Amanah: Dr M kembali bersama PH untuk selamatkan negara

Amanah membayangkan Dr Mahathir Mohamad akan sekali lagi mengepalai gerakan menghadapi kerajaan dalam usaha pembangkang mencabar kuasa Perikatan Nasional.

Naib presidennya, Mahfuz Omar, berkata Mahathir sudah bersetuju untuk kembali bersama Pakatan Harapan (PH) selepas pemimpin utama parti itu mengadakan pertemuan dengan mantan perdana menteri terbabit.

Turut hadir dalam pertemuan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya itu, Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya.

Kata Mahfuz, pertemuan tersebut berlangsung selama kira-kira satu jam.

"Kami berbincang dari hati ke hati. Akhirnya capai kata sepakat untuk semua kembali bersama antara PH dan kumpulan Tun M," katanya melalui hantaran di Facebook sebentar tadi.

Ahli parlimen Pokok Sena itu turut memuat naik beberapa keping gambar antara lain menunjukkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu; timbalan, Salahuddin Ayub; dan dua naib presiden Dr Mujahid Yusof serta Husam Musa.

Untuk rekod, Bersatu kini menghadapi krisis dalaman selepas Mahathir mendakwa bahawa presiden parti itu, Muhyiddin Yassin, mengkhianati beliau dengan bekerjasama menubuhkan kerajaan baru bersama Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bersatu sekali lagi
Mahathir turut berkata bahawa beliau selaku Ahli Parlimen Langkawi bersama empat ahli parlimen lain dari Bersatu tidak menyokong Muhyiddin selaku perdana menteri.

Kumpulan terbabit juga mendakwa Muhyiddin tidak berkata benar semasa mempersembahkan ikrar sokongan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya beliau dilantik sebagai perdana menteri.

Ketika Mahathir menegaskan beliau masih berjawatan pengerusi Bersatu, Muhyiddin pula mendakwa sebaliknya.

Asalnya Mahathir dilihat bertindak secara berasingan daripada PH yang dianggotai Amanah, PKR dan DAP.

Malam tadi PH mengadakan perhimpunan membabitkan semua pemimpin parti komponen itu dan Mahathir tidak menghadirinya.

Kata Mahfuz mereka bersetuju untuk kembali bekerjasama bagi menghadapi Umno dan Perikatan Nasional (PN).

"[...] sekali lagi menyelamatkan Malaysia daripada pengusaan parti kleptokrat Umno-BN yang menguasai kerajaan gabungan pengkhianat dan kleptokrat," katanya.

Sementara itu Salahuddin turut memuat naik hantaran mengenai pertemuan tersebut.
"Perbincangan hati ke hati.

"Alhamdulillah kata sepakat dicapai untuk semua pihak bersatu sekali lagi untuk selamatkan Malaysia daripada penguasaan parti kleptokrat Umno-BN," tulisnya di Facebook.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan