Bagaimana Malaysia selepas PKP?

Oleh Mohd Rizal Jaapar,

 KITA sepatutnya sudah melangkah maju dengan bergaya pada tahun 2020 ini, tetapi rupa-rupanya kita terpaksa mundur ke belakang.   

Tiada sesiapa pun berani menjangkakan hari-hari pelik yang sedang kita lalui sekarang; bagaimana tiga bilion manusia boleh terkurung di rumah masing-masing selama berminggu-minggu.
Kesannya dahsyat sekali setelah kota-kota besar dunia seperti New York, London, Paris, Rome, Barcelona, Tokyo dan termasuklah Kuala Lumpur sunyi sepi seperti dilanggar garuda. 

Ibu kota dua agama besar juga tidak terkecuali apabila putaran jemaah yang mengelilingi Kaabah di Mekah terhenti, manakala di Dataran St. Peter, Kota Vatican Pope Francis terpaksa berkhutbah sendirian pada Hari Easter.

Hatta para angkasawan yang sudah biasa dengan ketiadaan bunyi di angkasa lepas terkelu lidah menyaksikan lengangnya dunia sekembalinya mereka ke bumi.

Pencerobohan oleh makhluk halus ini walaupun baru berlaku cukup memberi kesan.

Penggantungan sehingga 96% penerbangan udara di seluruh dunia sebagai contoh, mengehadkan pergerakan manusia dalam sekelip mata.

Ekonomi lebih 190 negara terjejas teruk dan masih belum kelihatan petanda untuk pulih.
Serangan virus ini begitu deras dan menyeluruh tanpa mengira sesiapa.

Tidak seperti tentera Mongol, Jerman, Jepun, rejim komunis atau Zionis yang menyerang bangsa atau kepercayaan tertentu. Atau serangan ke atas pasaran matawang atau saham yang mensasarkan ekonomi sahaja.

Tidak juga seperti banjir besar, kemarau panjang, gempa bumi, kebakaran hutan, taufan atau apa jua bencana alam yang lebih geosentrik.

Virus yang kita namakan Covid-19 ini bukan juga raksasa, UFO atau Dajal. Pada diameter bersaiz 120 nanometer kehadirannya tidak boleh dikesan dengan deria biasa; dan tidak boleh ditangkap, dikurung atau dimatikan dengan teknologi sedia ada.

Tanpa senjata ampuh untuk menewaskan Covid-19, manusia hanya mampu meneka-neka keupayaannya.

Kita cuba berlindung dengan topeng muka atau mencuci tangan sekerap-kerapnya dengan harapan mampu menyahkan virus ini, namun ia jauh daripada mencukupi.

Kita tidak boleh “bertahan” sahaja jika mahu menang.

Sebagai langkah proaktif, pada 18 Mac lalu kerajaan Malaysia yang baru “ditabalkan” mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang baru sahaja dilanjutkan buat kali keempat sehingga 12 Mei hadapan. 

Berdepan prospek pertambahan bilangan kes jangkitan diseluruh dunia yang kini mencecah 3 juta (berbanding hanya 170,000 kes pada awal Mac); sedangkan vaksin masih belum ditemui, PKP dijangka akan berterusan untuk suatu tempoh yang panjang.

Tidak dapat dibayangkan keadaannya jika PKP terus berlangsung selama berbulan-bulan, atau sehingga bertahun. Pelbagai persoalan mulai meniti di fikiran orang ramai.

Antaranya, apakah beban fiskal dan sosial menjaga kebajikan lebih 30 juta “tahanan rumah” ini dapat terus dipikul kerajaan, terutamanya dalam keadaan demam politik serta ekonomi domestik yang masih belum kebah?

Apakah petugas barisan hadapan masih terdaya untuk meneruskan tugas dan berdepan risiko jangkitan lantaran bekalan PPE yang semakin terhad, atau mungkin juga sudah terlalu kepenatan? Mereka juga manusia.

Pada waktu sama, pencarian vaksin untuk Covid-19 memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun untuk melepasi perbagai saringan dan ujian.

Dalam tempoh menunggu tersebut pasti lebih banyak jiwa yang akan kecundang akibat jangkitan.
Realitinya antara yang terkorban barangkali dari kalangan anggota barisan hadapan; ada ahli keluarga, sahabat handai, atau mungkin diri kita sendiri.

Akhir sekali, kita juga bimbang kesan penguatkuasaan PKP untuk tempoh yang berlarutan kepada orang awam.

Bantuan Prihatin Nasional dengan peruntukan berbilion ringgit hanya bersifat jangka pendek dan tidak mungkin dapat merungkai pelbagai malapetaka yang sedang dan bakal menghambat orang ramai.

Pendapatan mereka yang tidak menentu, risiko kehilangan pekerjaan, komitmen bulanan yang tinggi, dan kelangsungan pendidikan untuk anak-anak; termasuklah soal kesihatan fizikal, mental dan spiritual merupakan bom jangka yang boleh meletus pada bila-bila masa.

Dalam pada itu, insiden beberapa individu berpengaruh yang mengingkari arahan PKP secara terbuka hanya memburukkan keadaan, sekaligus mengurangkan keyakinan orang ramai terhadap kesungguhan kerajaan mendahulukan rakyat.

Apa yang terjadi di negara Uncle Sam pasti akan memberi kesan kepada negara dunia yang lain termasuklah Malaysia.

Tuntutan sebahagian warga Amerika untuk menghentikan PKP kerana mahu terus bekerja, walaupun dilihat kurang bijak tentu ada asasnya untuk kita tauladani.

Sebagai sebuah negara maju dengan kos sara hidup rakyatnya yang tinggi, sekatan duduk di rumah ibarat menggantung diri sendiri hingga mati.

Ekonomi Amerika yang dianggap kebal itu kini sedang lumpuh dan berdarah.

Dengan dikelilingi negara pesaing diutara dan selatan, dikepung dua lautan besar Atlantik dan Pasifik di timur dan barat, dengan krisis kepimpinan yang memalukan, dan kini diserang pula dari dalam oleh Covid-19 maka tidak mustahil kuasa kapitalis ini jatuh menyembah bumi sebagaimana runtuhnya kuasa besar sebelumnya.

Ramai berharap kejayaan Malaysia meratakan lengkung jangkitan wabak Covid-19 lebih baik daripada negara lain memberikan petunjuk PKP mungkin ditamatkan lebih awal dan kita akan dapat menjalani kehidupan seperti biasa semula.

Namun, realitinya tidak begitu kerana bebas-PKP tidak bermakna kita sudah bebas Covid-19.
Pelan keluar atau exit strategy yang banyak dibincangkan sekarang lebih mengarah kepada menggerakkan semula ekonomi yang sudah tergendala yang dijangka jauh lebih sukar untuk dipulihkan.

Sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia sentiasa bergantung kepada kesihatan dan kesejahteraan rakan dagangnya yang lain sama ada Asia Tenggara, Asia Timur, Eropah, Jepun, China dan Amerika.

Malaysia yang bebas-PKP atau bebas Covid-19 sukar untuk makmur selagi jiran disekelilingnya masih bergelut dengan lengkung jangkitan yang tidak turun-turun.

Dalam ketidaktentuan berperang dengan musuh halimunan ini, kita harus insaf bahawa ada kuasa mutlak yang tahu bagaimana 2020 bakal berakhir, dan akan terus memantau prestasi manusia yan
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan