Oleh MOHAMAD SABU
Persoalan kemanusiaan, undang-undang dan hak asasi manusia mesti
dilihat secara menyeluruh walaupun adakalanya ia perlu dilihat secara
berasingan.
Pemerdagangan manusia bukan perkara baru malah telah berlaku sejak ribuan tahun dahulu.
Kita melihat bagaimana ‘black’ dari Afrika dibawa dan dilelong dengan
harga murah untuk dijadikan buruh dan pekerja bawahan di Amerika
Syarikat.
Mereka ditindas dan diperguna oleh tauke-tauke yang terlibat dalam perlombongan, perladangan dan juga industri minyak.
Mereka yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia ini telah
menjadi kaya-raya manakala mereka yang ditindas itu pula hidup melarat
sekian lama.
Sehinggalah munculnya pejuang-pejuang kemanusiaan dan kebebasan di
Amerika Syarikat seperti George Washington dan lain-lain yang akhirnya
golongan tersebut dapat hidup dengan baik di sana.
Begitu juga pemerdagangan manusia dan buruh asing di Malaysia yang jumlahnya mencapai angka juta.
Mereka datang untuk bekerja dan mendapatkan gaji, tetapi yang
kaya-raya adalah sindiket yang menjalankan pemerdagangan manusia
tersebut.
Sindiket ini telah mengaut keuntungan dan wang yang banyak di atas
penderitaan para pekerja tersebut yang mencari rezeki dan sesuap nasi
bagi keluarga mereka di negara asal.
Demikianlah juga apa yang berlaku kepada pelarian Rohingya. Akibat
penindasan yang berlaku di Myanmar khususnya umat Islam di sana, mereka
terpaksa melarikan diri demi menyelamatkan nyawa dan ahli keluarga
mereka.
Konteks kemanusiaan dan perundangan perlu dilihat bersama dalam hal
ini dan pada masa yang sama jenayah pemerdagangan manusia ini mesti
terus diperangi habis-habisan.
Kerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan dalam negara termasuklah
usaha sama antara negara-negara ASEAN, UNCHR dan sebagainya perlu
diperkasakan.
Walau apapun keadaan, membiarkan orang mati dalam kelaparan adalah
perkara yang amat menyedihkan dan menggambarkan nipisnya nilai
perikemanusiaan.
Oleh itu, kita hendaklah memiliki keseimbangan antara kemanusiaan, hak asasi manusia dan perundangan.
Kerajaan perlu lebih tegas melaksanakan seruan di peringkat
antarabangsa seperti ASEAN dan PBB serta bekerjasama dengan NGO yang
terlibat dalam usaha memerangi jenayah pemerdagangan manusia ini.
Namun pada masa yang sama, soal hak asasi manusia perlu dipertahankan.
Kita mesti ingat, jutaan umat Islam diterima di negara-negara Eropah
seperti Jerman dan mereka dilindungi dan diberi hak yang sewajarnya
sebagai pelarian.
Malahan sebahagian daripada mereka telah menjadi warganegara di sana khasnya selepas Perang Dunia Ke-2.
Sebab itu, kita mengecam Eropah dalam isu-isu tertentu seperti
sokongan mereka terhadap kerajaan yang tidak menghormati demokrasi dan
hak asasi tapi pada masa yang sama, terdapat kebaikan yang dilaksanakan
oleh mereka di negara mereka.
Ramai pemimpin-pemimpin gerakan Islam di sebahagian negara Timur
Tengah yang ditekan dan dipenjara serta yang dihukum bunuh. Sebahagian
mereka ini diselamatkan dan diberi perlindungan oleh negara-negara
Eropah.
Oleh demikian, kita sedar adakalanya kerja kebajikan yang diseru oleh
agama Islam telah dilaksanakan oleh mereka yang bukan Islam. Sebaliknya
negara umat Islam pula menjadi pengeksport pelarian.
Dalam isu Rohingya, kita mengharapkan OIC memainkan peranan
sewajarnya bagi membuktikan Islam adalah agama penyelamat, agama yang
memenuhi hak asasi manusia dan agama yang menegakkan keadilan. Begitu
juga di dalam negara kita, usaha memerangi pemerdagangan manusia mesti
digiatkan tanpa mengira mereka yang terlibat berada di pihak kerajaan
ataupun pembangkang.
Home / Penulis Tamu
/ Rohingya: Buktikan Islam penyelamat, menjaga hak asasi dan menegakkan keadilan
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan