Tidak lama lagi PAS akan terperangkap dalam dilema DAP

PETALING JAYA: PAS berdepan cabaran sukar dalam mengimbangi tindakannya apabila pemimpin parti Islam itu dilantik menganggotai Kabinet semula selepas 4 dekad.

Penganalisis dari Universiti Malaya, Awang Azman Pawi berkata pemimpin parti boleh kata apa saja mereka mahu ketika menjadi pembangkang, tetapi kini mereka perlu “mengubah” cara mereka daripada peringkat tertinggi hingga ke akar umbi.

“Mereka perlu menunjukkan mereka boleh menjadi lebih sederhana dan memikirkan kepentingan negara.”

Katanya, cabaran besar PAS ialah cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, di mana parti itu cuba mendapatkan kelulusan Parlimen.

“Dahulu, mereka mendakwa DAP cuba menghalang usaha mereka, kini mereka berada dalam kerajaan, jika pindaan itu gagal diluluskan, mereka berisiko dilihat sebagai tidak ikhlas atau serius mengenainya.”

Katanya, PAS mungkin dihukum pengundi mereka jika pindaan itu gagal diluluskan.

“Pada masa sama, jika mereka terlalu mendesak untuknya, mereka berisiko mencetuskan perpecahan dalam Perikatan Nasional.”

‘PAS tidak boleh kuasai Kabinet’
Pakar sains politik Chandra Muzaffar berkata, walaupun 3 pemimpin PAS dilantik sebagai menteri, parti Islam itu tidak mungkin boleh menguasai Kabinet baru, lebih-lebih lagi ia tidak memegang portfolio hal ehwal agama.

Katanya, Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terkenal sebagai individu yang inklusif, tidak berat sebelah dan berfikiran terbuka.

“Jadi, akan ada batasan untuk PAS mempengaruhi atau menguasai perbincangan agama dalam Kabinet.”

Beliau mendapati Presiden PAS, Abdul Hadi Awang baru-baru in bercakap mengenai keperluan menangani isu dihadapi Sabah dan Sarawak, mengurangkan jurang kekayaan serta rasuah.

Bagaimanapun, katanya, terlalu awal untuk katakan jika ini bermakna PAS akan mengurangkan retorik mereka atau jika parti itu akan menghadapi isu sama yang menyebabkan ia disingkirkan daripada Barisan Nasional pada 1977 disebabkan isu pemerintahan di Kelantan.

“Keadaan berbeza sekarang, jadi ia sukar untuk dikatakan. Apa yang menarik ialah tiada seorang pun dari PAS yang dilantik sebagai menteri kanan.”

Chandra berkata, ia mungkin disebabkan Muhyiddin sensitif terhadap pandangan orang lain terhadap PAS atau jika parti Islam itu menolak jawatan sedemikian, tetapi tanpa seorang menteri kanan daripada kalangan mereka, PAS kurang berkuasa dalam kalangan sekutu Perikatan Nasional.

RUU355 dan tsunami Sarawak

Wong Chin Huat daripada Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah percaya akar umbi PAS akan mengharapkan parti itu mendesak pindaan bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang lebih dikenali sebagai RUU355 memandangkan Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

Bagaimanapun, katanya, ia mungkin menakutkan pelabur, pelancong dan kelulusan undang-undang itu mungkin mencetuskan “tsunami” undi bantahan terhadap Gabungan Parti Sarawak menjelang pilihan raya negeri akan datang.

“Tidak lama lagi PAS akan terperangkap dalam dilema DAP, dilema mengubah pandangan pasaran, menjauhi pendirian radikal ketika menjadi pembangkang berbanding sederhana ketika berada dalam kerajaan, yang akan menimbulkan kemarahan akar umbi.

“Hasil terbaik ialah PAS akan melembutkan pendiriannya terhadap undang-undang syariah, seperti apa yang berlaku kepada DAP selepas 2 tahun berada dalam kerajaan, dan menjadi lebih diterima arus perdana negara.”

Tetapi, katanya, PAS juga boleh menolak dan mengasingkan pengundi sederhana serta tegar.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan