Mahathir Sahkan Beliau Memang Ada Hasrat Mungkir Janji

Oleh Shahbudin Husin

Dalam perutusan yang disampaikan Tun Mahathir Mohamad petang tadi, selain menunjukkan beliau mahu kembali semula menjadi Perdana Menteri, terdapat juga intipati yang membuktikan dirinya memang ingin memungkiri janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Dalam perenggan 8 dan 9 ucapan perutusannya sebagaimana disertakan dibawah, jika diteliti, jelas membuktikan hakikat tersebut.

8. Sebenarnya saya telah janji akan letak jawatan untuk memberi peluang kepada Dewan Rakyat menentukan siapa yang akan mengganti saya. Jika benarlah saya masih disokong saya akan kembali.

Jika tidak saya akan terima siapa sahaja yang dipilih.

9. Jadi peluang untuk menukar kepimpinan memang ada. Hanya saya berpendapat oleh kerana saya disokong oleh kedua-dua pihak, masa untuk saya letak jawatan belum tiba.

Perenggan 8 dengan nyata mengesahkan Tun Mahathir mahu meletakkan jawatan dan kemudian menyerahkan kepada Parlimen menentukan siapa yang akan menggantikannya.

Seterusnya, beliau menyebut, jika dirinya masih disokong, dia akan kembali menjadi Perdana Menteri semula.

Wahai Tun Mahathir yang sudah menuju usia 95 tahun, begitukah sepatutnya perjanjian peralihan kuasa yang dipersetujuinya bersama PH?

Mengapa selepas meletakkan jawatan, jika masih disokong oleh Parlimen, masih mahu kembali lagi sebagai Perdana Menteri?

Tidakkah, apabila sudah meletakkan jawatan, ia bermakna beliau harus meletakkan jawatan secara muktamad dan tiada perlu untuk kembali lagi?

Apakah Tun Mahathir sudah lupa konsensus yang ditandatanganinya dan berulangkalinya beliau menyebut akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh dua tahun selepas memegangnya?

Jika sudah ada perjanjian dan diri sendirinya berjanji yang sama, untuk apa lagi diserahkan oleh Parlimen untuk membuat penentuan bakal penggantinya, sambil sedia pula untuk dipilih semula?

Tidakkah PH sebagai sebuah kerajaan sudah memiliki majoriti sejak Mei 2018 lagi?

Perutusan Tun Mahathir petang tadi dengan sendirinya mengesahkan tembelangnya untuk terus berkuasa melalui kuasa Parlimen dan melalui sokongan UMNO dan Pas yang memang beliau mempunyai hubungan lain di belakang tabir dengan kedua-dua parti itu.

Selain itu, Tun Mahathir juga memecah-belahkan PKR dengan menjadikan mereka yang pro Azmin Ali sentiasa memihak kepadanya dan menolak Anwar.

Maka, jika setelah Tun Mahathir meletakkan jawatan dan menawarkan untuk dipilih semula, sudah tentulah beliau dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri sedia ada, dengan mudah memperolehi sokongan majoriti berbanding Anwar.

Perenggan 9 pula mengesahkan sokongan kedua-dua pihak – kerajaan dan pembangkang – yang dimilikinya menyebabkan beliau belum sedia meletakkan jawatan, mampu memungkiri janji peralihan kuasa dan seterusnya dapat memegang jawatan Perdana Menteri sehingga mati.

Dengan kata lain, ayat dalam perenggan 5 perutusan beliau yang berbunyi – Selain itu, terdapat juga tuduhan bahawa saya tidak berniat untuk melepas jawatan dan gila kuasa – adalah benar belaka.

Tun Mahathir memang merancang untuk meletakkan jawatan, tetapi juga merancang untuk kembali dan dipilih semula melalui suara Ahli-Ahli Parlimen kedua-dua belah pihak – kerajaan dan pembangkang – walhal perlantikannya sebagai Perdana Menteri pada 10 Mei 2018 adalah atas mandat PH saja.

Bukan gila kuasa ke tu?

Begitu pun, Tun Mahathir mengakui beliau meletakkan jawatan akhirnya pada Isnin lalu kerana banyak sebab, antaranya kerana tidak sedia bekerjasama dengan UMNO dalam sebuah kerajaan campuran parti-parti pembangkang yang gagal dijadikan kenyataan melalui gerakan Langkah Sheraton yang diusahakan oleh Azmin serta di saat-saat akhir disokong kuat oleh Muhyiddin Yassin.

Tetapi, dalam hal ini, Tun Mahathir hanya enggan bekerjasama dengan UMNO dalam kerajaan campuran saja, namun tidak pula menolak sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang mahu mengekalkannya lagi sebagai Perdana Menteri jika berlaku pengundian antaranya dengan Anwar.
Kenapa tidak mahu bekerjasama dengan UMNO, tetapi mahu pula menerima sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen UMNO?

Siapa yang kaki rasuah yang konon sangat dibencinya itu – UMNO atau Ahli Parlimen UMNO?
Setelah meletakkan jawatan secara mengejut dan kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri interim, Tun Mahathir bagaimanapun sebenarnya terus merancang untuk kembali lagi sebagai Perdana Menteri.

Perenggan 16 perutusannya – Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang. Jika dibenar saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan dan perenggan 17 – Jika diizin inilah yang akan saya cuba – adalah bukti tanpa hijab tentang gila kuasa dan ingin terusnya beliau berkuasa di negara ini.

Setelah bukan lagi menjadi Pengerusi Bersatu, ideanya mahu melakukan pemerintahan tanpa parti pula?

Kalau tanpa parti, bukankah dirinya nanti akan menjadi paling berkuasa sekali selama mana yang dikehendakinya?

Cukup-cukuplah tu Tun….
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan