Pemuda AMANAH Nasional menggesa agar Menteri
Pendidikan menimbang semula keputusan pindaan takwim persekolahan yang
diumumkan ekoran rungutan kesatuan guru yang mendakwa keputusan itu
dibuat tergesa-gesa tanpa melibatkan mereka dalam perbincangan.
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Taqiuddin Cheman berkata,
sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), para
guru telah melaksanakan aktiviti pengajaran di atas talian melalui
inisiatif peribadi guru-guru.
Ini termasuklah katanya, peralatan peribadi yang digunakan bagi memastikan aktiviti pengajaran berlangsung dengan lancar.
“Bahkan, ada juga dalam kalangan guru yang menyediakan latihan dan
kerja rumah melalui medium WhatsApp serta menyemak dan menyelia tugasan
pelajar mereka tanpa mengira hari cuti am ataupun tidak.
“Adakah pihak kementerian merasakan bahawa kerja buat para guru ini
tidak berkesan dan sia-sia sahaja sehinggakan perlu meminda takwim
persekolahan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung
Malaysia (NUTP) berpendapat keputusan dibuat kementerian dilakukan
secara tergesa-gesa tanpa berbincang dengan pihak NUTP.
Presidennya, Aminuddin Awang berkata, pindaan takwim berkenaan akan
memberi masalah kepada guru-guru yang telah membuat persediaan awal
mengikut takwim sedia ada.
Mengulas lanjut, Taqiuddin berkata, Menteri Pendidikan sewajarnya
mendapatkan maklumbalas dan nasihat dari pelbagai pihak bagi mengetahui
tahap kesediaan para guru sekiranya pindaan takwim dilaksanakan.
Ini kerana katanya, terdapat guru-guru yang berada di perantauan
khususnya Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh PKP dan tidak dapat pulang
berhari raya ekoran larangan rentas negeri oleh kerajaan.
Malah, mereka juga akur dengan arahan untuk berada di stesen kerja
masing-masing meskipun ketika itu sekatan rentas negeri telah ditarik
balik.
Dalam hal ini ujar Taqiuddin, bukan sahaja isu pendidikan anak-anak
yang penting, sokongan emosi dan mental para guru juga tidak boleh
diabaikan.
“Setelah pengumuman kebenaran untuk menyambut Aidiladha, para guru
ini telah membuat perancangan awal untuk pulang ke kampung halaman.
“Keputusan Kementerian meminda takwim ini bakal memberi kesan
kerugian ribuan ringgit kerana tiket penerbangan pulang telah ditempah
lebih awal,” katanya lagi.
Semalam, KPM mengumumkan pindaan takwim persekolahan bakal melibatkan
cuti pertengahan penggal dua dan cuti akhir tahun yang dikurangkan.
Pindaan melibatkan cuti pertengahan penggal dua itu dikurangkan
daripada sembilan hari kepada lima hari bagi sekolah-sekolah di seluruh
negara.
Manakala, cuti akhir tahun bagi sekolah-sekolah Kumpulan A (Johor,
Kedah, Kelantan dan Terengganu) dikurangkan daripada 42 hari kepada 14
hari, manakala kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak,
Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan
Putrajaya) dikurangkan daripada 41 hari kepada 13hari.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan