Oleh Mohd Sayuti Omar
WAP panas menjelang sidang parlimen 10 hari lagi, pada 18 Mei ini kian
meruap dan merembas dada orang-orang politik dan juga pemeriksa politik.
Kehangatan wap ini seakan dapat menolak rasa bimbang dan gerun kepada
Covid-19 yang menyerang negara lebih sebulan lalu.
Tentunya bagi pihak kerajaan, mereka lebih takut kepada sidang itu
daripada berhadapan dengan wabak yang sudah mulai mengendur itu. Jika
boleh dielakkan, mahu sidang itu ditiadakan sampai habis penggal
parlimen ke-14 bagi memastikan kedudukan kerajaan PN selamat?
Apa yang menjadi tumpuan pada sidang 18 Mei
yang dihadkan diadakan hanya sehari sahaja itu, ialah berkenaan dengan
notis-notis usul yang dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat
Mohamad Arif Md Yusof untuk dinilai bagi dibahaskan. Berbagai spekulasi
dan cakap-cakap mengenai notis-notis usul berkenaan sejak 72 jam lepas.
Sejak notis memanggil mesyuarat Parlimen ke-14 pertama penggal ke-3 dikeluarkan pada 17 April,
pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat menerima empat notis usul. Notis
usul itu masing-masing diterima daripada ahli Parlimen Batu Sapi, (Liew
Vui Keong), ahli Parlimen Semporna (Mohd Shafie Apdal) dan ahli Parlimen
Langkawi (Dr Mahathir Mohamad).
Ahli Parlimen Batu Sapi (Liew Vui Keong) mengemukakan usul dibawah
Peraturan Mesyuarat 18 mengemukakan resolusi agar sidang membuat
ketetapan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ahli Parlimen
Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli Yang Berhormat.
Selain itu, wakil tersebut juga mengemukakan usul membuat ketetapan
bahawa ahli Parlimen Langkawi (Dr Mahathir Mohamad) mempunyai keyakinan
majoriti ahli-ahli Parlimen.
Satu lagi usul dikemukakan ialah meminta persidangan dilanjutkan daripada sehari kepada lapan hari.
Bagaimana pun ketiga-tiga notis usul ahli Parlimen Batu Sapi itu ditolak
kerana sebahagiannya tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan
Negara.
Usul daripada MP Semporna.
Usul daripada ahli Parlimen Semporna (Mohd Shafie Apdal) pula berbunyi
hampir sama dengan notis usul ahli Parlimen Batu Sapi itu mengemukakan
resolusi membuat ketetapan kedudukan ahli Parlimen Langkawi yang
mendapat majoriti. Bagaimana pun ia juga ditolak atas alasan ia tidak
selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Negara. Usul itu sebagai mencabar
hak Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa melantik perdana menteri.
Manakala dua usul lagi dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi, (Dr
Mahathir Mohamad), yang mengemukakan usul agar mengekalkan Yang di
Pertua Dewan Rakyat yang ada (Mohamad Arif Yusof) dikekalkan sehingga
dewan dibubarkan. Usul itu dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 4.
Manakala satu lagi usul dikemukakan ahli Parlimen Langkawi itu, membuat
ketetapan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ahli Parlimen
Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Parlimen. Usul itu
dikemukakan dibawah Peraturan Mesyuarat 27(3).
Usul meminta dewan mengekalkan Mohamad Arif sebagai Yang di-Pertua Dewan
sehingga habis penggal ditolak, manakala usul meminta ketetapan Perdana
Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ahli Parlimen Pagoh tidak ada
keyakinan majoriti ahli-ahli Parlimen DITERIMA.
Dengan penerimaan usul tersebut bermakna kedudukan Muhyiddin sebagai
perdana menteri akan dibahas dan diambil ketetapan dalam sidang
parlimen. Nasib Muhyiddin akan terserah kepada parlimen. Bagaimanapun
sama ada ia akan dibahas dalam sidang sehari itu atau tidak, tidak dapat
dipastikan.
Melihat kepada gelagat dan belang ditunjukkan oleh pihak kerajaan tidak
mungkin ia akan dibahaskan pada sidang sehari itu. Menteri di Jabatan
Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perjalanan parlimen
Takiyuddin Hassan siang-siang sudah memberi isyarat sidang itu hanya
akan menyelesaikan urusan kerajaan sahaja.
Pokoknya apa terpenting apabila Yang di-Pertua Dewan Rakyat sudah
menerima notis usul yang membawa maksud untuk mengadakan undi tidak
percaya kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Muhyiddin kini sedang
berhadapan dengan keputusan maha hebat buat dirinya. Walaupun mungkin ia
sudah diduga tetapi tetap mendebarkan.
Usul yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Langkawi dan telah diterima itu
sepertilah ia sebilah pisau yang sudah terpegang ditangan untuk melibas
leher Perdana Menteri dan melumatkan kerajaan PN bila-bila masa sahaja.
Bersedialah perang akan bermula.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan