KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menggunakan teknologi
baharu termasuk menggunakan dron bagi memantau pergerakan trafik di
lokasi dikenal pasti kritikal pada pada musim perayaan Tahun Baharu Cina
ini.
Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif, berkata
inisiatif itu adalah langkah baharu yang diperkenalkan PLUS iaitu
menerapkan penggunaan teknologi dan kejuruteraan terkini bagi keselesaan
pengguna.
“Kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan
pengalaman perjalanan semua pihak di lebuh raya dan selain
mengoptimumkan penggunaan media sosial, PLUS akan turut menggunakan
teknologi dalam setiap perkhidmatan.
“Penggunaan dron akan
dilakukan untuk memantau pergerakan trafik dari udara di beberapa lokasi
kritikal pada perayaan ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Op Selamat
16/2020 sempena Tahun Baharu Cina, hari ini.
Turut hadir
adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor; Pengarah Trafik
Bukit Aman, Datuk Azisman Alias dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman
Ismail.
Mohamad Nasir berkata PLUS menjangkakan jumlah
pengguna lebuh rayanya pada musim perayaan Tahun Baharu Cina akan
bertambah sehingga 2 juta kenderaan iaitu 18 peratus naik berbanding 1.7
juta buah kenderaan pada hari biasa.
“Berdasarkan pola dan
kajian, kami menjangkakan jumlah kenderaan akan meningkat kepada tahap
tertinggi pada 22, 23, 24, 27, 28 dan 31 Januari serta 1 Februari ini.
“Ini
memerlukan kami bukan sahaja bersedia malah menjaga pelanggan dengan
baik melalui pelbagai inisiatif untuk melancarkan perjalanan,” katanya.
Beliau
berkata sejumlah 5,000 kakitangan dan rakan strategik agensi penguat
kuasa seperti polis, bomba, Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) dan
Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan diletakkan di lebuh raya untuk
melancarkan perjalanan.
“Mereka bersedia untuk merungkai kesulitan pelanggan serta membantu supaya perjalanan lebih selamat, lancar dan selesa.
“Hebahan
trafik juga akan dilakukan berterusan menggunakan pelbagai saluran
komunikasi secara maksimum bagi membolehkan pelanggan mengelak kesesakan
dan membuat keputusan,” katanya.
Selain itu, beliau
berkata antara inisiatif lain akan digerakkan PLUS adalah mengeluarkan
Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA), laluan kontra dan menghentikan
kerja penyelenggaraan.
“Kami juga akan menutup sementara
lorong tambah nilai di plaza tol bermula 22 Januari hingga 2 Februari
ini tetapi pelanggan boleh membuat urusan itu di lebih 11,000 pusat
tambah nilai di seluruh negara,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan