Umno tolak sertai PN secara rasmi

Majlis Tertinggi (MT) Umno menolak cadangan agar parti itu menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi, kata sumber kepada Malaysiakini hari ini.

Sumber terbabit berkata, keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam mesyuarat MT yang diadakan pada Isnin lalu, dan ia bertujuan menjaga kedudukan dan kepentingan parti berkenaan.
"MT sebulat suara tolak, kita tak mahu jadi parti kecil. Kalau banyak parti dalam PN, Umno tak boleh nak jadi macam dalam BN sebelum ini.

"Sebelum mesyuarat MT, parti melalui mesyuarat biro politik juga sudah menolak cadangan ini.
"Kemudian mesyuarat pengerusi-pengerusi perhubungan Umno negeri juga menolaknya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Umno memeterai piagam Muafakat Nasional bersama PAS untuk mengabsahkan kerjasama secara rasmi pada akhir tahun lalu. Parti lain dalam BN pula dianggap menyertai gabungan berkenaan melalui Umno.

Menerusi Muafakat Nasional, BN dan PAS menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri kepada gabungan PN, sekali gus membawa kejatuhan Pakatan Harapan sebagai kerajaan selama 22 bulan.

Susulan pembentukan kerajaan PN di peringkat persekutuan, beberapa kerajaan negeri yang dikuasai PH juga tumbang selepas krisis politik Februari lalu, yang berlangsung kira-kira seminggu.

Akhir bulan lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menegaskan PN bukanlah satu gabungan yang berdaftar secara rasmi dan Umno tidak pernah menyertainya.

"Hubungan Umno dengan PN hanya satu persefahaman untuk menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik yang dicetuskan sendiri oleh kelompok tertentu dalam PH," katanya yang menegaskan bentuk kerjasama itu berbeza dengan persefahaman dengan PAS dalam Muafakat Nasional yang diurus secara rasmi.

Platform rasmi cerita lain
Dalam pada itu Anggota Majis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan, berkata cadangan untuk mendaftar PN dan Umno sebagai ahli sekutunya perlu diteliti sebaik mungkin.

Pada masa sama, katanya, sokongan Umno terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin selaku perdana menteri tidak perlu diragui.

"Ia perlu dilihat dengan serius apa kebaikan yang Umno dapat dan juga keburukannya.

"Tapi ini bukan bermakna Umno tak sokong PN, kalau tak sokong kita tak berada dalam kerajaan.

"Umno boleh bagi keyakinan bahawa kita sokong PN dan perdana menteri, untuk (PN) jadi platform rasmi itu cerita lain," katanya lagi.

Menerusi PN, Umno berjaya mentadbir kembali negeri yang dimenangi PH pada PRU lalu, iaitu di Melaka (sebelum ini ketua menteri daripada Amanah) dan Johor (sebelum ini menteri besar daripada Bersatu).

Di Perak pula, Bersatu kekal memimpin kerajaan Perak meskipun Umno menguasai lebih banyak kerusi di DUN.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan