Calon PM perlu diputuskan Majlis Presiden PH

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk memilih calon perdana menteri bagi Pakatan Harapan (PH) dan parti sekutunya perlu diputuskan Majlis Presiden gabungan itu supaya ia tidak menjadi mainan politik peribadi tokoh tertentu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata parti itu sedia berbincang perkara itu walaupun sebelum ini sudah menyatakan pendiriannya berhubung calon perdana menteri.

"Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengadakan mesyuarat bulanan hari ini dan membincangkan beberapa perkara termasuk pendirian parti dalam isu calon perdana menteri, mandat rakyat dan persediaan bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Walaupun PKR sudah menyatakan pendirian dalam isu calon perdana menteri sebelum ini, parti sedia untuk berbincang, namun sebarang keputusan di peringkat PH perlu diputuskan oleh Majlis Presiden.

"Sebarang cadangan baharu tidak harus dijadikan mainan politik peribadi mana-mana tokoh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, PKR juga kekal dengan pendirian bahawa mandat rakyat mesti dikembalikan kepada PH seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) termasuk dalam isu peralihan kuasa antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, MPP berpendirian bahawa kerjasama antara parti dalam PH perlu diperkukuhkan dan mengingatkan supaya semua pihak sentiasa berwaspada serta jangan terperangkap dengan sebarang usaha atau langkah yang direncana untuk melagakan parti di dalam gabungan itu.

"PKR dan PH akan berusaha bersungguh-sungguh untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya Pilihan Raya Umum Ke-15 lebih awal dari tahun 2023," katanya.

Dr Mahathir semalam dilaporkan berkata cadangan supaya Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi calon perdana menteri bagi PH dan sekutunya dipersetujui sebulat suara dalam pertemuan tidak rasmi gabungan itu pada 25 Jun lalu.

Dr Mahathir dalam kenyataan itu berkata, perbincangan tidak rasmi itu dihadiri Shafie, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; beberapa pimpinan DAP termasuk Setiausaha Agung, Lim Guan Eng; Tan Kok Wai, Anthony Loke, M Kulasegaran dan Liew Chin Tong. Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Wira Marzuki Yahya turut hadir.

Kenyataan itu juga menyebut, Anwar akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri I manakala Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II.

Bagaimanapun, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP dalam satu kenyataan selepas itu memaklumkan kedudukan Mohd Shafie masih belum diputuskan PH.

Ini kerana cadangan itu perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat AMANAH dan DAP terlebih dahulu, serta dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH untuk diputuskan secara bersama.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan