Bukti Pakatan Harapan bukan ejen Barat

Oleh RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH

Ramai yang hairan tentang surat YB Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang kepada pemimpin-pemimpin Islam dunia yang memburukkan Pakatan Harapan (PH) dan juga AMANAH dengan menuduh kami terlibat dengan konspirasi bersama Amerika Syarikat, Negara Barat dan gerakan Freemason.

Dalam masa sama ramai kenalan kami dari Pas menyatakan kebimbangan mereka kedudukan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) hari ini di mana mereka kelihatan terpinggir. Sebagai penduduk Terengganu di mana Pas berakar umbi saya ingin mengulas kedua dua isu di atas.

Seperti pesanan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dahulu supaya Pas jangan jatuh dalam lubang yang sama, itulah sebenarnya yang akan berlaku hari ini jika enggan belajar dari sejarah hitam lalu dengan BN-Umno.

Melalui perlantikan oleh Perikatan Nasional pemimpin-pemimpin Pas sebagai Duta dan Menteri, ramai yang dilantik diletak dalam situasi yang akan boleh membawa banyak liabiliti yang akan merugikan Pas.

YB Datuk Seri Haji Hadi Awang dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri dengan tugas khas di Timur Tengah. Berhadapan dengan Kerajaan Arab Saudi di mana kerajaan Umno-BN dahulu telah melibatkan tentera Malaysia bersama sekutu barat Saudi lain, Amerika Syarikat, Britain dan Peranchis menyerang negara miskin kerdil Yaman apakah pendirian negara sekarang?

Kerajaan Pakatan Harapan – PH telah menarik balik tentera kita dari Saudi. Ini membuktikan salahnya menuduh PH bersekongkol dengan Amerika serta Barat sebelum ini. Golongan Umno-BN lah sebenarnya yang bersama bersekongkol dengan Barat serta Arab Saudi menyerang Yaman di mana Arab Saudi kini juga makin rapat dengan Israel.

Hari ini sedar atau tidak, Pas bersama Umno-BN berada dalam kumpulan yang sama terbukti mesra Amerika dan Barat dengan tindakan berada bersama dalam sekutu menyerang Yaman seperti terkandung laporan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun 2017 setebal 241 muka. Siapa sekutu barat sebenarnya ?

Sebagai Duta Khas melibatkan Timur Tengah, YB Datuk Seri Haji Hadi juga mesti menangani isu hubungan Israel, sekutu Amerika dan Barat, dengan Malaysia di mana kumpulan Umno-BN telah mengikut jejak Arab Saudi yang mesra Israel – sekutu akrab Amerika, hari ini.

Perlu diingat tiga tahun lepas suatu peristiwa sangat menggemparkan. Buat pertama kalinya Kerajaan Malaysia, Umno-BN telah mengeluarkan kebenaran beberapa Pegawai pegawai Yahudi Israel sekutu Amerika ke satu Konvensyen di Kuala Lumpur selama satu minggu . Kami dari PH membantah dengan keras di Parlimen kehadiran wakil Israel. Sekali lagi ini membukti salah tuduhan Hj. Hadi kami rapat dengan sekutu Amerika dan Barat.

Umno-BN rakan Pas hari inilah yang bermesra dengan Sekutu Amerika – Barat bersama Israel.
Sebaik PH menjadi kerajaan kami telah membuat pendirian jelas menolak Israel dan mengadakan Kuala Lumpur Summit negara Islam yang diprotes oleh beberapa negara Arab sekutu Amerika dan Barat. Sekali lagi ini bukti kami PH bukan boneka negara barat.

Adakah pandangan YB Datuk Seri Haji Hadi akan merestui meneruskan sikap bermesra dengan Israel yang menzalimi keras warga Palestin-Islam seperti kerajaan BN-Umno dahulu?

Adakah Hj. Hadi akan menyokong resolusi Kuala Lumpur Summit yang dipersetujui bersama Malaysia, di bawah PH, bersama dengan Turki dan Iran yang tidak disenangi sekutu Amerika – Barat serta Arab Saudi?

Tindakan kami dari PH dalam isu Yaman, Israel dan KL- Summit di atas jelas menunjukkan kami sebelum ini tidak redha menjadi sekutu atau boneka barat atau sesiapa pun.

Tugas YB Hj Hadi dalam tiga isu ini adalah contoh tanggung jawab yang berat yang beliau dan rakan Pas perlu menghadapi.

Sementara itu tanggungjawab dipikul Timbalan Presiden, YB Tuan Ibrahim, sebagai Menteri tentang isu alam sekitar agak berat dan akan menjadi sangat mencabar.

Kenyaatan awal tentang isu alam sekitar oleh beliau tidak membantu dari segi image dan menangani isu sebenarnya. Sebagai ahli Parlimen dari Kelantan beliau perlu menangani masalah besar alam sekitar Kelantan yang melibatkan pembalakan, pencemaran bekalan air dan perlombongan yang menjejaskan alam sekitar dengan teruk nya. Sebagai seorang yang berasal dari Pahang, isu Lynas bersama isu perlombongan bauksit juga menunggu beliau.

Pencemaran banyak sungai Malaysia dengan kimia dari industri seluruh Malaysia amat kritikal seperti dilihat sendiri YB Tuan Ibrahim baru-baru ini.

Portfolio Alam Sekitar, yang memerlukan latar belakang atau kapakaran lebih teknikal, yang diberi kepada Tuan Ibrahim adalah paling sangat mencabar dan membawa tekanan kepada beliau dan mungkin akan menjejas imej beliau.

Perlantikan YB Datuk Khairuddin Aman Razali dari Pas, sahabat saya dari Terengganu, sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi juga amat mencabar. Dengan situasi semua harga komoditi rendah dan kempen negara barat yang agresif terutamanya terhadap kelapa sawit, satu tugas yang amat sukar di hadapi beliau dan akan membawa banyak cabaran.

Harapannya dengan latar belakang perniagaan beliau masalah ini dapat di tangani dengan baik.
Perlantikan Perdana Menteri PN ahli-ahli Parlimen utama Pas adalah kepada portfolio yang sangat mencabar dengan ujian rumit dan penuh ranjau untuk dihadapi.

Bagaimanapun saya ingin menyatakan bahawa Pas patutnya menumpu perhatian menangani masalah sangat mencabar menghadapi tugas portfolio Duta dan Menteri masing-masing yang di ‘hadiahkan’ oleh PN kepada mereka.

Pas adalah dalam kerajaan sekarang dan bukan lagi pembangkang. Mereka perlu cuba membina Negara dan bukan dengan memburukkan PH dengan tuduhan tidak berasas tanpa bukti.

Memburukkan kami tidak akan membuat diri mereka Pas jadi lebih baik malahan mengalih perhatian dari tanggungjawab mereka sebenarnya serta hilang tumpuan.

Isu tuduhan kami pro Barat, Freemason dan ejen Komunis dan seterusnya telah kami jawab dan akan terus dijawab.

YB Hj. Hadi perlu menangani polisi dalam 3 isu ini – polisi menyerang Yaman, hubungan mesra Israel oleh Umno-BN dan resolusi Kuala Lumpur Summit oleh Malaysia, Turki dan Iran. Perlu diingati Datuk Seri Najib dan rakan-rakan Umno-BN nya amat terhutang budi kepada Arab Saudi kerana ‘derma’ lumayan yang diterimanya untuk cuba memenangi PRU14 yang BN gagal.

Polisi kami dari PH jelas menujukkan kami bukan alat atau boneka Negara Barat dengan tindakan kami. Apa pula polisi PN yang tidak ada manifesto sendiri pun?

Kerajaan Perikatan Nasional bagaimana pula? Buktikan dengan tindakkan yang jelas dan mohon jangan menuduh kami alat negara Barat.

Pesanan Almarhum Tok Guru Nik Aziz perlu diingati.

‘Jangan jatuh dalam lubang yang sama dua kali’, lebih lebih lagi hari ini apabila lubangnya menjadi lebih besar dan dalam. Amat parah dan sukar untuk merangkak keluar dari lubang yang dalam digali oleh ‘sahabat’ perompak yang berpengalaman seperti berlaku pada tahun 1977, iaitu 43 tahun dahulu.

Ramai penyokong Pas mungkin tidak ingat lagi peristiwa 5 Disember 1977. Ia berlaku pada masa musim tengkujuh Pantai Timur tetapi yang berlaku bukanlah banjir air biasa.

Yang berlaku ialah banjir kilat yang menyingkir keluar Pas dari Kerajaan Malaysia oleh BN 43 tahun dahulu.

Inilah pesanan Almarhum ok Guru Nik Aziz tentang lobang yang pernah menjerumuskan dan memerangkap Pas dahulu yang kelihatan akan berulang sekali lagi.

Watak-watak yang memasang perangkapnya sama sahaja, tetapi malangnya mangsanya terdiri dari pihak yang sama kerana tidak mempelajari dari sejarah silam yang pahit.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan