'Terima kasih Abdul Hadi Awang'

Oleh Zolkharnain Abidin Al-Abyad

Apabila Presiden Pas, Abdul Hadi Awang berkata, PAN (Amanah) bukan parti Melayu, saya sedikit pun tidak berkecil hati atau bergundah-gulana dengan perkataannya itu.

Pertama, kerana sifat Abdul Hadi yang suka bercakap apa sahaja yang dia suka untuk bercakap, sehingga ramai orang jadi mangli dengan cakap politiknya yang tidak konsisten (baca pusingan U).

Kedua, memang itulah realiti AMANAH. Dalam AMANAH ada ahli bukan Melayu, sama ada Cina, India atau Bumiputera Sabah dan Sarawak. Dalam Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional ada lelaki Cina dan wanita India.

Ketiga, penafian kemelayuan AMANAH tidak menjejaskan kedudukan AMANAH sebagai parti yang mendokong Islam sebagai teras dan tunggak perjuangannya. Jika mahu diletak label, ya, AMANAH adalah parti Islam.

Apabila AMANAH mendokong Islam sebagai teras dan tunggak, hal ini membawa maksud kami menerima dan boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja selama mana kerjasama itu masih dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh perlembagaan parti, perlembagaan negara dan ketetapan syarak.

Kami konsisten dengan pegangan ini. Bagi kami, kepelbagaian bangsa dan agama adalah ciptaan dan ketentuan Tuhan semesta alam. Tidak ada mana-mana bangsa menjadi mulia semata-mata kerana bangsanya, begitu juga sebaliknya.

Sementara Islam yang menjadi teras dan tunggak perjuangan kami tidak membawa maksud kami bermusuh dengan mereka yang berlainan agama dengan kami. Bagi kami, mereka adalah saudara kami semanusia dan senegara.

Kami akan membela sesiapa saja yang layak dibela. Pembelaan kepada mana-mana pihak atau individu bukan berpaksikan agama atau bangsanya, tetapi berpaksikan kriteria yang melayakkannya untuk dibela. Sudah tentulah semua itu berlangsung dalam ruang lingkup karamah al-insan (kemuliaan manusia).

Sementara itu, Pas semakin hari semakin bercelaru kompas perjuangannya. Suatu ketika dulu, Pas begitu konsisten menolak parti asabiah Melayu yang merujuk kepada Umno. Tidak kering gusi pemimpin Pas terutama Abdul Hadi membaca hadis tentang larangan bersekongkol dengan pihak yang berjuang, berperang dan mati atas nama asabiah.

Namun kini, parti asabiah Melayu Umno yang pernah 'dikafirkan' itulah yang dipilih menjadi rakan kerjasama. Bahkan, Pas begitu keras berusaha menonjol diri sebagai parti Melayu melalui gaya bertengkolok dan berkerisnya mengalahkan Umno sendiri.

Adakah Pas sudah lebih Melayu daripada Umno? Dimana asabiah Melayu yang Pas lawan sebelum ini? Dimana hadith larangan asabiah? Sudah terpadamkah tinta hukum 'haram' berjuang atas nama asabiah seperti yang pemimpin Pas pernah lakar dimana-mana saja suatu masa dulu?

Apa-apa pun terpulanglah kepada Pas untuk menentukan bunga dan buah silat politiknya. Tapi dari kejauhan, sudah kelihatan bunga dan buahnya itu sumbang dan semakin sumbang. Tari politiknya juga kurang menjadi lantaran kekeliruan dalam identiti perjuangannya sendiri.

Dulu, Pas mengaku perjuangannya Islam dan menolak bulat-bulat perjuangan Melayu yang dibawa oleh Umno. Kini, Umno yang sama, yang masih kekal keasabiahan Melayu itulah yang didakap erat oleh Pas dengan penuh asyik maksyuk.

AMANAH bagaimana? Ya, seperti yang ditegaskan, kami membawa perjuangan yang bernuansakan kemanusiaan. Slogan kami ialah inklusif. Sesiapa saja, asalkan dia adalah manusia, warganegara, merelakan diri untuk akur kepada undang-undang, silakan bersama kami.

Bangsa anda, agama anda, warna kulit anda, bahasa anda, itu anugerah Tuhan untuk anda. Persamaan kita ialah, kita semua manusia. Justeru, marilah kita menjadi manusia, bukan menjadi Tuhan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan