'Jawatan timbalan menteri tak sesuai untuk Tiong'

Anggota Parlimen Bintulu dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) Tiong King Sing menolak pelantikan sebagai timbalan menteri perpaduan negara.

Perkara itu dimaklumkan setiausaha agung parti itu Nelson Balang Rining, seperti dipetik Utusan Borneo.

Nelson berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PDP di Kuala Lumpur semalam, susulan pengumuman barisan jemaah menteri oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Jawatan ini tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai presiden parti.

"Kedudukan beliau sangat kanan dalam parti dan telah berkhidmat untuk tempoh yang lama sebagai Ahli Parlimen," kata Nelson seperti dipetik.

Untuk rekod, jawatan timbalan menteri tidak termasuk dalam anggota kabinet.

Tiong yang telah menjadi anggota parlimen Bintulu selama lima penggal, merupakan satu-satunya dalam senarai lantikan Kabinet yang tidak hadir di majlis angkat sumpah jawatan di Istana Melawati, Putrajaya hari ini.

PDP merupakan antara parti yang membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Selain Tiong, Muhyiddin melantik empat menteri dan lima timbalan menteri daripada GPS.

Antaranya Anggota Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof, yang menjadi menteri kerja raya yang juga seorang daripada empat menteri kanan.

Selain PDP, GPS turut dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Gabungan itu menguasai 18 kerusi Parlimen.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan