, ramai melihat ia
sebagai bukti kehidupan di desa semakin baik. Namun, terfikirkah kita
ada antara mereka itu sebenarnya bukan berhijrah, tetapi lebih kepada
kembali ke desa selepas kehidupan di bandar tidak seperti diharapkan.
Mungkin dibuang kerja atau tidak mampu menanggung kos sara hidup tinggi
di bandar.
Apa pun sebabnya, persoalan harus dilihat sama ada
keadaan desa mampu untuk menampung kehadiran kelompok migrasi ini. Dalam
hal ini, kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Luar Bandar perlu
ada perancangan untuk memperbesarkan kek ekonomi sedia ada. Kita tidak
mahu migrasi penduduk bandar ini menambah beban sedia ada kepada
kehidupan desa, contohnya seperti isu pengangguran serta masalah sosial.
Dalam hal ini, usaha memastikan peluang masyarakat desa mampu
meningkatkan ekonomi perlu terus disuntik. Bukan sahaja melalui peluang
kerja, tetapi peluang meningkatkan ekonomi melalui aktiviti perniagaan,
pertanian dan sebagainya.
Namun, setiap bantuan disalurkan atau
inisiatif digerakkan perlu dipastikan bukan dalam bentuk ‘ikan’, tetapi
lebih kepada ‘kail’. Kita mahu masyarakat desa berdikari, bukan
terus-menerus bergantung kepada bantuan dan ihsan pihak lain.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan