Anwar mungkin memimpin negara jika Pakatan kembali berkuasa

ANWAR Ibrahim dan bukan Dr Mahathir Mohamad mungkin akan “mengetuai negara” jika Pakatan Harapan kembali berkuasa, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu temubual bersama Bloomberg.

Bekas timbalan perdana menteri kerajaan PH yang digulingkan itu berkata satu mesyuarat akan diadakan mengenai perkara itu.

“Saya akan adakan mesyuarat dan saya fikir mungkin Anwar,” katanya dipetik dalam temubual bersama Bloomberg Television.

Wan Azizah yang merupakan presiden PH dan isteri Anwar berkata gabungan itu akan “siap sedia untuk apa-apa termasuk pilihan raya”.

“Kami perlu menunggu dan melihat bagaimana keadaan akan berlaku…segala-galanya kelihatan begitu tidak menentu, sangat tidak terjamin, begitu rapuh,” katanya.

Kerajaan PH digulingkan selepas Dr Mahathir meletak jawatan pada 23 Februari berikutan plot oleh Bersatu di bawah Muhyiddin Yassin, bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Umno dan PAS untuk membentuk gabungan baharu.

Muhyiddin akhirnya dinamakan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri baharu selepas mendapat sokongan majoriti dalam kalangan ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri dan mengangkat sumpah pada 1 Mac.

Beliau mengumumkan pelantikan Kabinetnya semalam.

PH sebelum ini mengatakan akan mencabar majoriti Muhyiddin di Parlimen tetapi persidangan yang sepatutnya dijadulkan pada 9 Mac ditangguhkan sehingga 18 Mei.

Wan Azizah memberitahu Bloomberg bahawa langkah ini menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional Muhyiddin menunjukkan “ketidakpastian”.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan