Pemerintahan Mukhriz di Kedah berakhir hari ini?

KUALA LUMPUR: Pemerintahan Mukhriz Mahathir di Kedah di ambang kejatuhan, dengan sekurang-kurangnya 2 Adun Pakatan Harapan dijangka mengumumkan mereka tidak lagi menyokong menteri besar itu.

Dua Adun PKR, Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasarudin (Lunas), dijangka membuat pengumuman bersama hari ini, yang akan memberi tamparan kepada majoriti rapuh diperolehi Mukhriz untuk kekal berkuasa.

Kedua-dua wakil rakyat itu yang diketahui bersekutu dengan Mohamed Azmin Ali, bersama kira-kira 12 ahli Parlimen PKR yang berpaling tadah daripada parti itu pada akhir Februari lalu, menamatkan pemerintahan PH di Putrajaya selama 22 bulan.

Minggu lalu, Ling mencabar pucuk pimpinan PKR memecatnya, ketika parti itu bertindak menyingkirkan penyokong Azmin dalam beberapa minggu ini.
Satu sumber yang dekat dengan puak Azmin memberitahu FMT, langkah hari ini ditangguhkan banyak kali “demi menghormati Tun”, merujuk bapa Mukhriz dan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Atas rasa hormat dan pertimbangan untuk Tun M, wakil rakyat PH yang tak puas hati dengan Mukhriz diminta bersabar. PAS pun bersetuju tidak kacau pentadbiran negeri.

“Tetapi makin lama makin menjadi-jadi, jadi (mereka) tarik balik sokongan,” kata sumber kepada FMT malam tadi, sambil menambah kenyataan Mahathir baru-baru ini dan “dakwaan tidak bersalah terhadap kejatuhan PH” tidak membantu.

Minggu lalu, Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya dilaporkan berkata, kejatuhan Mukhriz tidak dapat dielakkan dan beliau yakin parti Islam itu akan kembali berkuasa di negeri itu, 7 tahun selepas pemerintahan terakhirnya.

PAS kini memiliki 15 daripada 36 kerusi di Dewan Undangan Negeri Kedah, manakala Umno mempunyai 2 kerusi.

Mukhriz tidak akan mempunyai majoriti untuk kekal sebagai menteri besar, jika 2 Adun PKR itu berpaling tadah.

Sejak kejatuhan kerajaan PH, Johor, Melaka dan Perak menyaksikan penjajaran semula politik yang mencerminkan gabungan Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan.

Keadaan semasa di Kedah, negeri asal Mahathir, berlaku di tengah-tengah spekulasi ahli politik veteran itu akan dipecat atas kritikan terbukanya terhadap PPBM, parti yang diasaskannya bersama Muhyiddin Yassin.

Kedua-dua pemimpin itu tidak lagi sebulu susulan kejatuhan kerajaan PH, yang menyaksikan Muhyiddin membentuk perikatan longgar dengan Umno, PAS dan GPS yang menyokongnya untuk menerajui kerajaan PN.

Ini akan menjadi kali kedua Mukhriz mendapati dirinya dijatuhkan daripada jawatan itu.

Beliau ialah menteri besar Kedah dari 2013 hingga 2016, ketika disingkirkan daripada Umno bersama Muhyiddin kerana mempersoalkan cara Najib menangani skandal 1MDB. Beliau dilantik semula ke jawatan itu susulan kemenangan PH pada pilihan raya umum 2018.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan