Oleh Mohd Sayuti Omar
RAKYAT negara ini serta pemerhati politik terus dijeruk dengan berbagai
pertanyaan dan kemusykilan yang sebenarnya tidak pun perlu berlaku.
Apabila selesai Piraum - pilihan raya umum ke 14 dan kemenangan
diperolehi dengan mutlak oleh parti Pakatan Harapan (PH), rakyat
seharusnya sudah boleh rileks daripada bertengkar soal politik
sekurang-kurang untuk tempoh lima tahun.
Dan kerajaan yang ditubuh dengan kuasa rakyat pula terus boleh bekerja untuk membangun dan memakmurkan negara.
Tugas dan tanggungjawab kerajaan PH sangat besar
kerana masalah dan banyak daki-daki noda dan dosa ditinggalkan oleh
kerajaan terdahulu sungguh besar dan perlu dibersih dan disucikan.
Para pemimpin PH perlu berusaha untuk mengurang politiking dan juga
pemerhatian umum kepadanya yang bersifat negatif. Mereka perlu sedar,
percakapan berterusan kepada politik boleh mengganggu fokus kerajaan.
Malangnya, ia itu tidak tidak berlaku seperti diharapkan. Serangan
daripada oposisi juga menyebabkan kerajaan dihimpit masalah dan
terkadang hilang tumpuan.
Gara-gara itu, maka rakyat pun menjadi resah gelisah dan tidak mudah
meletakkan keyakinan kepada kerajaan. Kesannya tidak wujud suasana
tenteram. Kerajaan tidak dapat memberi fokus kepada membangun kerajaan.
Sebahagian besar masa yang patut digunakan untuk negara diambil untuk
menyelesaikan polemik yang bukan sahaja ditimbulkan pembangkang tetapi
mereka sendiri mengundangnya.
Oposisi sudah jadi sifatnya mereka akan serang kerajaan habis-habisan.
Sebagai pihak atau golongan kecewa dan kehilangan kerajaan atau gagal
menjadi kerajaan ini mereka perlu mengodak dan mengganggu kerajaan.
Mereka harus mencipta seribu masalah buat kerajaan.
Sifat dan budaya ini sudah lazim di mana-mana negara di dunia ini. Pihak oposisi tidak ada yang sporting
untuk membantu dan bekerjasama dengan kerajaan, apa lagi pembangkang
dalam politik bangsa Melayu. Tengok apa yang berlaku di Kelantan dan
Terengganu, meskipun kerajaan PH sudah menukar corak dan sikap
diskriminasi seperti diamalkan kerajaan BN dahulu namun mereka tetap
membenci kerajaan PH.
Apa dibuat oleh kerajaan PH kepada Kelantan dan Terengganu dengan memberi peruntukan seperti mencurah garam ke laut sahaja.
Apa yang sedih dan dikesali, sebahagian besar perkara yang timbul dan
menjadi masalah kepada kerajaan PH ianya disebabkan ulah atau feel
dicipta kerajaan sendiri. Perbalahan dan perselehengan pendapat dalaman,
dalam parti komponen PH merupakan isu besar dan mengacau perjalanan
kerajaan.
Berhadapan dengan dua keadaan.
Jadi kerajaan PH hari ini berhadapan dengan dua situasi, perang dari
dalam dan perang dari luar. Perang atau kocakan yang sangat menyedihkan
adalah perang di dalam PKR yang tidak ada kesudahan dan belum
menunjukkan tanda-tanda ia berakhir.
Keadaan parti itu kini seperti retak yang menanti belah. Keadaan ini
sangat mendukacitakan para pencinta kerajaan. Kegagalan parti itu
mendamaikan kedua pihak yang berebut jawatan untuk membina empayar diri
sangat menyusahkan. Secara tidak langsung juga sengketa dalam PKR inilah
yang mengheret kepada masalah lain yang lebih rumit dan menyukarkan PH
seperti pelaksanaan peralihan kuasa.
Paling merugikan perbalahan dalam PKR ini juga diambil kesempatan oleh
musuh (oposisi) untuk mengoyak rabahkan solidariti dalam PH khasnya PKR.
Tidak cukup dengan masalah yang menimpa PH, ia ditambah pula dengan
sikap Pengerusi PH yang juga perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Peralihan kuasa yang sudah dikonsensuskan tidak dapat atau sengaja
dilengah-lengahkan oleh Mahathir. Sehingga ke hari ini soal peralihan
kuasa menjadi subjek sebutan dan "pengejekan" (sindiran) oleh oposisi
kepada PH. Sosok terkena dan diaibkan dengan masalah ini adalah Anwar
Ibrahim. Masalah ini terletak di atas bahu Mahathir seratus peratus.
Boleh disebut masalah dan kerumitan kerajaan PH kini disebabkan oleh
sikap dan cara Mahathir bermain dan catur politik yang berselindung
disebalik kata-kata manis dan sikap terbuka serta menggunakan kuasa
prerogatifnya sebagai perdana menteri.
Kesimpulan ketidaktenteraman dan damai kerajaan PH disebabkan kerana
kegagalan menentukan tarikh peralihan kuasa itu. Kegagalan ini pula
disamping kerana cara Mahathir berpolitik ia disebabkan kerana
perbalahan dan keretakan yang berlaku dalam PKR. Secara tidak langsung
kerumitan menentukan peralihan kuasa ini disebabkan ulah dalaman PKR.
Bilakah selesai?
Bilakah masalah ini berakhir dan negara akan kembali tenang? Atau lebih
diharapkan kerajaan PH dapat digerakkan dengan penuh ketenangan, sepadu
dan sokongan bersemangat daripada rakyat. Pertanyaan ini akan terus
tumbuh dan berkembang dalam kepala rakyat yang sekaligus menjadikan
kerajaan PH seperti tidak stabil sepenuhnya. Banyaklah kesan dan
implikasi samping terlahir daripada situasi itu.
Apakah menjadi nasib dan suratan takdir kerajaan PH ia berhadapan dengan
masalah tidak selesai-selesai kerana ia mewarisi masalah itu sejak
awal? Pada mula untuk melantik perdana menteri lagi "PH" sudah "dipajam"
begitu rupa oleh institusi yang melantik Mahathir sebagai perdana
menteri. Mahathir terpaksa bersengkang mata di Istana Negara untuk
menunggu perkenaan oleh Yang diPertua Agong waktu itu bagi menerima
watikah pelantikan bagi melangsungkan upacara angkat sumpah.
Betapa pada kejadian itu ia telah menggemparkan negara. Rakyat yang
baharu mendapat kemenangan setelah kesakian lama berusaha untuk menukar
kerajaan seakan-akan dipermainkan. Rakyat bersimpati dan berdoa agar
proses pelantikan dan pembentukan kabinet berjalan lancar mengikut
perlembagaan. Saat dan tarikh itu sangat mencemaskan.
Sepatutnya kenangan dan peristiwa pahit itu diingat dan dikenang oleh
semua pihak bagi tidak menimbulkan apa-apa masalah kepada kerajaan PH.
Kesusahan untuk melantik perdana menteri dan membentuk kerajaan patut
dijadikan azimat menjaga kerajaan sebaik mungkin. Semua pihak kena
hargai apa yang berlaku agar tidak mengundang kerugian dan kecelakaan di
masa depan.
Bahkan semua pihak juga kena ingat betapa sukar dan rumitnya permulaan
untuk membentuk gabungan bernama PH itu. Masa hendak melembagakan PH
atau membentuk janin PH bukan satu emoment yang mudah. Ia
berhadapan dengan pelbagai masalah, kerenah dan rintangan. Pembentukan
itu telah melalui perundingan demi perundingan panjang dan berhadapan
dengan pertelagahan pendapat yang hampir-hampir PH tidak berjaya
ditubuhkan.
Semua itu sepatutnya diingat dan dipasak dalam kepala semua orang.
Jadikan ia sebagai satu iktibar untuk menjaga sebaik mungkin PH agar ia
tidak mengecewakan rakyat yang memberi kepercayaan melalui peti undi.
Dengan mengenangkan segala pancaroba itu kerajaan PH perlu ditantang
seperti minyak yang penuh atau seperti menjaga anak down syndrome.
Malangnya semua itu seakan tidak dikenang dan dijadikan iktibar. Segala
kepahitan dan keperitan awal itu sudah terlupa disebabkan mungkin kerana
pertama kali menatang kuasa. Keterujaan masih belum hilang. Kerana
kalau ia dijadikan iktibar tentu soal titik bengik atau masalah dalaman
parti seperti perbalahan dalam PKR yang boleh mengheret kepada kerajaan
PH tidak terjadi.
Sesungguhnya kerajaan PH yang berusia 19 bulan terus berada dalam
keadaan gelora yang mencemaskan. Gelora dan rasa cemas itu dicetus oleh
situasi disebutkan tadi. Kecemasan paling baru kepada kerajaan PH ialah
pada 7 Februari lalu bilamana diura-urakan Umno akan menubuhkan satu pakatan bernama Pakatan Nasional bersama Pas.
Pada tarikh tersebut Umno mahu mendapatkan persetujuan MTnya bagi
pembentukan pakatan bersama Pas ke arah membentuk kerajaan baru tanpa
melalui pilihan raya. Seluruh rakyat dan pemerhati politik menunggu
perkembangan itu penuh debaran dan suspen. Rakyat yang percaya sudah pun
mula memasak gulai dan pulut untuk meraikan pembentukan kerajaan baharu
itu.
Bagaimana pun nasib baik rancangan itu gagal. Pemimpin Umno yang
desperado gagal untuk mendapat persetujuan MT sepenuhnya bagi tujuan
itu. Kegagalan itu membawa petaka dan perpecahan kecil kepada Umno
sampai ada yang dipecat daripada parti itu.
Pun begitu kegagalan rancangan itu tampaknya tidak mudah berakhir.
Pembangkang terus meluapkan rasa marah dan bencinya kepada kerajaan PH.
Mereka seperti syaitan yang cuba memperdayakan manusia, tidak reti untuk
berputus asa. Selepas itu mereka susun pula rancangan untuk menggoda Dr
Mahathir dengan apa disebut sebagai SD.
Projek SD ini juga gagal dan terburai di tengah jalan apabila ia tidak
mencukupi jumlah bagi menyatakan sokongan kepada Mahathir yang kemudian
membawa kepada penubuhan kerajaan baru. Kegagalan rancangan ini secara
tidak langsung mendedahkan rupa dan roma sebenar dalang-dalang di
belakang projek jahat itu yang terdiri daripada orang yang kononnya
menyokong PH sendiri. Dan lebih celaka lagi ia membabitkan orang
berlindung di bawah ketiak Mahathir sendiri. Cis.
Dua matlamat.
Apabila kita menyelami tindak tanduk dan rancangan oposisi itu ada dua
matlamat utama. Pertama ialah untuk menghancurkan kerajaan PH, dan kedua
menghalang Anwar Ibrahim jadi perdana menteri. Projek mahu mencuri
kerajaan PH itu adalah kerja-kerja mereka yang bernafsu besar dan tidak
tahu menghormati mandat rakyat. Golongan atau penggerak kerja ini
bolehlah dianggap sebagai pengkhianat dan anti demokrasi.
Kegagalan projek dan rancangan itu diperkira ia meredakan keadaan.
Tetapi tidak begitu rupanya. Pemerhati politik masih lagi dihadapkan
dengan detik-detik dan tanggal-tanggal yang mencabar minda mereka.
Tarikh-tarikh baru yang menjadi momok dan persoalan tetap juga timbul
dan mengganggu lena rakyat. Gara-gara itu menyebabkan rakyat seringkali
mengigau dan tidur mereka terganggu.
Selepas musnahnya tanggal 7 Februari, kini ada pula tanggal atau detik baru yang dinanti rakyat, yakni lusa, Jumaat 21 Februari.
21 Februari ini akan menjadi tarikh sama penting dan ditunggu sama
seperti tanggal 7 Februari yang sudah pun berlalu itu. Lusa, Jumaat
Majlis Presiden PH akan bermesyuarat. Walaupun mesyuarat itu rutin
bulanan majlis itu, tetapi ada sesuatu yang signifikan diharapkan
berlaku dalam mesyuarat tersebut.
Yang ditunggu ialah pengumuman mengenai peralihan kuasa daripada
Mahathir kepada Anwar. Apabila rakyat amnya, dan para penyokong PH
mengetahui permasalahan yang dan mengheret masalah negara disebabkan
kaburnya peralihan kuasa itu, maka mereka menanti-nanti perkara itu
dituntaskan kelak. Rakyat menanti tarikh itu ditetapkan dengan jelas
bukannya abstrak atau pun tanpa titik seperti hari ini.
Untuk penetapan tarikh ini, walaupun ia menjadi hak Mahathir tetapi hak
mutlaknya terletak kepada majlis presiden. Mahathir sendiri mengakui
akan hakikat itu. Justeru majlis presiden perlu menggunakan hak mereka
sebaik mungkin. Ertinya penetapan itu tidak perlu atau diserahkan secara
bulat-bulat kepada Mahathir. Majlis Presiden hendaklah menggunakan
kuasa dan hak yang ada kepadanya. Ahli majlis presiden tidak perlu
merasa inferiority compleks apabila berhadapan dengan Mahathir.
Apa didoakan Dr Mahathir tidak sedia untuk bersikap seperti diktator
mengenai tarikh itu. Kalau pun beliau tidak sedia untuk menentukan
tarikh itu, ia disebabkan sikap ahli majlis presiden sendiri kerana
tidak berani atau "malu alah" untuk menyuarakan mengenai hal itu atas
rasa hormat kepada Mahathir. Sebenarnya sikap itu tidak perlu diamalkan.
Majlis presiden hendaklah lebih berani dan mengambil berat kepada
masalah yang timbul ekoran kekaburan tarikh itu daripada menghormati
Mahathir sebagai pemimpin lama atau kerana melantik mereka apa-apa
jawatan bergaji.
Mengenai keperluan peralihan kuasa ini hakikatnya bukan semata-matanya
kerana Anwar hendak jadi PM. Itu bukan isu pokoknya. Tetapi ia lebih
kepada keselamatan dan kestabilan kerajaan PH. Kelewatan atau kekaburan
peralihan kuasa itu memberi impak buruk kepada negara khususnya daripada
dunia luar. Ini yang perlu difikirkan. Perlu diakui keadaan negara hari
ini yang bagaikan rumput di tepi jalan di mata dunia ia disumbangkan
kepada isu peralihan kuasa yang tidak jelas itu.
Tidak ada guna kalau Mahathir kekal jadi PM sehingga akhir penggal
tetapi kerajaan PH hancur disebabkan polemik atau salah dalam menetapkan
tarikh peralihan itu.
Apa yang diharapkan semoga 21 Februari nanti ahli majlis presiden tidak
mudah digoreng serapuh buah berangan dalam kuali besar oleh Mahathir
seperti sebelum ini. Sebelum ini ada ahli majlis mempamerkan diri
mereka bagaikan berangan hidup dan liat, tetapi apabila masuk ke dalam
majlis terus jadi berangan hangit yang digoreng. Ahli majlis perlu terus
kekal jadi berangan yang sedap dimakan bukan hanya sedap dipandang.
Bersuara dan berkata benarlah walaupun pahit demi kelestarian kerajaan
PH. Buat dan ambillah keputusan demi masa depan kerajaan, kelanjutan
usia dan pengaruh parti masing-masing bukan terdodoi dan tersenandung
yang anda sudah dilantik ke jawatan penting dan perlu berpuas hati
dengan kerjaya anda setakat apa diraihkan hari ini. Pandang rakyat bukan
tengok diri sendiri.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan