Oleh Shahbudin Hussin
Membaca kenyataan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan tentang
kedudukan parti itu dalam PN serta hubungannya dengan Bersatu dan
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, kesimpulan paling mudah untuk
difahami ialah ia hanya sehingga tarikh Parlimen dibubarkan saja.
Sebaik saja Parlimen dibubarkan dan untuk menghadapi PRU15, Umno akan
segera meninggalkan PN serta mengucapkan “bye bye” kepada Muhyiddin dan
Bersatu.
Sebaliknya Umno akan kembali kepada Muafakat Nasional atau MN yang
dibentuknya bersama Pas, selain terus kekal sebagai tunjang kepada BN
yang turut dianggotai oleh MCA, MIC dan PBRS.
Malah, dengan lebih awal memaklumkan status hubungannya itu, Umno
sebenarnya sudah pun mengucapkan salam perpisahan kepada Muhyiddin.
Ke mana Muhyiddin dan Bersatu mahu pergi selepas Parlimen dibubarkan
nanti bukan lagi urusan atau hal yang mahu diambil berat oleh Umno,
meski mereka sebelumnya bersama-sama dalam kerajaan.
Nasib Muhyiddin dan Bersatu di mata Umno tak ubah bak kata pepatah – habis madu sepah dibuang.
Kenyataan Mohamad Hasan atau Tok Mat berhubung perkara itu boleh
didapati di sini
https://shahbudindotcom.net/…/timbalan-presiden-sahkan-umno…
Berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Tok Mat, Umno sebagai tunjang
kepada BN hanya ada kerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional saja.
Dengan Bersatu atau PN, Umno sama sekali tidak ada sebarang hubungan atau ikatan apa-apa dengannya.
Bermakna juga, tindakan Umno menyokong Muhyiddin hanyalah semata-mata
untuk membolehkan parti itu kembali menjadi kerajaan sementara menunggu
Parlimen dibubarkan yang selewat-lewatnya mesti diadakan sebelum tahun
2023.
Sebelum ini, Pas melalui Naib Presidennya, Mohd Amar Abdullah turut
membuat kenyataan yang hampir sama dengan apa yang dinyatakan oleh Tok
Mat.
Kata beliau, kerjasama politik Pas dalam PN bukan suatu ikatan yang
konkrit, tetapi hanya diwujudkan untuk menyelesaikan kelompongan politik
yang berlaku ketika itu.
”Ikatan ini bukan ikatan yang konkrit, sebab pada waktu itu mungkin
boleh saya katakan ia bersifat ad-hoc untuk menyelamatan keadaan apabila
Tun Mahathir Mohamad letak jawatan dan negara tidak ada kerajaan.
“Jadi untuk menyelamatkan keadaan pada waktu itu, parti Pas, Umno dan
BN terpaksa buat keputusan segera dan daripada itu lahirnya Perikatan
Nasional.
“Nama Perikatan Nasional pun tak tahu siapa yang bagi. Kita pun hairan dari mana keluar nama (PN) itu.
“Tetapi sebenarnya untuk selamatkan negara daripada kelompongan politik yang berlaku ketika itu,” katanya lagi.
Kenapa Umno dan Pas hanya mahu fokus kepada MN dan tidak kepada PN,
sedangkan melalui PNlah kedua-dua parti itu dapat jadi kerajaan meskipun
ditolak pengundi pada PRU14 lalu?
Jawapan mudahnya ialah Umno dan Pas bertanding di kawasan yang sama iaitu kawasan majoriti Melayu sejak sekian lama.
Oleh kerana sudah ada kerjasama melalui MN, Umno dan Pas mesti
berbahagi-bahagi kerusi untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri
serta untuk memastikan kemenangan lebih terjamin dalam PRU15 akan
datang.
Sementara proses pembahagian kerusi itu belum lagi bermula dan ia
dijangka bukan sesuatu yang mudah kerana Umno dan Pas masing-masing ada
kekuatan serta pemimpinnya sendiri yang sentiasa ghairah untuk bergelar
YB di setiap kawasan Parlimen, melibatkan pula Bersatu dalam perebutan
itu tentulah menjadikan rundingan akan bertambah rumit lagi.
Maka, jalan mudah ialah Umno dan Pas hanya perlu komited kepada MN saja dan melupakan PN, Bersatu dan Muhyiddin.
Untuk itu, apa nasib Bersatu, Muhyiddin dan mereka yang menyokongnya
serta tidak sedarkah beliau bahawa dirinya kini hanya diperalatkan oleh
Umno dan Pas untuk mereka jadi kerajaan dengan harapan MN lebih selesa
memenangi PRU akan datang?
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan