Oleh
TAN SRI DR . RAIS YATIM
Terpenting kini bagi semua pihak tidak lagi menempelak bila Tun Mahathir akan menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kemukakan dan jawab naratif lama: Bagaimana hendak menunaikan janji
PR14? Bagaimana politik perut rakyat dapat dijadikan isu utama?
Bagaimana PTPTN menepati janji PR atau sebahagian komitmen Mei 2018?
Bagaimana tol boleh diolah ke paras munasabah ke arah penghapusannya –
rakyat bayar cukai jalan berbilion ringgit tetapi tol masih dibayar
berkadar tinggi.
Bagaimana keluhuran undang-undang benar-benar dapat dijadikan cara hidup setalian Rukun Negara yang banyak terbiar.
Beri Tun Mahathir ruang dan haknya. Jangan setiap hari tanya bila
mahu berhenti, bila nak serah jawatan PM? Sejujurnya telitilah Art 43
Perlembagaan Persekutuan atas asas-asas perundangan negara berkaitan
jawatan Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar buatlah kerja Ahli Parlimen terbaik dulu. Bantu Tun
capai kejayaan bersama.
Jangan bersenandung lagu lama. Yang
sudah-sudahlah. Lagipun Datuk Seri Wan Azizah ialah orang nombor dua
dalam Kerajaan.
Bantulah Tun M sedaya upaya. Apa-apa berlaku pada Tun M sehari dua
ini konvensyen berkata Wan Azizah sebagai TPM memangku dulu jawatan PM.
Apa nak dipolemikkan sangat: Kalau isteri sudah berada di ambang kuasa, suami tidak payahlah nampak gelojoh.
Mana pernah berlaku dalam dunia ini: Dulu diri sendiri yang pegang
jawatan TPM. Kini selama hampir dua tahun isteri tersayang pula
menyandang jawatan itu. Ini satu rekod buat Malaysia dan dunia. Tun M
pada usia 94 tahun ketua kerajaan paling tua di dunia. Suami isteri
wajib bantu beliau dalam kerja kerajaan.
Dalam pada itu, Tuanku YDP Agong di bawah Perkara 40(2) mempunyai
kuasa ‘budibicara’ tentang siapa yang harus dilantiknya sebagai PM.
Kita kena hormat kuasa ini yang jarang dibincangkan oleh umum.
Mahkamah pun belum pernah lagi menimbang secara mendalam kuasa nyata
ini.
Apa yang boleh berlaku ialah: Tuanku Agong, dalam keadaan kini, boleh
menolak sebarang usaha memaksa Baginda berbuat sesuatu (seperti
menerima sahaja seseorang calon PM), di bawah 40(2) kerana “budibicara”
atau “discretion” yang ada pada Baginda itu agak luas implikasi kuasa
asasnya.
Lainlah halnya dalam situasi pasca-pilihanraya umum di mana senario
kemenangan sesebuah parti itu menonjolkan suasana menyebelahi seseorang
tokoh pemimpin. Anwar bukan terdiri dari produk ini. Beliau adalah
produk pengampunan YDP Agong di bawah Art.42(11).
Ada beberapa orang sarjana Perlembagaan membangkitkan semasa DSAI
diampunkan oleh YDP Agong ke-15 Peguam Negara ketika itu telah berhenti
atau diberhentikan, justeru Peguamcara Negara yang mewakili beliau
bertindak bagi pihak Peguam Negara disangsikan sebagai ultra-virus
(bertentangan Perlembagaan) lantaran keahlian Lembaga Pengampunan kurang
sempurna.
Hujah ini walaupun akan ditolak oleh beberapa pihak akan tetap
meninggalkan persoalan lantaran kesamaran keanggotaan Lembaga
Pengampunan di bawah Per.42(11) dan bentuk nasihat Peguam Negara yang
tidak diketahui keluhurannya.
Dalam semua sesi pengampunan Raja mesti mempengerusikan. Siapa yang
mengemukakan memorandum atau rayuan – Peguam Negara atau pihak lain?
Amat elok persoalan ini direzabkan untuk huraian penghakiman.
Di samping mengenal peranan Tuanku Agong dalam menentukan dan
melantik seseorang PM yang disalut dengan ‘budibicara’, baginda juga
berhak menidakkan pembubaran Parlimen di bawah 40(2) sekalipun Baginda
kena ikut nasihat di bawah Per. 40.
Dengan lain pengertian, tidak semudah “sorong papan tarik papan”
dalam hal menggantikan seseorang PM terutama yang markah pimpinannya
berada di tahap yang masih ‘dihormati’ seperti dialami Tun Mahathir
kini.
Pandangan ini mungkin ‘disailang’ kumpulan DSAI, suatu kemungkinan
yang mudah diduga. DSAI faham dilema siapa jadi PM tidak semudah sifir
politik yang ada di pihak beliau.
Kesabaran yang amat tinggi harus wujud di pihaknya, khasnya anak buah
dan pengikut beliau. Kita harus pegang teguh falsafah Melayu “kuat
lonjak pesuk kopiah” dan “salah lenggang koyak baju”. Biar songkok dan
baju dalam keadaan baik sementara menunggu peluang keemasan.
Buat masa ini, biar Tun Mahathir berfungsi dan buat kerja tanpa
ganggu-gugat. Jangan lagi ditanya sinis setiap hari “Bila lagi nak
undur?
Kepada Tun M harus dilaungkan: Teruskan tugasmu sebagai PM. “Tunaikan
janji-janji PR-14” kalau tidak dapat semua janji, laksanakan yang utama
dulu demi Wawasan 2020 dan “Makmur Bersama”.
Elok juga kita ingati satu kagi falsafah Melayu: Takkan ayam tak berkokok hari tak siang!
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan