Oleh Shahbudin Hussin
Kedudukan PN sebagai kerajaan yang meletakkan Muhyiddin Yassin selaku
Perdana Menteri, dari sehari ke sehari, jelas menunjukkan ia semakin
kucar-kacir dan tidak menentu.
Berbeza dengan mana-mana kerajaan
sebelum ini yang biasanya diasak oleh pihak pembangkang untuk
menjatuhkannya, sebaliknya PN tidak henti-henti digugat oleh UMNO yang
merupakan blok terbesar dalam gabungan itu sendiri.
Tidakkah ini
sebenarnya amat menghairankan, UMNO yang merupakan sebahagian daripada
kerajaan, tetapi kerjanya lebih banyak mahu mengkucar-kacirkan kerajaan
daripada mengukuhkannya?
Bermula dengan meluahkan perasaan tidak
puas hati terhadap sususan kabinet, menuntut lebih kedudukan dalam GLC,
menyerang secara terbuka menteri yang banyak dimanjakan Muhyiddin iaitu
Azmin Ali dan seterusnya memaklumkan parti itu hanya akan bekerjsama
dengan Pas dalam MN dalam PRU15 akan datang, tetapi tidak dengan
Bersatu, parti yang Presidennya adalah Perdana Menteri.
Adakah pemakluman itu bertujuan mahu memberitahu bahawa hayat PN, paling panjang pun hanya sehingga PRU15 saja?
Tidak cukup dengan itu, ada pula Ahli Parlimen UMNO yang baru dilantik
sebagai Pengerusi GLC dengan tidak malu-malu menyatakan lantikannya itu
tidak bermakna akan mengikatnya dalam pendirian politik untuk sentiasa
menyokong Perdana Menteri.
Apakah Ahli Parlimen berkenaan tidak
sedar lantikannya itu sebenarnya adalah bertujuan untuk Muhyiddin
mengikat beliau dan agar sentiasa memberi sokongan kepada kedudukan
Perdana Menteri?
Kalau bukan untuk mengikat dan tiada maksud
politik, tentulah lebih baik Muhyiddin membuat lantikan daripada
kalangan profesional yang tentunya lebih memungkinkan dapat memajukan
lagi GLC berkenaan.
Terbaru, dalam mesyuarat MT UMNO Isnin lalu, parti itu juga telah membuat keputusan menolak secara rasmi untuk menyertai PN.
Walaupun PN belum didaftarkan secara rasmi, penolakan awal ini dengan
sendirinya menghalang usaha Muhyiddin untuk mendaftarkan gabungan
tersebut sebagai sebuah entiti yang sah seperti BN dan PH.
Keadaan ini bermakna, UMNO hanya ingin berada dalam kerajaan PN secara
tidak rasmi dan enggan bekerjasama secara sah dengan Muhyiddin melalui
PN.
Dalam hal ini, ada kemungkinan Pas juga akan bersama dengan UMNO tidak mahu menyertai PN secara rasmi.
Jika PN tidak didaftarkan sampai bila-bila, apakah status kerajaan ini?
Sampai bilakah ia mampu bertahan dengan hanya status “bersekedudukan tanpa ikatan yang sah” saja?
Yang nyata, perkembangan terbaru ini memperlihatkan UMNO semakin
memperhebatkan tekanannya terhadap Muhyiddin untuk menuntut lebih banyak
kedudulan dan keistimewaan buat mereka dalam kerajaan bagi memudahkan
lagi laluan memenangi PRU15 nanti.
Tidak mustahil tekanan ini juga berkaitan dengan kes-kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh beberapa pemimpin UMNO ketika ini.
Kiranya Muhyiddin terus tidak memberi perhatian terhadap semua tekanan
ini, langkah terakhir UMNO ialah mungkin menarik sokongan terhadap
Muhyiddin atau menawarkan sokongan kepada pihak yang ingin menumbangkan
kerajaan melalui usul undi tidak percaya di Parlimen.
Melalui
sokongan itu, UMNO akhirnya berharap sama ada kes-kes mahkamah
melibatkan beberapa pemimpinnya dapat dilambat-lambatkan atau dengan
tujuan agar Muhyiddin akan membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15
diadakan lebih awal.
Bagi UMNO, jika pilihanraya diadakan
sekarang atau pada tahun 2023 sekalipun, melalui kerjasama dengan Pas,
mereka berkeyakinan penuh dapat membentuk kerajaan baru yang sekaligus
menjadikan mereka benar-benar ketua dalam kerajaan tersebut.
Berbanding sekarang, meskipun memiliki jumlah kerusi terbanyak dalam PN,
kedudukan UMNO dari segi keutamaan dalam kerajaan adalah di nombor tiga
di belakang Bersatu yang pro Muhyiddin dan kumpulan Azmin.
Inilah yang membuatkan UMNO tidak senang duduk dan meroyan setiap hari dalam kerajaan.
Yang jelas, UMNO mahu kuasa mutlak dalam kerajaan dikembalikan kepada
mereka sebagaimana selama 61 tahun era BN berkuasa sebelum ini.
Berapa lamakah Muhyiddin mampu bertahan dengan tekanan berterusan dan makin menggila daripada UMNO ini?
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan