Nur Dinie, hidap influenza selamat dikebumikan

PONTIAN: Murid Tahun Satu, Nur Dinie Damia Muhammad Noor Ain,7, yang disyaki dijangkiti influenza selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Haji Sirat Darat, Kayu Ara Pasong, dekat sini, kira-kira jam 10.05 pagi tadi.

Kira-kira 150 ahli keluarga mengiringi jenazah Nur Dinie Damia ke tanah perkuburan berkenaan untuk dikebumikan.

Terdahulu majlis tahlil dan solat jenazah diadakan di rumah keluarga datuk Nur Dinie Damia, di Kampung Parit Haji Sirat.

Suasana hiba menyelubungi acara pengebumian Nur Dinie Damia, apabila ibunya, Norazlina Ahmad, 36, serta anak sulungnya, Nur Dania Danisha, 10, menangis teresak-esak yang turut menyebabkan orang ramai mengalirkan air mata.

Norazlina dan suaminya, Muhammad Noor Ain, 38, juga enggan ditemubual media kerana masih bersedih.

Nur Dinie Damia yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) sejak Jumaat lalu meninggal dunia kira-kira jam 10.41 malam tadi.

Punca sebenar kematian murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Skudai berkenaan, menimbulkan tanda tanya apabila EXCO Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor, Aminolhuda Hassan dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu,mengesahkan kanak-kanak itu dijangkiti influenza pada sidang media di Jabatan Kesihatan Johor, pagi semalam.

Namun, Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal pula dilaporkan petang semalam berkata, ujian dijalankan pakar Hospital Sultanah Aminah (HSA) pula mendapati Nur Dinie Damia negatif influenza dan kritikal disebabkan kegagalan hati dan buah pinggangnya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan