JIKA gabungan “Pakatan Harapan Plus” – PKR, Amanah, DAP, Warisan dan
kumpulan Dr Mahathir Mohamad dalam Bersatu – boleh kekal teguh bersama,
Muhyiddin Yassin mungkin harus memilih antara dua:
Pertama, adakan pilihan raya umum dan dapatkan mandat baharu, yang
mungkin membawa bala kepada Muhyiddin dan Azmin Ali tetapi tentunya
menggembirakan Umno;
Kedua, letak jawatan dan biarkan Yang di-Pertuan Agong melantik
kerajaan baharu, terutamanya jika beliau gagal meluluskan Belanjawan
2021.
Saya tidak menolak kebarangkalian lain, termasuk membungkam demokrasi
berparlimen secara keseluruhannya. Tetapi selagi mana “PH Plus” kekal
bersama, Muhyiddin akan sangkut dan tak dapat bergerak.
Melengahkan persidangan Parlimen dari 9 Mac ke 18 Mei adalah taktik
memberi ruang waktu supaya mereka dapat “membeli” bilangan ahli Parlimen
secukupnya untuk mendapat majoriti selesa. Objektif itu sudah ternyata
gagal.
Kerajaan Muhyiddin kini takut untuk mengadakan sidang Parlimen.
Pertama, penurunan pangkat Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat,
lima hari sebelum sidang penting 18 Mei adalah isyarat kerajaan sedang
panik.
Riduan, anggota paling senior dalam perkhidmatan Parlimen yang mula
bertugas sejak 1989, diganti dengan seorang penjawat awam yang agak
kurang berpengalaman dari Jabatan Perdana Menteri.
Kedua, kerajaan tidak berani berdepan sebarang undi di Parlimen, hatta undian bersifat prosedur sekali pun.
Dalam surat bertarikh 17 April kepada ahli-ahli Parlimen, serta
perancangan awal yang diberitahu kepada pemimpin-pemimpin parti,
sepatutnya berlangsung beberapa undian prosedur seperti penggantungan
Peraturan Mesyuarat dan undian untuk menangguhkan perbahasan titah
Diraja pada sidang Julai.
Pengundian prosedur adalah bersifat teknikal yang tidak ada akibat politik. Tetapi kenapa undian begitu pun digeruni kerajaan?
Jawapannya mudah sahaja: kerajaan tidak dapat menentukan bilangan kerusi yang mereka ada, dan keadaan mereka goyah.
Perikatan Nasional mempunyai maksimum 113 kerusi, atau kurang.
Memandangkan undian prosedur tidak membawa kesan, jika sekutu Muhyiddin
mahu mencetuskan masalah, memang sesuai sangat untuk menewaskan sesuatu
undian tanpa meruntuhkan kerajaan.
Ketiga, sebenarnya walaupun kerajaan boleh membuli Speaker Parlimen
untuk tidak membenarkan usul undi tidak percaya masuk ke dalam aturan
mesyuarat, setiap satu undian di Parlimen berisiko menunjukkan bagaimana
kerajaan tidak memiliki majoriti.
Ini sebabnya saya katakan bahawa selagi mana “PH Plus” ini kukuh,
Muhyiddin akan terus takut berdepan Parlimen tidak kira pada bulan Julai
atau September.
Tetapi kerajaan masih perlu membentangkan Belanjawan 2021 kelak, jika
tidak, tiada peruntukan untuk dibelanjakan dan seluruh sistem terhenti.
Jika Muhyiddin masih tidak mampu mendapatkan majoriti selesa dalam
tempoh dua bulan akan datang, pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 juga
nampaknya akan ditangguh.
Semakin lama beliau menunggu, semakin gigihlah Umno mencekik dan menekan Muhyiddin.
Untuk sedikit konteks, Parlimen Westminster mempunyai tiga fungsi utama.
Pertama, membentuk kerajaan. Parlimen adalah tempatnya di mana majoriti sesebuah kerajaan dibentuk dan diuji.
Tidak bermakna bahawa kerajaan minoriti tidak boleh memerintah.
Tetapi apabila kerajaan tidak mempunyai majoriti, ia akan terpaksa
berunding dengan pihak pembangkang untuk setiap rang undang-undang.
Muhyiddin masih berfikir untuk menggoda ahli Parlimen pembangkang dan
tidak bersedia untuk berdepan Parlimen dan berunding kerana beliau
takut kehilangan majoriti di lantai Parlimen awal-awal lagi.
Kedua, menggubal undang-undang dan meluluskan perbelanjaan. Banyak
hal perlu dilakukan untuk berdepan norma baharu pasca Covid-19.
Undang-undang perlu dipinda, perbelanjaan perlu dibahas dan diluluskan.
Fungsi Parlimen yang ini pun sudah dibungkam.
Ketiga, untuk melakukan semak-imbang. Anggota “backbencher” kerajaan
dan pembangkang sepatutnya berfungsi mempertanggungjawabkan pihak
eksekutif melalui soalan di peringkat jawatankuasa dan soalan-soalan
Parlimen. Pihak kerajaan malah tidak berani membenarkan soalan bertulis.
Parlimen Malaysia telah mencapai begitu banyak kemajuan dalam tempoh
kurang dua tahun di bawah PH. Jika PH kembali mentadbir, Parlimen perlu
diperkukuhkan lagi supaya ia tidak boleh dikembiri dalam apa jua
keadaan.
Satu fenomena yang kita saksikan dalam tempoh sebulan lalu ialah
Muhyiddin begitu giat melantik pemimpin Umno yang tidak dilantik menjadi
menteri ke jawatan-jawatan GLC atau pengerusi lembaga pengurus.
Seorang eksekutif GLC memberitahu saya bagaimana beliau tidak boleh
memahami bagaimana Tajuddin Abdul Rahman (Ahli Parlimen Pasir Salak),
kini adalah pengerusi Prasarana.
Parlimen di bawah PH telah mewujudkan jawatankusa dwi-partisan untuk
meneliti lantikan-lantikan.
Pada masa akan datang, kebanyakan lantikan
GLC akan boleh diteliti oleh jawatankuasa ini supaya sebarang perubahan
kerajaan tidak membawa kesan kepada pejawat dalam tempoh kontrak
mereka.
Namun pastinya, jika pembangkang seperti Umno tidak mempunyai
semangat demokratik, penambahbaikan seperti ini akan sukar dilaksanakan.
Ketika PH mentadbir, GLC dan badan-badan berkanun melantik para
profesional dan kalau pun ada ahli politik, mereka dilantik berasaskan
kebolehan dan pengalaman profesional.
Pada masa akan datang, jawatan pengerusi jawatankuasa Parlimen wajar
menjadi jawatan yang didambakan oleh anggota backbencer yang senior dan
tidak menganggotai kabinet.
Ini akan membantu memperkukuhkan sistem semak-imbang Parlimen dan
pada masa yang sama memberi kebaikan kepada negara secara amnya.
Banyak perkara lagi akan dapat dilaksanakan apabila PH kembali menjadi kerajaan. .
* Liew Chin Tong adalah pengarah Pendidikan Politik DAP.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan