Malang Malaysia dapat PM dan KSN tidak peka

Oleh Mohd Sayuti Omar

DUA kejadian semalam yang menunjukkan kepanikan berlaku gara-gara Covid-19 bukan di kalangan rakyat orang kampung sahaja tetapi pihak berkuasa juga termasuk golongan profesional.

Pertama dan ini sesuatu yang tidak patut berlaku dalam negara sudah merdeka lebih 60 tahun apabila urusetia mesyuarat khas bagi selaraskan perintah kawalan perjalanan ke negeri-negeri ekoran Covid-19 yang dikepala sendiri oleh KSN, Zuki Ali melakukan kesilapan tidak sepatut berlaku. Kesilapan taraf yang boleh diciskan.

Pada mesyuarat itu empat orang ketua kerajaan negeri kebetulan pembangkang, yakni Menteri Besar Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Sabah tidak dijemput sama menghadiri mesyuarat tersebut yang dipengerusikan sendiri oleh perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Pengecualian daripada menjemput ketua-ketua kerajaan itu dilihat satu diskriminasi atau penyisihan negeri-negeri pembangkang dimana ia tidak sepatut berlaku memandangkan wabak Covid-19 menyerang sesiapa sahaja tanpa negeri pembangkang atau parti pemerintah.

MB Selangor merintih dan kesal atas keciciran itu memandangkan Selangor menjadi negeri yang utama berhadapan dengan risiko berkenaan.

Apa yang terjadi itu sesuatu yang pelik. Bagaimana pun KSN Zuki Ali mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas kekhilafan itu. Kejadian itu menimbulkan sunggutan oleh Muhyiddin katanya. Katanya juga Muhyiddin memandang berat dengan kejadian itu dan menegaskan akan bekerjasama dengan semua negeri pembangkang.

Kenyataan itu seperti mahu membela perdana menteri itu.

Alasan silap diberikan Ziki itu tidak dapat diterima, susah nak masuk ke dalam kepala. Masakan sebagai KSN yang diangkat untuk memegang jawatan dengan gaji puluhan ribu dan berdasarkan pengalaman dan professional dalam berkhidmat hal-hal sebegitu tidak sepatut berlaku. Kalau KSN juga sedia untuk jadi Pandir, elok berhenti sahaja. Cis.

Kesan dan persepsi disebalik kejadian itu besar memandangkan kerajaan yang ada sekarang ini baru dibentuk. Kejadian menyisihkan negeri pembangkang itu menyebabkan ada yang beranggapan kerajaan Perikatan Nasional (PN) cuba mengembalikan semula budaya kerajaan BN dahulu yang memicingkan mata kepada negeri pembangkang.

Zuki kena bertanggungjawab bukan sahaja memohon maaf atas kejadian itu, tetapi beliau perlu tekad untuk memastikan segala urusan dan perkhidmatan kakitangan kerajaan dibawa tanggungjawabnya bekerja dengan penuh etika dan tidak cuba mengikut sentimen parti politik.  Sekali lagi cis.

Bebas dan kosongkan kepala anda dengan sebarang elemen politik yang tidak menguntungkan rakyat dan negara.

PDRM tak professional.
Kejadian kedua yang berlaku semalam juga adalah perintah kepada orang ramai agar mengambil permit perjalanan oleh Polis di Raja Malaysia, (PDRM) yang telah menimbulkan masalah. Ekoran arahan itu menyebabkan balai polis diserbu orang ramai yang datang untuk mengambil permit perjalanan.

Melihat orang ramai menyerbu balai polis menyebabkan Ketua Polis Negara, Hamid Bador telah mengumumkan pembatalan arahan berkenaan. Apa yang boleh diulas mengenai ini, kejadian ini berlaku, juga kerana kurang pemerhatian PDRM. PDRM membuat sesuatu tanpa memikir dan mengesan apa yang berlaku. Kerja polis ini buat dahulu baru fikir. Ini kerja songsang kalak.

Perintah berkenaan menyusahkan orang ramai dan secara tidak langsung polis yang beria-iya meminta orang ramai jangan panik menjadi lebih panik. Orang kata kencing atas tahi. Jadi di sini yang panik dengan kemerebakan Covid-19 ini bukan rakyat dan orang kampung yang melakukan pembelian panik, tetapi dari kalangan pihak berkuasa termasuk polis sendiri.

Bayangkan macam mana kalau negara berhadapan dengan musibah lebih besar lagi, misalnya perang. Kalau arahan dan perintah dibuat pakai guna kepala lutut tetapi tidak guna akal, tentu keadaan jadi kelam kabut dan boleh menyebabkan berlaku hal-hal tidak sepatutnya termasuk kehilangan jiwa.

Apa juga yang berlaku semalam menunjukkan kelemahan pengurusan pihak pusat-pusat pengajian tinggi dalam menguruskan para pelajar dan mahasiswa. Ekoran arahan penutupan pusat-pusat pengajian menyebabkan para pelajar panik dan berbondong-bondong keluar kampus untuk pulang.

Tindakan serentak itu menimbulkan masalah, menyebabkan stesen atau perhentian bas penuh sesak dengan para pelajar dan juga orang ramai. Mungkin ada pelajar atau orang ramai yang ketiduran di stesen bas kerana kehabisan tikit. Suasana di stesen bas itu juga tidak lagi selamat apabila ribuan orang berhimpun dan tindakan ini bertentangan dengan langkah yang diambil, melarang perhimpunan.

Walhal pengurusan keluar pelajar itu boleh diatur secara berperingkat-peringkat untuk mengelakkan kesesakan. Sekali lagi tindakan ini menimbulkan kepanikan yang menambahkan ketegangan dan stress di kalangan rakyat. Nampak sekali negara kita tidak terlatih untuk menghadapi keadaan panik atau kecemasan.

Untuk masa akan datang perlu diadakan latihan bagaimana untuk menghadapi suasana atau keadaan seperti yang berlaku hari ini. Terutamanya pihak berkuasa seperti polis dan sebagainya dilengkapkan ilmu atau pun pengetahuan untuk menghadapi orang ramai apabila timbul keadaan dan suasana yang cemas seperti Covid-19 ini.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan