Surat terbuka Kepada Semua Ahli Parlimen Malaysia
Ada yang tidak kena di Parlimen Malaysia sekarang ini sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
2. Ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya umum dan juga para senator perlu menyedari perkara yang tidak kena itu. Satu jalan mundur yang berbahaya sedang cuba dibawa oleh PM Muhyiddin Yassin. Jika tidak diperbetulkan mulai sekarang akan menghancurkan institusi Parlimen di Malaysia.
3. Pada mulanya, Kerajaan PH yang lalu melalui surat bertarikh 7 Oktober 2019 ditandatangani oleh Setiausaha Dewan Rakyat ketika itu Datuk Roosme Binti Hamzah memaklumkan bahawa Kerajaan telah memutuskan supaya Takwim Bagi Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas Tahun 2020 ditetapkan selama 24 hari bermula 9 Mac hingga 16 April 2020.
4. Tetapi Kerajaan PH tumbang pada 24 haribulan Februari 2020. Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah Perdana Menteri pada 1 haribulan Mac 2020. Kabinet dibentuk beberapa hari kemudiannya. Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin telah memutuskan supaya Takwim Parlimen Bagi Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas Tahun 2020 yang dijadualkan bermula pada 9 Mac 2020 telah dipinda ke tarikh baharu selama 15 hari bermula dari 18 Mei hingga 23 Jun 2020 bagi Dewan Rakyat (Surat Setiausaha Dewan Rakyat bertarikh 4 Mac 2020). Notis Penangguhan Mesyuarat tersebut dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat yang baru Riduan Bin Rahmat, juga bertarikh 4 Mac 2020.
5. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan oleh Kerajaan PN bermula pada 18 haribulan Mac 2020. Keputusan Kerajaan menangguhkan sidang parlimen kepada 18 Mei 2020 diterima dengan sangka baik dan menasabah memandangkan penularan wabak penyakit Covid-19 yang membimbangkan.
6. Pada 17 April 2020 keluar satu Notis Pemberitahuan dari Setiausaha Dewan Rakyat dengan menggunakan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 9(2)(a) iaitu Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas akan diadakan pada 18 Mei 2020 hanya satu hari mesyuarat sahaja.Ini bermakna ketetapan untuk mengadakan mesyuarat selama 15 hari dari 18 Mei hingga 23 Jun 2020 dibatalkan.
7.Di dalam Notis bertarikh 17 April 2020 dinyatakan oleh Setiausaha Dewan Rakyat bahawa pada 18 Mei 2020, jam 10.00 pagi dilakukan Istiadat Perasmian Parlimen oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.Selepas keberangkatan Yang di-Pertuan Agong meninggalkan Majlis, maka Mesyuarat Dewan Rakyat selama satu (1) hari itu akan bermula.Dinyatakan juga di dalam surat tersebut bahawa persidangan Dewan Rakyat akan diadakan bagi membincangkan Rang Undang-Undang dan Usul Urusan Kerajaan sahaja. Selanjutnya dimaklumkan bahawa TIADA sesi pertanyaan Jawab Lisan, tiada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, tiada Usul-Usul daripada Ahli-ahli Parlimen.
8. Pemimpin parti-parti dari blok pembangkang yang diketuai oleh Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP, Mohamad Sabu, Presiden Amanah dan Dato’ Shafie Afdal, Presiden Warisan telah menghantar notis permohonan bersama kepada Speaker Dewan Rakyat menuntut supaya jumlah hari Parlimen bersidang ditambah kerana satu hari bersidang itu terlalu suntuk dan tidak menasabah. Banyak perkara perlu dibahaskan seperti perlaksanaan pakej rangsangan ekonomi dan pemulihan ekonomi serta usaha-usaha pencegahan wabak penyakit Covid-19.
9. Pertubuhan-pertubuhan madani atau Civil Societies seperti ALIRAN juga telah membuat petisyen kepada Speaker Parlimen supaya hari bersidang pada 18 Mei 2020 itu ditambah jumlah hari yang menasabah supaya cukup masa untuk membincangkan dan membahaskan isu-isu penting sejak tertubuhnya Kerajaan baru PN pada awal Mac 2020.
10. Adalah tugas Parlimen untuk menyemak dan meneliti dasar-dasar dan tindakan kerajaan yang memerintah selaku pihak Eksekutif. Tempat semakan dan penelitian itu ialah di parlimen.Parlimen bukanlah tempat adat istiadat dan pentas rasmi-rasmian sahaja.Parlimen adalah tempat cabang perundangan atau legislatif melakukan semakan ke atas Eksekutif yang kini diketuai oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
11.Pagi tadi 14 haribulan Mei 2020 apabila saya datang ke Parlimen untuk menjalani Ujian wajib Covid-19 bagi setiap Ahli Parlimen untuk hadir Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen pada 18 Mei ini telah diserahkan kepada saya satu surat atau Notis bertarikh 13 Mei 2020 yang ditandatangani oleh Riduan Bin Rahmat, Setiausaha Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa YAB. Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat telah memaklumkan Tuan Yang di-Pertua pada 12 Mei 2020 di bawah Peraturan Mesyuarat 11(2) dan 15(2), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat supaya Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas yang akan berlangsung pada Isnin, 18 Mei 2020 jam 10.00 pagi hanya bagi urusan Titah Diraja oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Selanjutnya disebut di dalam Notis itu ialah Tiada sidang selepas Titah Diraja. Notis bertarikh 13 Mei 2020 mrupakan notis terbaru yang membatalkan Notis bertarikh 17 April 2020. Soalan saya: Berapa banyak kali penangguhan, pindaan dan pembatalan hendak dilakukan ke atas suatu persidangan Parlimen yang penting ini?
12.Pada hemat saya, pindaan terbaru ini adalah pindaan yang ketiga.Pindaan ini dibuat dengan tergesa-gesa dan tidak mengikut kaedah peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, kerana tempoh Notis dikeluarkan tidak mematuhi syarat.Jika pada peringkat awal saya bersangka baik tentang perubahan tarikh Sidang Parlimen tetapi dengan pindaan-pindaan yang tidak masuk akal ini, saya mulai berasa syak wasangka.Ada niat tidak baik atau ‘’malice’’ di pihak Perdana Menteri Mahyuddin Yassin dan Kerajaan PN.
13. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggunakan kuasanya sebagai Ketua Majlis Dewan Rakyat dengan sewenang-wenangnya mengubah agenda mesyuarat Parlimen. Ini tidak betul.
14. Sekarang jelas pada saya bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah melanggar konvensyen prinsip Pengasingan Kuasa (Separation of Powers) dalam institusi bekerajaan di negara kita. Muhyiddin yang mengetuai Cabang Eksekutif sebagai Perdana Menteri mestilah menghormati institusi Speaker dan juga Parlimen terutamanya Dewan Rakyat yang seramai 222 orang dipilih oleh rakyat melalui suatu pilihanraya umum berdasarkan Perkara 46(1) Perlembagaan Persekutuan.
15. Di dalam Notis terbaru bertarikh 13 Mei 2020 yang ditandatangani oleh Setiausaha Dewan Rakyat telah merujuk YAB Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat. Saya lihat inilah yang menjadi punca masalah.Justeru itu Parlimen Malaysia perlu melakukan reformasi.Bagaimana kita hendak menjadikan Parlimen Malaysia suatu institusi perundangan atau legaslatif yang bebas, merdeka dan berwibawa sekiranya di dalam buku peraturan mesyuarat Dewan Rakyat atau Standing Order bahawa Perdana Menteri diberi kedudukan sebagai Ketua Majlis Dewan Rakyat? Siapa yang jadi ketua di Dewan Rakyat, Speaker atau Perdana Menteri? Sudah 63 tahun amalan berjalan di mana Perdana Menteri diangkat menjadi Ketua Majlis Dewan Rakyat yang menentukan perjalanan Dewan Rakyat.
16. Di dalam konvesyen prinsip Pengasingan kuasa, tiga badan iaitu Parlimen (legislatif atau perundangan), Kerajaan (Eksekutif) dan Kehakiman (Judiciary) mempunyai bidang kuasa masing-masing yang perlu dihormati dan dijaga serta tidak menceroboh bidang kuasa pihak yang lain.
17. Sebagai contoh, Perdana Menteri tidak boleh melakukan sesuka hati mengikut kehendaknya terhadap sistem kehakiman di Malaysia. Ketua Hakim Negara adalah ketua institusi kehakiman.Sebarang pencerobohan pihak Eksekutif terhadap kebebasan Mahkamah akan dianggap sebagai perbuatan menghina mahkamah, suatu kesalahan yang boleh mengundang hukuman di sudut jenayah.
18. Tetapi kenapa dibiarkan di dalam institusi Parlimen suatu kedudukan yang bercanggah di mana Perdana Menteri diberi kedudukan sebagai Ketua Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat? Di mana kuasa Speaker Dewan Rakyat?
19. Kita menyedari bahawa Parlimen Malaysia tidak mempunyai status ‘’supremacy of parliament’’ seperti Parlimen di United Kingdom. Di Malaysia, yang ‘’supremacy’’ ialah Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, ahli-ahli Parlimen Malaysia perlu melakukan reformasi ke atas institusi Parlimen supaya kuasa Perdana Menteri menentukan urusan di parlimen ditamatkan.
20. Lihat betapa mencengkamnya kuasa Perdana Menteri Malaysia. Ini mengancam konvensyen prinsip pengasingan kuasa. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sekarang Perdana Menteri PN. Beliau mengetuai Eksekutif dan mengetuai Kabinet. Menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri yang juga merupakan ahli parlimen frontbenchers adalah terikat dengan Perdana Menteri Muhyiddin di bawah prinsip collective responsibility bagi kabinet.Ertinya, menteri-menteri dan timbalan menteri tidak boleh bercanggah pendirian dengan Perdana Menteri di Parlimen. Jika hendak melawan pendirian Perdana Menteri, mereka terpaksalah terlebih dahulu meletakkan jawatan.
21. Ramai ahli-ahli Parlimen PN sekarang yang tidak menjadi menteri atau timbalan menteri dilantik menjadi ketua-ketua GLC atau agensi-agensi penting kerajaan. Ini satu cara lagi PM Muhyiddin Yassin mengikat ahli-ahli parlimen PN dan menutup mulut serta suara mereka dari mengkritik dan menentang kerajaan PN dan Muhyiddin Yassin sendiri sebagai Perdana Menteri.
22.Tidak tahu sebenarnya berapa ramai anggota parlimen yang menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Cukupkah 112 orang? Adakah 114 orang? Berapa jumlah sebenarnya yang Muhyiddin Yassin ada sokongan dari kalangan ahli parlimen di Dewan Rakyat untuk beliau layak dan sah menjadi Perdana Menteri.Sangat malang jika Malaysia mempunyai seorang Perdana Menteri yang tidak sah taraf sebagai Perdana Menteri kerana terdapat was-was, kekaburan, tidak pasti dan tidak telus boleh dihitung. Tempat sebenar untuk mempastikan sokongan ahli parlimen selepas Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 lalu ialah di Parlimen.Ujian ini Muhyiddin perlu lalui. Jika ia lulus baik untuknya dan juga PN.Jadilah Perdana Menteri dan Kerajaan sehingga tamat penggal keempat belas Parlimen sekarang, sebelum Pilihanraya umum ke-15 sekiranya anda ada majoriti sah yang cukup.
23. Perlu diingat satu usul tidak percaya terhadap PM Muhyiddin Yassin telah dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad. Usul itu telah diterima oleh Speaker Dewan Rakyat sebagai satu agenda mesyuarat Parlimen yang akan diadakan pada 18 Mei 2020 ini. Sama ada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyidddin Yassin itu akan dibentangkan pada 18 Mei ini atau akan ditangguhkan kepada mesyuarat selanjutnya bermula pada 13 Julai sepatutnya ditentukan oleh Speaker bukannya Perdana Menteri.Adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin takut dengan bayang-bayangnya sehingga mesyuarat Parlimen pada 18 Mei ini hanya untuk mendengar Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong? Selepas itu Dewan Rakyat ditangguhkan dan semua ahli-ahli parlimen balik ke kawasan masing-masing dan Perdana Menteri selamat dari berdepan dengan ahli parlimen pembangkang yang ada pelbagai usul untuk dibawa, selain usul tidak percaya itu.Hendak jadi apa Parlimen Malaysia kini di bawah Muhyiddin Yassin?
24. Sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang, saya menyeru rakan-rakan ahli parlimen seluruhnya, sama ada dari PH dan blok pembangkang, juga dari kalangan ahli parlimen PN di pihak kerajaan sekarang supaya menegur dan membetulkan tindakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang cuba mengawal Parlimen sehingga akhirnya nanti Parlimen Malaysia hanya akan menjadi semacam boneka dan rubber stamp sahaja.
25. Parlimen Malaysia mesti diselamatkan dan diangkat maruahnya, kebebasannya dan kedaulatannya supaya benar-benar menjadi suatu institusi perundangan atau legislatif yang menjadi punca kuasa bagi menggubal undang-undang, meminda perlembagaan, memansuhkan undang-undang yang lapuk dan zalim, meluluskan belanjawan dan cukai, menggubal dasar-dasar penting negara serta menjadi badan yang menyemak dan menilai prestasi dan tindakan kerajaan atau pihak Eksekutif.
26. Runtuhnya institusi Parlimen di negara kita ini, jika tindakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak dibendung dari awal akan membawa keruntuhan demokrasi yang telah dibina oleh rakyat dan pemimpin terdahulu selama lebih 63 tahun.
27. Cabaran adalah kepada seluruh Ahli Parlimen di Malaysia sekarang. Berdiam diri membisu atau berbuat sesuatu? Menyerah kalah kepada sebarang bentuk kediktatoran yang berselindung dibawah jubah institusi parlimen yang terkongkong bukanlah suatu option.
Hassan Abdul Karim
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen
Hubungan Negeri-Negeri dan Persekutuan
Ahli Parlimen Pasir Gudang
0 comments:
Catat Ulasan